KUALA LUMPUR : Pelakon, Julia Farhana Marin, 28, menafikan dia membela anjing sebagai haiwan peliharaan sebagaimana yang didakwa oleh segelintir golongan netizen.
Tegas Julia, dia bagaimanapun mengakui hanya memberi bantuan rawatan dan tempat tinggal untuk haiwan berkenaan yang dinamakan Julio selama beberapa bulan atas dasar perikemanusiaan memandangkan anjing tersebut mengalami masalah kulit.
“Setelah beberapa bulan menjaga, Julio semakin sihat, saya kemudian menyerahkan Julio kepada orang lain untuk menjaganya. Saya tidak tahu bagaimana kenyataan saya bela anjing boleh keluar.
“Saya hanya berikan ruang untuk anjing itu berteduh sementara waktu dan bayar bil rawatan. Di rumah pun ada penjaga dan saya tidak pernah bermain dengan Julio.
“Mujurlah anjing itu tidak mengambil masa yang lama untuk sembuh. Makhluk lain juga memerlukan kasih sayang,” katanya.
Julia berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran produk pakaian jenama Mayang di sini, kelmarin.
Namun begitu, pelakon Lelaki Itu Pemilik Hatiku itu menerima semua teguran yang diberikan netizen selain mula mencari cara lain membantu anjing yang memerlukan.
“Tapi saya belajar, mungkin cara saya salah. Saya boleh sahaja sewa hotel haiwan untuk tumpangkan anjing itu.
“Kini, saya bayar kos rawatan seekor anjing yang berpenyakit di hotel haiwan. Ramai ingat saya tolong anjing sahaja. Saya juga menjaga 20 ekor kucing. Kalau tikus boleh dibantu pun saya akan tolong,” katanya.
Sebelum ini, warganet mengkritik tindakan pelakon itu membela seekor anjing bernama Julio di dalam rumah.
Menurut Julia, haiwan itu bukanlah dipelihara di dalam rumah, sebaliknya diletakkan di halaman rumahnya.
Julia turut mengajar Julio untuk tidak menjilat atau menyentuhnya.