Show tiga hari, tapi pulang tangan kosong - Utusan Malaysia

Show tiga hari, tapi pulang tangan kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Membuat pilihan kala menentukan cita-cita dan arah tuju semestinya sukar. Tambahan pula jika menyimpang dari landasan asal, pastinya getir dan penuh cabaran. Begitulah situasi dialami figura cantik manis ini.

Siapa menduga irama dangdut yang dipelopori berjaya memahat namanya di persada seni tanah air walaupun genre yang dipilih punya pengikut yang terhad. Namun itulah rezeki.

‘Demam dangdut’ yang melanda negara pada pertengahan 90-an dahulu sedikit sebanyak membantu melonjakkan kariernya.
Tidak lokek dengan senyuman, tutur bicaranya cukup berseni dan mudah difahami. Pendek kata sosok ini cukup selesa didekati. Itulah realiti si pemilik nama Aishah An-Nur Osman, 42, atau dikenali dengan nama pentasnya Ani Mayuni.

Bersama Khabar Legenda dia berkongsi pengalaman, cerita suka dukanya sepanjang bergelar artis.

“Pada awalnya saya dan keluarga menetap di Pulau Pinang. Waktu itu saya cukup aktif dalam bidang sukan sehingga pernah meraih Anugerah Olahragawati Termuda Pulau Pinang dalam acara trek balapan.

“Namun ketika usia 15 tahun keluarga berhijrah ke Kuala Lumpur. Sekolah pula banyak mengadakan program seni dan persembahan berbanding sukan, jadi perlahan-lahan saya beralih arah.

Kebetulan pula ayah seorang bekas pemuzik kumpulan Impian Jejaka yang satu ketika dahulu cukup popular di Pulau Pinang, jadi banyaklah yang dia ajar saya.

“Ayah tanya apa yang ingin saya buat selepas selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sama ada Ingin serius dalam sukan atau nyanyian, kerana ketika itu saya sudah mula menyanyi di majlis keraian dan makan malam sekitar Kuala Lumpur,” katanya membuka bicara.

Tidak memberi sebarang kata putus, anak kelahiran Kuala Lumpur ini seakan sudah mampu membaca sinar di hadapannya. Pada 1995, dia mencuba nasib menyertai pertandingan nyanyian Asia Bagus.

Dinobatkan selaku naib juara setelah ketinggalan dua mata di belakang pemenang utama merupakan pencapaian menakjubkan, apatah lagi dirinya masih dikategorikan muda dan mentah.
Keyakinan merupakan azimat untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Berbekalkan azam, dia menyertai Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) anjuran RTM. Walaupun tidak berjaya mengungguli tiga tempat terbaik, namun terpilih sebagai finalis ke peringkat akhir sudah membanggakan.

“Komposer dan penulis lirik, Adinda Amirul menghubungi saya. Dia tawarkan saya rakam album bersama kumpulan Sugar. Ketika itu kemunculan kumpulan remaja seperti Feminen, Res2, 4U2C dan KRU cukup digilai peminat.

“Sugar bernaung di bawah label Fantasaia Music City (FMC) dan merakamkan album berjudul Cantik Manis pada 1996. Namun kumpulan ini tidak kekal lama apabila dua rakan saya menarik diri kerana komitmen lain. Jadi tinggallah saya terkontang- kanting seorang diri,” katanya.

Bakat yang ada tidak dipersiakan. Tawaran pihak Insitec untuk merakamkan album Tribute To Poppy Mercury ibarat bulan jatuh ke riba. Walaupun album tersebut dipasarkan di Indonesia, namun itu adalah penghargaan yang cukup bermakna buatnya.

Demam dangdut yang melanda negara pertengahan 90-an merubah landskap hidupnya. Ditawarkan merakam album solo dengan syarat perlu beralih ke irama dangdut merupakan impian di luar jangkaan kerana sebelum ini dia cukup sinonim dengan genre pop dan balada.

“Penyanyi dan komposer Iwan diberi tanggung jawab untuk menerbitkan album saya. Mulanya saya agak tertekan kerana sikapnya yang cukup cerewet dan teliti dalam setiap aspek. Dia mahu saya ikut caranya. Bayangkan saya pernah berkurung selama tujuh jam dalam studio gara-gara dia tidak puas hati dengan cara nyanyian saya.

“Nama Ani Mayuni lahir dari ideanya yang menggabungkan nama arwah datuk dan nenek saya. Album pertama Goyang Malindo buatkan saya lebih dikenali. Setiap minggu berkarung surat saya terima daripada peminat. Demi menghargai mereka semuanya saya balas,” katanya.

Meniti populariti dalam jangka masa singkat adalah rezeki yang tidak diduga. Album Sha La La adalah hasil kolaborasi pertamanya dengan penyanyi dangdut Shikin, sebelum ditawar merakamkan kompilasi dangdut untuk album Super Duet Hits terbitan Warner Music.

Kelahiran album kedua berjudul Sedap yang diterbitkan pada 1999, sekali lagi memberi impak terhadap kerjayanya apabila album tersebut dinobatkan sebagai Album Dangdut Terbaik.

Selain itu, namanya juga tercalon sebagai finalis untuk kategori lagu dan penyanyi terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Atas populariti ketika itu saya telah dipilih mewakili negara untuk mengadakan persembahan selama dua minggu di World Art Game (WAG) yang berlangsung di Croatia. Pengalaman ini cukup berharga kerana saya dapat berkongsi pentas bersama semua penghibur dari seluruh dunia.

“Tidak dinafikan rezeki saya sentiasa murah apabila sering menerima undangan mengadakan persembahan di istana negeri dan Brunei terutamanya ketika berlangsungnya hari keputeraan dan majlis keraian. Menyanyi di istana tidak mudah. Kena ikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Walau bawa lagu dangdut tapi tak boleh nak gelek lebih-lebih macam di atas pentas,” katanya.

Menyingkap memori kenangan pahit sebagai anak seni adalah lumrah. Dia tidak terkecuali. Isu persembahan tidak dibayar, ditipu penganjur adalah asam garam yang perlu dihadam.

“Pernah satu ketika saya dapat tawaran menyanyi funfair selama tiga malam di Kuching, Sarawak. Waktu itu penyanyi tidak dibayar secara lump sum tetapi dibayar melalui komisen jualan tiket.

Nak jadikan cerita ketika di sana saya langsung tidak boleh buat show, kerana tiga malam berturut-turut hujan lebat. Nasib baiklah tauke funfair baik hati dan beri saya token sebelum pulang. Jika tidak memang balik dengan tangan kosong.

“Walaupun pendapatan penyanyi dahulu tidak lumayan seperti hari ini, tetapi setiap minggu saya ada show di serata negeri. Setiap minggu turun naik flight macam pramugari,” ujarnya ketawa.

Perancangan tergendala gara-gara pandemik

Tidak menafikan banyak persiapan yang dirancang sebelum ini terpaksa ditangguh gara-gara pandemik covid-19 yang melanda dunia ketika ini. Bukan meratapi, malah jauh sekali menyalahkan takdir, dia sentiasa berdoa agar kemelut ini berakhir segera dan dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Menegaskan dirinya tidak akan berhenti menyanyi selagi diperlukan, dia bersama label Red Hot Entertainment sudah merancang jadual masa hadapannya ketika ini. Mengakui beberapa perkara sudah dimuktamad dan hanya menunggu masa sesuai untuk direalisasikan.

“Insya-Allah, jika pandemik berakhir, saya akan masuk studio rakam lagu baru dan rancang untuk buat mini showcase. Selain itu sebuah syarikat produksi juga sudah bersetuju menawarkan saya menjadi hos untuk rancangan masakan Masak Bersama Ani Mayuni,” katanya mengakhiri perbualan.

Sebarang pertanyaan berkaitan Ani Mayuni bolehlah hubungi Red Hot Entertainment di talian 011-2851227/018-5724228 atau Instagram @redhotentertainment.my dan email [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN