WANITA ini sudah terbiasa memper-tontonkan karakternya yang gila-gila atau mudah ceritanya, dia memiliki sifat happy go lucky yang cukup kuat tersemat dalam dirinya.
Mana tidaknya, sejak muncul dengan watak Lailer dalam drama popular Kampung People, Riena Diana seakan sudah sebati dan senang dikenali dengan nama gadis kampung itu meski ia bukanlah satu-satunya naskhah yang pernah dilakonkan olehnya sejak berkecimpung dalam industri.
Maka, apabila dia memperlihatkan sisi lemahnya, menangis dalam kesayuan sambil ditonton oleh ribuan peminatnya dalam ruangan Instagram TV (IGTV) baru-baru ini, Riena dilihat seakan tidak peduli lagi dengan reputasi popular yang diraihnya ketika ini.
Iyalah, ramai sahaja artis yang malu untuk kelihatan tidak cantik di hadapan kamera, tetapi berbeza pula dengan Riena yang dilihat berulang kali menyapu air matanya.
Tidak, bukan kerana dia dimarahi atau membuat curahan hati putus cinta atau diapa-apakan, jangan pula salah sangka.
Tetapi tempoh hari, Riena menangis kerana sedang terkesan dengan kisah seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang sudi bersiaran langsung dengannya.
Bukan saja-saja hendak memancing tontonan tinggi dalam media sosial sehingga sanggup berpura-pura ‘menjual’ air mata, tetapi kata Riena, dia benar-benar tersentuh hati mendengar keperitan hidup Siti Mariam.
“Sebenarnya, saya ada buat segmen sendiri dalam media sosial untuk membantu mana-mana insan terpilih pada setiap minggu. Tiada niat lain, hanya mahu berkongsi rezeki. Jika ada daya dan kudrat, saya akan cuba bantu mereka.
“Orang yang nampak kecil ini, mereka sebenarnya kuat semangat. Apa yang Kak Siti kongsikan menyentuh perasaan saya dan automatik menimbulkan rasa syukur dengan apa yang dimiliki dan dikurniakan-Nya sekarang,” katanya.
Kongsi Riena, sebagai seorang manusia, tentulah dia juga tidak pernah lari daripada dilanda masalah sehingga adakalanya membuatkan dirinya dirundung kebuntuan.
Apalagi dalam keadaan sekarang pada pandangan Riena, rata-rata orang barangkali sedang berasa ‘sakit’ yang sama, terkesan dengan keadaan semasa terutama ketika dunia juga masih belum pulih daripada pandemik Covid-19.
“Ini pengalaman saya sendiri. Contohnya beberapa hari lepas saya akui menangis sendirian kerana risau dengan kehidupan.
“Banyak perkara bermain dalam fikiran dan saya fikir terpaksa bekerja keras dan kena keluar daripada zon selesa untuk bantu diri sendiri. Takkanlah mahu mengalah pada keadaan begitu sahaja?
“Tetapi hakikatnya, ada orang lain lagi yang lebih susah daripada kita. Maka jangan sesekali mengeluh.
“Mendengar kisah perit orang lain, menyedarkan saya bahawa hidup ini tidak semuanya perlu indah. Naik turun itulah yang mengajar kita erti kehidupan yang sebenar,” katanya.
Selain itu, menurut pelakon berusia 24 tahun ini lagi, apabila melihat ramai orang yang kesempitan hidup dan bersusah payah mencari rezeki, semua itu membuatkan dirinya berasa terinspirasi untuk mengadakan segmen tersebut pada setiap minggu.
Bukan hanya untuk membantu, kata Riena, ia malah secara tidak langsung dapat memberi kesedaran buat dirinya sendiri yang kini juga sedang mengusahakan perniagaan laksa secara kecil-kecilan.
“Terima kasih kepada Kak Siti kerana sudi berkongsi mengenai kehidupannya. Kita sama-sama tolong tanpa mengira siapa pun kita.
“Mungkin keistimewaan saya mempunyai ramai pengikut dan itu juga adalah salah satu rezeki yang Allah SWT kurniakan pada diri ini.
“Saya cuba kongsikan segala apa yang boleh menerusi platform ini. Semoga perkongsian ini dapat memberi kesedaran dan semangat buat semua orang terutama mereka yang menjalankan perniagaan.
“Jangan putus asa. Walau apa jadi sekali pun kita mesti terus pandang ke hadapan dan pesanan ini juga dititipkan buat diri saya sendiri supaya tidak mudah lupa diri apabila sudah berjaya suatu hari nanti,” katanya.
Sedar bahawa sesi perkongsian itu turut mencuri perhatian warganet, Riena menganggap ia satu perkara yang positif jika ia diambil dan dilihat juga dari sudut pandang yang positif.
“Sekali lagi ditekankan, perkongsian itu bukanlah dibuat demi meraih pujian atau untuk orang cakap yang saya ini baik. Bukan itu yang saya mahukan.
“Saya benar-benar berharap mereka yang menonton, berkongsi video itu dalam ruang media sosial mereka, agar sama-sama dapat manfaat dari sudut yang baik dan bukan sebaliknya.
“Siapa tahu, akan ada lebih ramai lagi orang mahu berbuat kebaikan pada masa akan datang kerana video itu. Insya-Allah, saya doakan semuanya sentiasa dilimpahkan rezeki dariNya,” katanya.
TERHARI DIBERI PELUANG
Sementara itu, bagi Siti Mariam, perkongsian pertama kalinya tentang pengalaman hidup bersama seorang selebriti popular seperti Riena nyata membuahkan rasa terharu dalam dirinya.
Dia yang menjalankan perniagaan produk kesihatan C-Mary memberitahu, jujurnya bukan seorang yang mudah untuk menjaja kisah pahitnya atas nama simpati atau perhatian.
Sebaliknya, ibu kepada dua cahaya mata ini ingin membuktikan bahawa OKU sepertinya juga mampu berjaya tanpa perlu berputus asa.
“Saya orang biasa, tak tahu apa-apa sangat mengenai media sosial tiba-tiba dipelawa oleh selebriti popular seperti Riena untuk berkongsi kisah hidup. Tak ada apa yang saya boleh katakan, syukur dan terharu sangat.

Menurut Siti, dia adalah pemegang kad OKU kerana insiden tergelincir pada Januari 2012 sewaktu pulang dari bekerja. Insiden itu menyebabkan dia tidak mampu berjalan seperti biasa.
“Ketika itulah, bermula titik hitam dalam kehidupan saya apabila doktor mengesahkan urat kaki saya putus. Saya sendiri tidak menyangka akan diuji sedemikian.
“Bayangkanlah kesan daripada insiden itu dan saya tidak mampu berjalan seperti biasa sehingga ke hari ini. Tetapi biarpun diduga sebegitu, saya nekad enggan berdiam diri dan mahu mencari penawar sehingga sanggup berusaha menghasilkannya sendiri.
“Saya akui, sudah ribuan ringgit dihabiskan demi mencari kesembuhan. Tentulah impian saya adalah mahu sihat seperti sedia kala dan bila sudah sihat, niat utama adalah mahu menolong orang lain pula,” katanya.











