Hamba cerminan semua - Fattah Amin - Utusan Malaysia

Hamba cerminan semua – Fattah Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kembali dengan single baharu berjudul Hamba, pelakon dan penyanyi Fattah Amin menjadikan untaian indah ciptaan Hafiz Hamidun dan Mel Ramlan itu sebagai ‘ubat’ untuk segala rasa kedukaan yang dialami terutama akibat pandemik Covid-19.

Tidak dinafikan, wabak yang menular ketika ini bukan sahaja mampu melumpuhkan ekonomi tetapi turut menjejaskan emosi sehingga ada yang sanggup mengambil kerja tuhan.

Justeru, kata Fattah, sebagai hamba-Nya, adalah menjadi tugas semua orang untuk terus berdoa dan bersujud kepada Allah supaya segala kesukaran yang dihadapi akan segera berakhir.

“Lagu ini berkisar kepada penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhannya. Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian dan rintangan, kita jangan mudah putus asa.

“Sebagai hamba kita hanya mampu untuk berdoa dan Allah yang akan makbulkan permintaan kita. Insya-Allah akan ada jalan keluar untuk semua ini,” katanya.

Berkongsi proses rakaman lagu itu, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin, 31, berkata Hamba mengambil masa setahun dan versinya ditukar lima kali.

“Proses rakamannya banyak kali tertangguh disebabkan situasi pandemik yang dihadapi. Selain itu, penghasilan lagu ini juga dibuat dengan cukup teliti.

“Kalau saya dapati ada bahagian yang tidak berapa berkenan di hati, saya akan minta dibuat penambahbaikan sampailah saya betul-betul berpuas hati dengan hasilnya,” ujarnya.

Pilih Kmy Kmo

Mengenai kolaborasi pertama bersama Kmy Kmo, kongsi pelakon itu, memandangkan dia tidak pernah bekerjasama dengan penyanyi rap sebelum ini, hasrat itu disuarakan kepada syarikat label Universal Music Malaysia. Hasil perbincangan akhirnya sebulat suara memilih penyanyi rap itu.

“Dalam lagu ini dia menulis sendiri lirik dan juga mencipta melodi bahagian yang dinyanyikannya. Bagi saya Kmy sangat berbakat dan selepas mendengar hasil kerjanya, saya terus suka kerana melodinya dan liriknya sedap didengar malah selari dengan jalan cerita lagu ini.

“Perkara itu menjadikan kombinasi kami menjadi lebih menarik,” puji Fattah dalampelancaran lagu baharu secara maya bersama media yang diadakan minggu lalu.

Sementara itu bagi Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, dia bertambah teruja apabila dapat tahu Hamba dihasilkan oleh Hafiz Hamidun yang arif dengan karya bertemakan ketuhanan.

“Pertama kali saya mendengar demo lagu ini secara jujurnya memang terus saya tertarik dengan susunan dan jenis muzik juga melodinya. Ada suntikan bunyi slow reggaeton dan muzik padang pasir sikit, jadi memang kena sangat dengan jiwa saya.

“Bila saya dengar bait-bait liriknya, bertambah semangat untuk terus menulis. Bagi saya, lagu ini sangat bagus didengari lebih-lebih lagi kita semua diuji di dalam situasi pandemik yang mana ekonomi terjejas, tekanan emosi dan mental.

“Hamba ini mengingatkan kita semula kepada Maha Pencipta, di manakah kita patut cari semula semangat untuk hidup kalau bukan kepada Allah SWT,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Kmy, lagu itu sangat sesuai bagi semua peringkat umur. Muzik dan melodi yang segar dicampur sentuhan rap serta membawa intipati penuh dengan bait-bait positif.

Harapan Kmy, semoga Hamba dapat sambutan yang baik daripada semua pendengar dan peminat Fattah Amin, Hafiz Hamidun, dan juga dirinya sendiri. Mengakhiri perbualan, Kmy berterima kasih kepada komposer dan pelakon itu serta pihak Universal Music Malaysia kerana sudi memberikan projek kolaborasi menerusi lagu Hamba.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya