Jangan pertikai ilmu vokal, kepakaran Syafinaz sebagai juri - Ajai - Utusan Malaysia

Jangan pertikai ilmu vokal, kepakaran Syafinaz sebagai juri – Ajai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi, Ajai, 48, berpendapat, walaupun persembahan Datuk Syafinaz Selamat di sebuah konsert baru-baru ini tidak menepati jangkaan, namun masyarakat tidak seharusnya memperlekehkan ilmu penyanyi tersebut dalam bidang nyanyian.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas berkata, Syafinaz memiliki kepakaran dari aspek vokal dan pengalaman yang luas dalam industri seni suara sekali gus melayakkannya untuk duduk di kerusi juri.

“Mungkin orang tidak biasa dengar Syafinaz menyanyi soprano, sebab itu bukan ‘market’ Malaysia tapi kita jangan perlekehkan ilmu dia. Kalau dia berijazah, takkan kita mahu remehkan?

“Seperti kita boleh lihat, tak semestinya pengadil di padang bola itu pandai bola, tapi dia tahu undang-undang di padang.

“Kami bekerja berdasarkan pembelajaran dan pengalaman. Rata-rata tahu Syafinaz adalah pensyarah dan saya pula penerbit. Saya sudah mula menerbit sejak 1989 sampai sekarang serta sudah bekerja dengan ramai orang.

“Kami tidaklah rasa kami boleh bernyanyi dengan dahsyat, tapi bila kami beri komen di pertandingan, kami tahu mengenai undang-undang nyanyian,” katanya.

Ajai ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Konsert Exists Borneo Tour di Hard Rock Cafe, semalam.

Komposer itu bagaimanapun tidak berkecil hati dengan kata-kata warganet dan menegaskan setiap teguran yang diberikan sebagai juri di sebuah pertandingan adalah berlandaskan kepada sikap profesional dalam bekerja.

“Tapi pada saya, netizen ada hak juga untuk bercakap sebab dalam bidang hiburan ini, tiada undang-undang yang melarang sesiapa untuk bersuara.

“Jadi pada saya tohmahan dari netizen itu tidak mengapa. Itu hak dia, dia nak suka atau tidak. Kadang-kadang dia cakap tak suka, bila jumpa dia luar pun dia tangkap gambar.

“Sama juga orang yang tak boleh nyanyi pun boleh buat album, jadi tiada undang-undang dalam hiburan.

“Tapi kami menegur berdasarkan kepada pembelajaran, ilmu dan pengalaman. Sebab itu kami kekal sampai sekarang,” katanya.

Sebelum ini, tular video nyanyian Datuk Syafinaz Selamat menyanyikan lagu Persis Salju dan Europa di Konsert Ini Baru Bintang 3 RTM menjadi tular.

Warganet beranggapan mutu nyanyian Syafinaz sumbang sekali gus mempertikaikan kredibilitinya sebagai seorang juri di pertandingan nyanyian terkenal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN