SHAH ALAM: Komposer yang juri tetap Famili Duo, Ajai meminta maaf selepas mengucapkan perkataan tidak senonoh secara langsung sebentar tadi.
Ajai yang menerima makian lantaran komen pedas terhadap persembahan Ryan dan Adam Bakery minggu lalu berkata, perkataan tidak senonoh tersebut bermain-main di mindanya sehingga terlepas bicara.
“Saya menerima banyak sangat perkataan tidak elok, caci maki di Instagram.
“Perkataan itu bermain-main di dalam minda, terlepas. Minta maaf,” ujarnya secara langsung.
Ajai dalam komennya minggu lalu memberi komen persembahan Ryan dan Adam kurang memberi impak serta tidak mencapai piawaian penjurian.
Makian dan cacian diterima membuatkan komposer yang juga salah satu anggota Exists terpaksa menutup notifikasi di Instagramnya.
Bagaimanapun, Ajai dalam pada masa sama tidak mengambil hati dan memaafkan mana-mana individu yang mengecam serta memakinya di media sosial.
“Tak apalah, saya ampunkan. Tetapi pada saya, ini adalah kerja dan tanggungjawab.
“Saya tahu apa yang saya lakukan,” ujarnya.- UTUSAN