Wajarkah kemasukan artis luar dikawal?   - Utusan Malaysia

Wajarkah kemasukan artis luar dikawal?  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lambakan kemasukan artis negara jiran membuat konsert di negara ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan segelintir penggiat seni tanah air yang merasakan artis tempatan dianak tirikan dan dipandang sebelah mata.

Pelbagai pandangan dan cadangan dilontarkan termasuk juga ada yang meminta agar kerajaan mengawal penganjuran konsert artis luar lebih-lebih dari Indonesia.

Adakah wajar kita menyekat atau mengawal kemasukan artis Indonesia ke Malaysia atau adakah langkah yang lebih diplomatik dan rasional dapat dilaksanakan agar manfaat dan kebaikan dalam isu ini dapat dikongsikan bersama.

Menerusi ruangan Hangat Seminggu pada kali ini kami rangkumkan pandangan penggiat industri tempatan tentang isu yang hangat diperkatakan ini.

Ketatkan syarat penganjuran konsert  – Konsortium IRAMA

Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) berpandangan, ada sesuatu yang perlu diperhalusi oleh pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam soal pemberian geran atau dana buat penganjuran konsert artis luar negara.

Menurut Pengerusi IRAMA, Ayob Abd Majid, menerusi apa yang sampai ke telinga pihaknya, kebanyakan penganjur baharu kini lebih mudah mendapat kelulusan geran atau dana daripada MOTAC.

“Kami mohon MOTAC perketatkan dana atau geran kepada mana-mana penganjuran artis luar negara. Menerusi maklumat yang kami dapat, ramai penganjur baharu yang bawa artis Indonesia ini dapat geran MOTAC.

“Ini menghairankan kerana ramai antara penganjur-penganjur lama yang buat permohonan, agak sukar untuk mendapatkan kelulusan.

“Bagi IRAMA, amat wajar sekiranya pihak seperti MOTAC, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) mengkaji kemasukan artis luar negara yang terlampau banyak tanpa tapisan.

“Puspal misalnya, harus ketatkan kemasukan artis-artis luar ini. Dalam sebulan, bagilah berapa kelulusan sahaja dan bukannya macam baru-baru ini. November sahaja hampir 30 band atau artis luar negara jiran diberi kelulusan.

“Puspal harus ketatkan syarat-syarat seperti setiap band atau artis harus ada artis jemputan sebagai pembuka tirai. Itu pun kita tak nak gelarkan ia sebagai ‘opening act’ sebab nanti ada artis kita yang tak setuju dengan ayat itu,”katanya.

Selain itu, ditanya mengenai sejauh mana kebenaran bahawa artis tempatan sukar menembusi pasaran dan peluang di negara jiran, Ayob meluahkan pandangan tersendiri.

Katanya, artis tempatan memiliki banyak peluang untuk menerjah ke negara jiran.

“Namun, masalahnya, tak ada permintaan dari Indonesia. Paling tidak pun mereka panggil Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Datuk Amy Search sahaja.

“Namun, saya tidak nafikan, ada antara orang kita dapat peluang naikkan ekonomi hiburan mereka melalui  kerja-kerja membekalkan sistem bunyi. Tetapi itu pun di beberapa lokasi sahaja.

“Kalau di Malaysia, jika ditanya adakah kemasukan artis-artis ini akan menguntungkan kru tempatan, saya rasa kena tengok juga di mana lokasi konsert itu diadakan. Rata-rata sekarang buat di Zepp Kuala Lumpur di mana pakejnya termasuk sistem bunyi.

“Untuk tambahan lain, memang syarikat sistem bunyi tempatan adalah terkena tempias sikit tetapi tidak secara menyeluruh kerana artis luar ini akan bawa jurubunyi mereka sendiri dan kru,”katanya.

Senang dapat kelulusan Puspal – Hazamin Inteam 

Berkongsikan pengalaman menganjurkan konsert melibatkan artis dari luar negara, Pengarah Urusan Inteam Records Sdn. Bhd. (IRSB), Hazamin Harun berkata, sudah menjadi kewajipan pihaknya mewujudkan ekosistem pekerjaan melibatkan 80 peratus tenaga kerja rakyat tempatan.

Semasa mengadakan Konsert Religi Terhebat 2015: Opick Live Acoustic dan Konsert Maher Zain, 2011 di Shah Alam pihaknya melibatkan pasukan teknikal, kreatif serta artis tempatan sekali gus menjadi sumber rezeki kepada mereka.

“Sebenarnya, apabila membuat persembahan artis antarabangsa sudah menjadi syarat perlu ditampilkan sekurang-kurangnya seorang artis tempatan bagi sesi pembukaan.

“Masa konsert Opick dari Indonesia kita libatkan Lah Ahmad dan Daqmie. Konsert artis dari Eropah, Maher Zain, Inteam sendiri sebagai artis tempatan membuat sesi pembukaan,” katanya.

Mengulas kewajipan syarat tersebut, vokalis kumpulan Inteam berkata, permit Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) memang meletakkan syarat tersebut semasa penganjuran konsert melibatkan artis luar negara sebelum ini.

Sebagai penganjur, katanya, mereka perlu memastikan artis luar yang membuat konsert menjaga sensitiviti, adab, tatasusila, undang-undang serta tiada unsur kontroversi semasa persembahan.

Bagaimanapun, katanya, ada juga penganjur terlepas pandang aspek tersebut selepas mendapat kelulusan Puspal.

“Secara asasnya, tidak susah memenuhi syarat Puspal dan bayaran yang dikenakan berdasarkan negara-negara tertentu.

“Kebanyakan penganjur besar sudah biasa dengan Puspal serta ada contoh permohonan, jadi senang bagi mereka.

“Kalau dulu harga artis berbeza mengikut negara. Ada bayaran dalam RM1,000 mengikut bilangan artis, kalau datang secara berkumpulan semuanya akan dikira,” jelasnya.

Ditebak soal bayaran bagi artis Indonesia yang selesa dengan nilai matawang dolar Amerika Syarikat (AS), bagi Hazamin ia bukan soal ‘demand’.

“Setakat saya pernah runding memang melibatkan kadar matawang AS, belum pernah lagi melibatkan ringgit Malaysia.

“Bagi saya pengalaman dengan Opick dia bukan sejenis ‘demand’, boleh dibawa berbincang dan berunding mengikut keperluan penganjur seperti ingin pemuzik iringan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Hazamin berkata, Inteam sendiri agak lama tidak mendapat undangan mengadakan persembahan di Indonesia kerana kali terakhir empat tahun lalu.

“Dulu kami pernah buat persembahan di Jakarta, Medan dan Batam. Inteam lebih banyak mendapat jemputan di Pattani, selatan Thailand serta negara Eropah berbanding negara seberang.

“Bulan depan kami akan mengadakan persembahan di Kanada dan Amerika Syarikat sekiranya permohonan visa lulus,” katanya.

Guna kepakaran tenaga tempatan – Seven Skies Motion

Walaupun Seven Skies Motion menganjurkan konsert pada skala besar melibatkan penyanyi Indonesia, Cakra Khan, namun Pengarah Urusan syarikat itu, Azlin Hilda Abdul Latif tidak pernah meminggirkan artis serta tenaga kerja tempatan.

Buktinya, kata Azlin, pihaknya juga menggunakan khidmat kepakaran pengarah muzik Datuk Ramli MS serta artis undangan Aina Abdul dan Khai Bahar semasa konsert yang akan berlangsung 20 Januari depan.

“Prinsip saya kalau bawa artis luar kita tetap guna kepakaran rakyat tempatan. Contoh seperti konsert kita bekerjasama dengan artis Malaysia termasuk barisan pemuzik. Filem pula kita akan bawa Fattah Amin dan Aina Abdul ke Indonesia,” katanya.

Pemilihan Cakra Khan yang popular menerusi lagu Kekasih Bayangan jelasnya, adalah atas permintaan ramai peminat selain lagu-lagunya mendapat tempat rakyat Malaysia.

Mengenai soal bayaran, Azlin menjelaskan dia bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Cakra yang sangat bertimbang rasa.

“Memang dia tak ‘demand’ bayaran dalam mata wang dolar AS hanya dalam rupiah sahaja. Kos juga tidak membebankan dan dia juga sangat gembira kerana mendapat undangan daripada pihak kami,” katanya.

Disoal penganjur hanya memikirkan keuntungan semata-mata, Azlin menepis dakwaan itu kerana pihaknya tidak melihat keuntungan terlalu besar kerana merupakan penganjuran konsert pertama melibatkan pihaknya.

“Kami keluarkan peruntukan sangat besar untuk konsert ini  yang melibatkan orkestra dan pencahayaan LED kerana mahu penonton gembira dan terhibur dengan konsert yang disajikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azlin turut memberitahu, pihaknya juga mempunyai perancangan membawa artis tempatan ke Indonesia menerusi penghasilan filem dan single baharu.

“Kita fokus pada Aina dahulu melalui penghasilan single yang akan ditulisnya sendiri bagi menjadi runut bunyi filem baharu yang akan menjalani penggambaran di Indonesia.

“Filem itu akan diarahkan oleh Hanung Bramantyo yang pernah hasilkan filem Ayat-Ayat Cinta. Kita bawa Fattah Amin sebagai hero dan ini adalah langkah pertama, kemudian kita fikir perancangan seterusnya,” jelasnya.

Wujudkan sistem barter – Man Kidal

 Gitaris legenda, Man Kidal mencadangkan kepada kerajaan agar melaksanakan sistem barter dengan negara luar termasuk Indonesia dalam hal ehwal pemberian permit bagi penganjuran konsert.

Kata Man, pelaksanaan itu membolehkan artis tempatan juga  berpeluang untuk membuat konsert di luar negara.

“Dunia hiburan tidak bersempadan jadi tak wajar kita sekat kemasukan artis luar membuat konsert di negara kita sebab mereka juga ada peminat yang ramai di Malaysia.

“Pada saya, kerajaan perlu laksanakan langkah win win situation, meminta kerajaan negara lain agar meluluskan permit konsert  artis Malaysia di negara mereka apabila kita luluskan permit konsert artis mereka di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Man Kidal berkata konsep sistem barter tersebut juga dapat memajukan industri seni seperti yang berlaku apabila dua negara bertukar kepakaran dan teknologi.

“Dalam isu ini kita kena lebih berfikiran terbuka. Saya faham keluhan segelintir artis tempatan berkenaan isu ini tetapi kita tak boleh sekat artis luar buat persembahan di Malaysia sebab konsert  mereka ada permintaan daripada peminat tempatan.

“Kita perlu rujuk budaya Jepun yang melaksanakan dasar terbuka, mengalu-alukan persembahan artis luar dengan syarat ada kebaikan untuk industri seni di negara mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya