Tak adil buat pasangan saya – Zul Arifin - Utusan Malaysia

Tak adil buat pasangan saya – Zul Arifin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUPA-RUPANYA, susah juga jika seorang aktor memiliki pakej lengkap yang mampu meletakkanya dalam kategori pelakon lelaki berkualiti.

Pula itu, di Malaysia, tidak ramai yang benar-benar mencapai piawaian itu. Boleh dikira dengan jari umpamanya.

Sebagai­mana Zul Ariffin, tak usahlah kita pertikai bakat dan kemahiran lakonannya kerana ia sudah terbukti hebat, memang A.

Cuma, ada sedikit kegusaran di hati banyak pihak,mengapa ya setiap kali dirinya digandingkan dengan mana-mana pelakon wanita, Zul seakan sukar untuk lari daripada elemen gosip yang mengiringi karier seninya?

Berpeluang berbual mengenainya baru-baru ini, Zul berkongsi pandangannya buat pembaca Pancaindera.

Secara peribadi, Zul perasan tak setiap kali digandingkan dengan mana-mana pelakon wanita, mesti akan timbul gosip, cinta terutamanya. Boleh komen sikit?
Semasa bergandingkan dengan Mira Filzah sebelum ini tak ada, tapi selebihnya ya, saya pun sedar hal itu. Saya faham ini adalah ‘show business’. Orang nak sesuatu untuk diperkatakan.

Benda ini sudah jadi satu kelaziman sejak dulu, sebelum saya masuk industri pun. Malah, sebelum jadi pelakon pun saya sudah sedia maklum yang diri pun tak mungkin akan dapat lari daripada kena gosip dan sebagainya.

Pernah tak situasi seperti ini membuatkan Zul bimbang untuk berlakon dengan pelakon wanita?

Tentu. Ada kalanya saya jadi takut. Contohnya, kalau nak beramah mesra sangat di set penggambaran dan sebagainya, bimbang pelakon lain fikir saya itu dan ini. Hal itu membuatkan diri sendiri rasa tak seronok.

Misalnya, kena bergandingan dengan pelakon baru, kebetulan dia pernah dengar gosip tertentu pasal saya, entah-entah dia yang rasa tak selesa. Gosip pasal saya seorang sahaja tak apa lagi, yang tiba-tiba membuatkan pelakon itu juga terkait, itu lagi tak seronok.

Mak­sudnya, Zul pun sebenarnya tak sukalah terkena gosip seperti itu?

Saya sudah ada dalam industri ini lebih sedekad. Boleh dikatakan saya sudah terbiasa dengan keadaan itu. Apa yang saya fikir ialah, ketidakselesaan pelakon yang dikaitkan sebab kalau diri sendiri sahaja tak apa.

Bagi saya, tak adil untuknya. Mungkin pelakon wanita itu akan risau untuk terlalu rapat sebab takut terpalit gosip dengan saya. Kebanyakan masa, kita berada di set nak bina keserasian untuk watak yang dipertanggungjawabkan.

Kalau tiada pecahan perbualan, susah juga. Mana-mana pelakon yang digandingkan sebagai pasangan untuk sesebuah karya, ia menyaksikan sebuah kolaborasi dan nak jadi bagus untuk tujuan itu.

Adakah benar seseorang pelakon atau selebriti itu perlu wujudkan gosip untuk membantu kerjaya mereka, komen?

Macam saya katakan,tak boleh lari kalau selagi anda berada dalam dunia pentas glamor ini. Ia tetap akan ada dan datang daripada pelbagai penjuru. Saya sendiri sudah macam-macam yang dilalui kalau cakap pasal gosip.

Kalau anda tak mahu, saya cadang, buat sahajalah pekerjaan lain. Kalau anda dari awal masuk industri sudah tahu dan faham, lagi senang buat kerja. Ia adalah bagaimana anda mengawal diri sendiri.

Bergelar seorang aktor, dikenali, hidup anda akan jadi berbeza. Nak tak nak, akan wujud gangguan dalam hidup tetapi anda kena pandai mengawalnya. Pendek kata mental kena kuatlah. Kalau memang hendak diri dikenali ramai, di pentas glamor ini, anda cuma kena bersedialah. Satu pesan saya, jangan buat sesuatu yang akan membuatkan anda terkena balik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN