Cinta? Tunggu dahulu - Rita Nadira - Utusan Malaysia

Cinta? Tunggu dahulu – Rita Nadira

Rita Nadira balan muncul melalui drama bersiri 'Tak Sempurna Mencintaimu' yang diinspirasikan daripada novel karya Rehan Makhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon ini pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon, Ezzrin Loy yang juga adik kepada Elfira Loy. Namun jelas Rita Nadira, sehingga hari ini hubungannya dengan Ezzrin masih lagi baik. Menolak ada masalah di antara mereka, jelasnya dia juga sangat menghormati hubungan yang sudah lama terjalin antara dia dan keluarga bekas kekasihnya itu.

“Rasanya sudah dua tahun kami tidak lagi bersama, jujurnya hubungan saya dengan dia tidak ada masalah. Kami masih berkawan seperti biasa.

“Ikutkan saya lebih rapat dengan kakak dia, jadi memang ada berkomunikasi tetapi bukanlah sebagai kekasih lagi hanya kawan. Kami berpisah juga cara baik apabila masing-masing mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya buat masa ini,” katanya jujur.

Tidak gopoh dalam mencari cinta, jujur Rita Nadira sendiri bukan mudah mencari kekasih. Ketika ramai yang menduga dia bakal menjadi rebutan ramai lelaki, akui Rita sendiri dia sebenarnya juga bingung bila tiada siapa yang mendekati.

“Jujurnya memang tidak ada langsung yang cuba mendekati saya sepanjang solo ini. Mungkin ada yang takut agaknya (ketawa). Nampak wajah saya agak garang dan tinggi sangat.

“Tetapi memang saya tidak sunyi pun sepanjang tiada kekasih ini. Bagi saya dalam tempoh sekarang lebih penting untuk saya memberi fokus kepada kerjaya dahulu. Paling penting adalah keluarga sebenarnya. Jadi saya tidaklah tertekan sangat tiada kekasih pun,” jelasnya lagi.

WATAK ANTAGONIS

Sibuk menjalani penggambaran drama bersiri terbitan Zeel Production berjudul Tak Sempurna Mencintaimu untuk slot Akasia TV3, kali ini Rita akan mempamerkan watak yang berbeza daripada dirinya.

Takut dengan penerimaan penonton kelak, namun dia akui ini adalah satu lagi permulaan yang baik dalam dunia lakonannya.

“Dalam drama ini saya membawakan watak antagonis, memang karakter yang berbeza daripada saya sendiri. Sepanjang penggambaran saya juga perlu memberikan gabungan mood yang berbeza yang sedikit sebanyak mencabar kemampuan lakonan.

“Jujurnya kita tahu penerimaan penonton terhadap watak antagonis ini. Buat masa ini saya tidak tahu impaknya lagi sebab belum ditayangkan, kalau kita lihat ada penonton yang membawa keluar watak tersebut.

“Jika keadaan itu berlaku saya fikir sudah bersedia untuk menghadapinya,” katanya.

TOLAK PAKAI SEKSI

Mula mencipta nama dalam dunia peragaan sejak enam tahun lalu, ketika ini ada cabaran baharu yang ingin dicari. Menggunakan kemampuan diri dan kelebihan fizikal yang dimiliki dia memilih untuk bergelar pelakon kini.

Mengakui perbezaan ketara mengenai dua bidang ini, Rita Nadira bagaimanapun menolak populariti menjadi fokus diri.

“Saya masih lagi aktif dalam dunia peragaan. Walaupun hanya aktif sebagai pelakon sejak setahun lalu, memang tidak dinafikan ada perbezaan mengenai dua kerjaya ini. Kalau ikutkan berada di pentas peragaan itu lebih mudah berbanding dunia lakonan yang kita tahu banyak komitmen.

“Namun berada dalam fasa pembelajaran ini, saya akui melalui pengalaman yang sangat menarik sebagai seorang pelakon dan seronok juga,” kongsinya.

 

 

Dunia peragaan masih menjadi pilihan.

Bukan mencari populariti , bagi gadis berusia 24 tahun ini dia cukup selesa dengan kejayaan dalam bidang peragaan sebelum ini. Hanya mahu mencabar diri, jelasnya di usia yang masih muda dia bersyukur terus diberi peluang.

“Soal kontroversi tidak pernah membuatkan saya gentar. Kalau jika berhadapan dengan keadaan seperti itu apa yang penting adalah untuk mempunyai pemikiran yang positif. Jadi bukan populariti yang dikejar dalam keadaan sekarang saya hanya mahu menikmati peluang yang dimiliki.

“Paling penting ketika ini bagaimana mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan adalah perkara yang membuatkan saya ingin terus bertahan walaupun saya tahu dunia peragaan itu jauh lebih mudah,” jelasnya.

Walaupun bergelar peragawati namun itu bukan tiket dirinya berani berpakaian seksi.

“Setakat ini pengikut saya di laman Instagram hanya 63,000. Walaupun kita tahu bagaimana pentingnya laman sosial kini dalam menentukan pemilihan pelakon tetapi saya sentiasa percaya dengan rezeki.

“Tidak perlu rasanya untuk berpakaian seksi hanya sekadar mahu dikenali. Sejak jadi peragawati lagi saya memang selalu menolak kalau perlu memperagakan pakaian yang tidak sesuai. Dalam keadaan ini saya akan sentiasa mengikut kata ibu,” jujurnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN