KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Kilafairy, 31, mengakui, baru kini dirinya berani untuk bertemu orang ramai dan berkongsi cerita mengenai keadaan dirinya setelah melalui episod sukar sejak Allahyarham ibunya, Rohana Jalil meninggal dunia pada 20 Jun lalu.
Menurut Kila atau nama sebenarnya, Syakila Nisa Jaghir Khan, sehingga kini pun dia masih bergelut dengan perasaan rindu terhadap ibu tercinta dan hanya menerusi rakaman video-video lama dijadikan sebagai kenangan untuk melihat dan mendengar suara ibu.
“Orang yang pernah kehilangan ibu bapa, pasti tahu bagaimana rasanya. Susah nak lupakan dan sehingga kini pun saya masih merindui arwah mama.
“Saya memang tak akan boleh lepaskan perasaan ini sampai bila-bila. Tak ada hari yang boleh saya cakap ‘aku sudah lega’. Jiwa jadi kosong kerana rindu. Kadang-kadang, aaya tengok saja video-video lama dia.
“Paling saya rindu adalah mendengar suara mama. Tempoh hari, saya tengok tv dan ada program siarkan rancangan yang ada arwah mama terlibat sama. Saya tengok dan tatap wajah mama walaupun dada ini rasa begitu sempit
“Pada kebanyakan waktu, kalau saya jumpa orang, saya pakai ‘topeng’. Saya tak kuat sebenarnya. Bila balik rumah, saya tetap menangis,”katanya.
Kilafairy berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran koleksi A Decade of Wows & Veils dari pereka fesyen terkemuka tanah air, Shanell Harun, di sini, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, Kilafairy turut dilihat menyarungkan busana yang sama kepunyaan arwah Rohana yang dihasilkan oleh Shanell Harun.
Difahamkan, Shanell Harun merupakan satu daripada pereka fesyen tempatan kegemaran Rohana sewaktu Allahyarham penyanyi tersebut masih hidup.
“Sebenarnya, tak mudah juga untuk saya pakai baju-baju arwah sebab bau mama dan kenangan bersamanya. Baju ini (busana hitam putih) pun, ramai kawan-kawan mama yang minta untuk jadikan kenangan. Tetapi saya belum berikan.
“Kalau boleh, selepas ini ada rezeki sesiapa yang dapat baju-baju arwah, saya harap jagalah dengan baik. Di rumah, ada satu bilik penuh dengan koleksi baju-baju mama ya g masih utuh dan cantik-cantik.
“Baju sejak tahun 1970-an, sewaktu mama mula menyanyi pun ada tersimpan rapi. Barang-barang mama, pendek kata apa sahaja kepunyaan arwah termasuk susun atur dalam rumah semuanya saya tak usik sehingga hari ini.
“Terasa sangat sukar. Malah, kalau masuk bilik dia pun, seakan masih tercium bau arwah mama. Macam dia masih ada,”katanya.
Dalam pada itu, Kilafairy turut berterima kasih kepada rakan-rakan dan kenalan yang sehingga kini mengambil berat dan bertanyakan khabarnya.
Untuk rekod, Rohana Jalil atau Dara Abdul Jalil meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada usia 68 tahun akibat kebocoran usus.