Pas Selangor tawar dua ADUN sertai Global Sumud Flotilla ke Gaza

Pas Selangor tawar dua ADUN sertai Global Sumud Flotilla ke Gaza

GLOBAL Sumud Flotilla (GSF) bukan sahaja memastikan isu Palestin tetap segar dalam kesedaran dunia tetapi juga menyatukan umat Islam dan masyarakat antarabangsa menentang kezaliman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas Selangor menawarkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 yang bakal diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri berkata, pihaknya menyokong penuh pelantikan Amirudin sebagai wakil khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetuai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Misi berkenaan amat signifikan sebagai simbol solidariti berterusan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus berdepan krisis kemanusiaan semakin meruncing.

“Pas Selangor menawarkan dua ADUN untuk menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Pas sejak sekian lama komited menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin melalui pelbagai saluran termasuk Pas Relief serta kerjasama dengan organisasi kemanusiaan antarabangsa.

“Tawaran menghantar dua wakil ADUN dibuat sebagai tanda solidariti tanpa syarat terhadap rakyat Palestin serta komitmen merentas perbezaan politik dalam isu kemanusiaan sejagat.

“Penyertaan wakil Pas dalam delegasi ini diyakini dapat memperkukuh mesej bahawa rakyat Malaysia bersatu dalam membela nasib umat yang tertindas,” katanya.

Katanya, Pas juga bersedia memikul risiko dan tanggungjawab misi mencabar itu sekiranya penyertaan wakil mereka diperlukan dalam apa jua kapasiti.

“Pas Selangor juga sanggup menanggung sendiri kos penyertaan sekiranya terdapat kekangan pembiayaan daripada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri Selangor.

“Penyertaan pelbagai pihak termasuk pembangkang dalam delegasi tersebut diyakini mampu menghantar mesej jelas bahawa rakyat Malaysia bersatu membela nasib rakyat Palestin serta serius memperjuangkan kebebasan dan keadilan sejagat.

“Pas Selangor percaya bahawa pendekatan inklusif dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk pembangkang akan memberi isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia benar-benar serius dalam memperjuangkan kebebasan dan keadilan untuk Palestin,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin diberi tangunggjawab untuk mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza dan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.

Menurut kenyataan pejabat Menteri Besar, misi berkenaan akan membawa sebanyak 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang kini berdepan situasi semakin rumit di Gaza.

Delegasi Malaysia dalam Misi Bantuan Kecemasan ke Gaza serta Global Sumud Flotilla 2.0 dijadual berlepas pada Ahad ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN