Hilang suara, Jaclyn Victor teruskan bertanding - Utusan Malaysia

Hilang suara, Jaclyn Victor teruskan bertanding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Kalau ikut cakap doktor memang dia tak boleh menyanyi dan perlu rehat. Sampai bila, kita pun tidak tahu.”

Demikian pendedahan pengurus penyanyi Jaclyn Victor yang berdepan masalah laryngitis sehingga menyebabkan dia kehilangan suara dan sukar untuk bercakap.

Menurut pengurusnya, Zulaikha, penyanyi itu mula mengalami sakit tekak sejak Selasa minggu lalu dan kehilangan suara secara total pada malam tadi.

“Tekak dia (Jaclyn) sudah mula sakit sejak Selasa minggu lalu. Jaclyn sudah mendapatkan rawatan dan meneruskan persembahan Ahad lalu.

“Tetapi semalam (Isnin) suaranya makin sayup. Malam tadi dia hubungi saya dan memaklumkan suaranya sudah hilang. Bercakap pun tak boleh,” katanya.

Penyanyi Gemilang itu ditemui secara tidak sengaja oleh pengamal media ketika hadir untuk sesi rakaman program All Stars Gegar Vaganza (ASGV).

Jaclyn sepatutnya membuat rakaman bagi segmen pengenalan untuk konsert minggu ini namun terpaksa dibatalkan kerana masalah suara yang dihadapi.

Penanti berusia 45 tahun itu juga terpaksa menggunakan telefon bimbit sebagai medium perbualan ketika ditemu bual rakan media.

Dalam pada itu, Zulaikha juga memaklumkan doktor mencadangkan agar Jaclyn berehat daripada sebarang persembahan sehingga suaranya betul-betul pulih.

“Mengikut pelan, Jac ada dua persembahan luar. Tetapi kita tak tahu lagi apa yang akan jadi. Tunggu sahaja. Mungkin akan dapatkan suntikan,” ujarnya.

Sementara itu, Zulaikha tidak menolak masalah jangkitan laryngitis Jaclyn mungkin berpunca daripada kurang berehat dan tekanan ketika bertanding.

“Persembahan minggu ini tetap teruskan. Apa berlaku nanti kita tunggu. Tak mungkin Jac tarik diri.

“Jac pun memang kurang rehat. Setiap kali sebelum naik pentas dia selalu berdebar,” kongsinya.

Penyanyi bersuara emas itu bakal mendendangkan lagu All I Ask (nyanyian asal Adele) berduet bersama Nadeera untuk minggu kesembilan ASGV.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN