Penonton rakam filem di pawagam, itu bukan gimik promosi - Penerbit Eva - Utusan Malaysia

Penonton rakam filem di pawagam, itu bukan gimik promosi – Penerbit Eva

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Eva, Diyana Ismail, kesal apabila ada segelintir netizen menganggap mereka terdesak melakukan gimik murahan dengan mengupah individu merakam filem tersebut di panggung, baru-baru ini semata-mata untuk tujuan promosi.

Menurut pemilik syarikat produksi, D’Alpha Legacy Sdn Bhd itu, pihaknya tidak tahu-menahu perkara tersebut dan hanya dimaklumkan selepas ia tular di media sosial.

“Siapa yang mendakwa ia gimik murahan, kami tidak pasti sebab tiada siapa yang menyarankan untuk kami berbuat demikian. Kami hanya tahu perkara itu selepas rakaman tersebut tular di media sosial.

“Memang kami ada membuat perancangan mengenai gimik untuk mempromosikan filem itu, tetapi ia sudah dilaksanakan sebelum Eva ditayangkan. Apa yang tular itu bukan dalam perancangan kami.

“Pihak kami, termasuk pawagam tidak terlibat dalam apa-apa bentuk rakaman yang dibuat itu. Apa yang kami tahu, pihak yang merakam sudah membuat permohonan maaf,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.

Penerbit itu bagaimanapun, mengakui tidak dapat mengawal pandangan semua pihak yang mungkin tersalah anggap tentang perkara tersebut.

“Setiap pandangan adalah subjektif. Kami tidak dapat mengawal pendapat peribadi setiap orang. Kami anggap perkara ini sebagai asam garam dalam dunia industri kreatif,” katanya.

Diyana berkata, mereka juga sentiasa berfikiran positif, malah tidak pernah menuding jari kepada mana-mana pihak atas insiden yang berlaku.

“Kami sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah menganggap ada sebarang unsur sabotaj. Kami gembira dengan sokongan positif semua pihak, termasuk penonton.

“Kami memandang ke arah yang lebih positif dan sudah tentu akan sentiasa berusaha meneruskan perjuangan dalam industri perfileman tempatan,” katanya.

Terdahulu, tular dua wanita merakam filem tersebut ketika menonton di sebuah pawagam di ibu kota.

Tindakan tidak bertanggungjawab mereka mencetuskan pelbagai reaksi, namun kedua-dua penonton tersebut telah memohon maaf atas kesilapan yang dibuat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.