NAMANYA satu ketika dahulu menyinar di puncak seni. Suara, lakonan dan lawak jenakanya juga pernah mewarnai hidup rata-rata kita. Dia insan seni yang tidak boleh dipertikai bakatnya.
Pelakon, penyanyi, pengacara, pelawak dan penyampai radio, setiap satu profesion yang ada dalam industri seni pernah digenggamnya. Maka tidak keterlaluan jika dia selayaknya dianggap seorang ikon anak seni.
Siapa yang tidak pernah mendengar lagu Gali Lubang, Tutup Lubang? Apatah lagi Kopi Dangdut yang pernah ‘panas’ satu ketika dahulu. Atau menonton filem popular, Keluarga 99?
Itu mungkin sebahagian daripada isi yang terkandung dalam diari seni milik suami kepada tiga orang isteri itu. Dia mencipta nama menerusi bakat. Kontroversi adalah percikan warna dalam kanvas seni.
Namun bagi lelaki yang diberi nama Salih Yacoob ini, populariti dan sanjungan bukan lagi satu kemahuan. Cukup sudah semua yang pernah diraih. Dia kini hanya mahu kembali ke asal, bersedia bertemu Tuhan.
Tidak pernah bercita-cita menghembuskan nafas atas tiket seorang legenda seni, Salih puas mengejar itu semua. Dia tidak mahu dibebani dengan tekanan dan kemahuan untuk bergelar seorang bintang.
“Saya sudah perlahan melupakan zaman kegemilangan. Kita kena ingat, kita ini manusia. Apa sahaja yang Allah beri, tidak akan kekal. Begitu juga hayat hidup, satu masa kita akan pulang ke negeri abadi.
“Saya sedang mempersiapkan diri ke arah itu. Kita tidak tahu bila ajal akan datang menjemput. Saya takut jika hidup mengejar duniawi. Cukup apa yang pernah saya kecapi, itu satu episod yang manis.
“Di usia ini, saya tidak mahu terbeban untuk mengejar sanjungan orang. Sekarang masa saya kejar dan cari reda Allah. Menjalani hidup seadanya, bersama keluarga dan rakan yang ada,” katanya memulakan bicara.
Bukan mudah sebenarnya untuk dia melontarkan semua kenangan yang ada. Namun, itu bukan sesuatu yang harus dikhuatiri. Malah, dia juga tidak risau andai nama Salih Yacoob ‘hilang’ dari radar seni satu hari nanti.
Percaya soal rezeki itu harus diikhlaskan ke tangan tuhan, di tangga usia 60 tahun, Salih tidak mengharapkan sebarang anugerah atau penghargaan bagi ‘membalas’ jasa lebih 40 tahun dalam industri.
“Tak perlu pun bagi anugerah atau trofi. Satu sen pun tak dapat. Bukan boleh jadi kaya pun kan? Zaman itu sudah berlalu. Sekarang saya bahagia dengan keluarga. Sesekali berlakon itu untuk lepas rindu,” katanya.
MELAWAKLAH IKUT ZAMAN
Diaju soalan, benarkah pelawak zaman sekarang hanya syok sendiri dan tidak sensitif, Salih punya pandangan sendiri. Baginya, pelawak juga ada zaman masing-masing.
Bukan mahu menidakkan kenyataan pelawak veteran, Hamid Gurkha yang menyifatkan pelawak sekarang melawak kosong, tetapi bagi Salih, zaman kini memerlukan mereka untuk melawak sedemikian.
Tetap tidak bersetuju andai elemen lucah atau isu sensitif dijadikan bahan jenaka, namun Salih berkata, pelawak muda perlu sentiasa memperbaiki diri dan menerima kritikan seikhlas hati.
“Kita tak boleh samakan zaman kita dengan sekarang. Semua itu sudah berlalu. Komedi sekarang pun mengikut trend semasa. Tak boleh kita nak banding-bandingkan. Mereka juga sudah buat yang terbaik.
“Cuma kalau ada pelawak yang terlepas laku atau kata itu, biasalah manusia. Kita belajar daripada kesilapan. Beri peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri dan menyokong bukan untuk membawa rebah.
“Kita sebagai senior perlu bagi nasihat. Kena akui zaman berubah, komedi juga begitu. Tidak mungkin sama. Ada yang boleh terima atau tidak, itu terpulang,” katanya.

RM50 SEHARI? TERIMA KASIH SAHAJA
Berbicara soal kerjaya seni, perlahan Salih menghela nafas panjang. Sesekali berlakon, Salih sedar di usia emas ini, dia bukanlah pilihan produser atau penerbit.
Malah dedahnya, dia pernah ditawarkan bayaran RM50 sehari untuk sebuah drama. Bukan demand atau berlagak, namun bayaran itu tidak setimpal kudrat dan lelah. Apatah lagi, dia punya pengalaman berpuluh tahun lamanya.
“Berlakon itu adalah sesekali. Tetapi tak larat dah sebenarnya. Cuma kalau ada yang tawar, kita tengok bayaran. Ada datang bawa tawaran tetapi nak bayar RM50 sehari?
“Saya tahu kami (pelakon veteran) sudah tua tapi jangan pijak-pijak maruah kami. Asyik guna alasan sama, bajet tak cukup lah, gawatlah. Sudah-sudahlah. Kami bukan sehari dua dalam industri.
“Sekali sekala ada juga saya memenuhi undangan atau permintaan rakan industri. Tapi untuk betul-betul hendak berlakon, tidak lagi. Saya hidup cukup seadanya je sekarang,” katanya.
Masih bahagia dengan tiga isteri, Salih juga tidak berhasrat untuk menambah kuota. Malah, isteri-isterinya juga bijak mencari pendapatan sekali gus dapat membantunya menguruskan perbelanjaan harian mereka sekeluarga.
“Saya masih bersama tiga orang isteri. Nak tambah lagi satu? Itu bukan kerja saya. Tetapi kalau ada wanita menangis-nangis datang hendak kahwin dengan saya, satu soalan, untuk apa?
“Di usia sekarang, bukan duit menjadi keutamaan. Saya nak cari reda Allah. Saya hidup tak lama pun lagi. Ramai kawan-kawan sudah pergi, sikit lagi masa saya pula,” katanya.










