
TIDAK mudah merawat dan memujuk hati lara di kala keseorangan. Tambah pula jika dahan berpaut selama ini dilanda taufan lalu sekah dan patah. Pun begitu hati wanita ini cukup kental mengharunginya. Meninggalkan apa yang dimiliki merupakan antara keputusan ‘rela dalam terpaksa’ yang perlu dibuat gara-gara isu penceraian yang terpalit pada 2018.
Tidak mahu terus meratapi, wanita ini lantas bangkit mencari kekuatan. Walau berdepan saat sukar, dia tetap tabah dan bersemangat mengharunginya.
“Penceraian lalu sedikit sebanyak memberi kesan dan tamparan hebat buat saya. Hidup kosong dan terasa kehilangan. Namun Allah SWT berikan saya kekuatan. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.
Bersama Mingguan Malaysia, penyanyi lagu Menepis Rawan, Sharifah Hadijah Wan Moss, 48, atau lebih sinonim dengan panggilan Deja Moss, berkongsi detik di sebalik penceraiannya sehingga bertemu jodoh dengan jejaka pilihan, Maher Alkhani, seorang ahli perniagaan berketurunan Amerika-Syria pada awal 2019 lalu.

“Saya berkenalan dengan suami melalui seorang teman yang tinggal di Amerika Syarikat (AS). Pada mulanya kami hanya berhubung melalui telefon, namun setelah hampir sebulan berkenalan dan mengenali hati budi masing-masing, dia menyatakan hasrat melamar saya.”
“Suatu hari dia buat kejutan.
Selepas pulang daripada urusan perniagaan di Turki, dia terus singgah ke Kuala Lumpur dan berikan sebentuk cincin tanda lamaran. Perkara tersebut berlaku dalam waktu singkat, kerana keesokannya dia terus pulang semula ke AS.
“Selepas itu kami berhubung seperti biasa, sehinggalah dia mencadangkan saya datang ke AS untuk bertemu dan berkenalan dengan ahli keluarganya. Setelah keluarga izinkan, saya pun ‘terbang’ ke sana menemuinya. Tidak dinafikan saya cukup selesa dengan keluarganya termasuk penerimaan anak-anaknya daripada perkahwinan terdahulu. Mereka cukup menghormati saya,” ceritanya panjang lebar.
Antara faktor utama membuatkan dia tertarik dan menerima lelaki itu adalah kerana sikap ambil berat, berterus terang, bertanggungjawab serta ikhlas dalam perhubungan. Katanya, suami juga sentiasa merendah diri dan menerima dirinya seadanya.
Tidak menafikan ahli keluarga pada mulanya kurang bersetuju dengan keputusan drastik yang diambil, tambah pula dia baharu sahaja pulih dari fasa kekecewaan, namun mengakui tidak mampu melawan takdir. Perancangan melayari fasa kehidupan baharu tidak mungkin dinafikan lagi. Jalan ceritanya sudah tertulis di Luh Mahfuz.
Lantas menyuntik kepercayaan untuk dinilai keluarga. Perancangannya membina mahligai baharu akhirnya diizinkan keluarga. Tidak menunggu lama Deja merealisasikan impiannya.
“Pada mulanya ibu agak keberatan, maklumlah dia amat rapat dengan saya. Dia seolah tidak percaya saya ada perancangan berkahwin semula dalam tempoh terdekat. Dia minta fikir semasak-masaknya sebelum buat keputusan. Tidak perlu buat keputusan tergesa-gesa untuk cari pengganti. Dia syorkan saya supaya menjalani serta menikmati hari-hari indah sebagai seorang wanita single ketika itu,” katanya ketawa.
Pernah mengalami kekecewaan dalam fasa perkahwinan terdahulu menjadikan pasangan ini tidak mahu menunggu lama untuk mengejar impian. Di usia sebegini sifat keserasian serta kepercayaan sudah cukup dijadikan tiket untuk memeterai ikatan.

“Pada mulanya ibu mentua agak terkejut bila tahu saya seorang penyanyi. Dalam fikirannya menganggap penyanyi wanita di Malaysia ini sama seperti penyanyi dan penari gelek di negara mereka yang seksi dan sosial. Tapi setelah suami terangkan dan beri dia tonton setiap persembahan saya dalam media sosial, barulah dia faham.
“Yang paling saya gembira dan terharu apabila anak-anak suami dapat menerima saya sebagai ibunya yang baharu. Walaupun perkahwinan saya sebelum ini tidak dikurniakan cahaya mata, namun jujur saya katakan amat menyayangi mereka seperti darah daging sendiri walaupun perkenalan itu berlaku dalam jangka masa yang singkat.
“Saya pernah tanya suami kenapa dia memilih saya sedangkan berbeza budaya dan tinggal jauh di Malaysia. Jawabnya itu bukanlah masalah besar. Asal mana seseorang itu juga bukanlah ukuran, yang pasti wanita pilihannya adalah seorang Muslim berhijab dan memenuhi kriteria yang diinginkan. Itu sudah memadai,” katanya
Selepas selamat diijab kabul di Chicago, Deja pulang semula ke tanah air. Namun perancangannya untuk mengadakan majlis perkahwinan pada April tahun lalu di Kuala Lumpur tergendala gara-gara pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika itu.
Walaupun terkilan kerana tidak dapat meraikan bersama ahli keluarga dan sahabat handai, namun anak kelahiran Kuching, Sarawak ini tetap akur dan menganggap semua yang berlaku hikmah dari Allah SWT.
“Memang ada sedikit rasa terkilan kerana tidak dapat meraikan momen indah bersama insan tersayang, tapi insya-Allah, satu hari nanti jika ada rezeki mungkin saya akan meraikan bersama keluarga.
“Ketika ini saya dalam dalam proses persiapan mengikut suami berhijrah ke AS. Ikutkan semuanya sudah sedia, mungkin kalau pandemik Covid-19 ini reda dan pintu sempadan kembali dibuka saya akan berpindah ke sana. Kini hanya menunggu waktu sesuai sahaja.”
“Ibu pada mulanya bising juga bila saya beritahu nak berhijrah mengikut suami. Dia tanya kenapa nak pindah jauh-jauh. Saya jawab walau sejauh mana pun saya tinggal, saya tetap akan pulang ke
Malaysia. Lagipun sekarang ini pelbagai kemudahan media sosial ada untuk lepaskan rindu dan bertanya khabar,” katanya.
Syukuri momen indah
Ketika dicungkil rahsia hatinya berkenaan bidang nyanyian dan perniagaan yang pernah diceburi sebelum ini, Deja mengakui momen itu antara pengalaman manis yang pernah ditempuh sepanjang hidupnya. Walaupun tidak pernah mengimpi untuk diulang kembali, namun dia pasrah jika itu ketentuan takdir dan Ilahi.
“Setiap percaturan yang dibuat bukan semuanya membuahkan hasil. Contohnya seperti single Menepis Rawan yang dikeluarkan pada tahun lepas. Kesilapan utamanya kerana promosi tidak dapat dijalankan kerana ketika itu negara sedang dilanda pandemik Covid-19. Tambah pula ketika itu saya baru lepas uruskan perkahwinan.
“Kalau cerita bab perniagaan rasanya saya sudah serik. Memang sebelum ini saya pernah buka restoran kerana saya suka memasak. Tetapi selepas berpisah saya rasa agak down dan tidak dapat nak tumpukan sepenuhnya pada perniagaan.
“Akhirnya tak dapat beri tumpuan dan terbiar macam itu saja. Itu belum kira dengan kerenah pekerja-pekerja lagi. Sudahlah kita ini ada masalah, lepas itu mereka tambah pula dengan masalah lain. Memang saya cukup serik.
“Bagaimanapun semuanya bergantung pada hari mendatang. Manalah tahu jika suatu hari nanti saya ada kekuatan untuk harunginya semula, pasti akan saya fikirkan. Yang penting semuanya atas keizinan suami,” katanya menutup perbualan. – MINGGUAN MALAYSIA











