TEMPOH hari, ketika sesi temubual berlangsung, anak muda ini tanpa sedar tidak mampu menahan air matanya dari jatuh. Mengimbas kembali segala kekhilafan silam, Zaynakal tidak menolak segalanya bagai satu episod hitam yang sentiasa akan melekat pada dirinya sampai bila-bila.
Isu pergaduhan dengan rakan artis, dilanda kemurungan dan tekanan, dibelenggu penyakit bipolar dan kontroversi tanpa diminta, Zayn bersyukur kerana semua pengalaman itu menjadikan siapa dirinya kini.
Bangkit melawan ‘raksasa’ dalam diri, penyanyi dan komposer muda ini kini lebih tenang dan matang, memperbaiki semula kerjaya dan perjalanan hidupnya.
“Perasaan saya dah tak macam dulu. Kalau sebelum ini saya naik dalam keadaan tak seimbang dengan macam-macam perkara buruk berlaku, kemudian diduga dengan kejatuhan. Semua itu memberikan saya satu sudut pandang baru yang lebih luas.
“Tuhan Maha Besar, dia berikan saya peluang untuk muhasabah diri, buat post-mortem sendiri apa yang perlu diperbaiki maka seharusnya saya bersyukur,” katanya.
Lapan bulan berdepan dengan depresi dan berada di bawah pengaruh ubat oleh doktor yang merawat, Zayn ketika itu hampir gila kerana rasa gagal mencari dirinya sendiri.
Walhal, ketika itu lagu berjudul Sakit ciptaannya bersama Yonny sedang hit dan mendapat sambutan ramai peminat.
“Saya ‘sakit’, tak boleh menulis dan buat lagu. Saya menangis tak tahu apa dah jadi dengan diri sehingga ada ketika terfikir mahu membunuh diri.
“Dulu saya sendiri pertikai kenapa ada orang sampai nak bunuh diri? Contohnya, ada artis Korea yang bunuh diri, kenapa?
“Sifat manusia yang suka menghakimi, kita selalu pertikai kerana kita tak rasa dan lalui. Bila jadi pada diri baru saya faham,” katanya.
TAK MAHU HANYUT
Cerita penyanyi berusia 22 tahun ini lagi, dia berterima kasih dengan setiap orang yang menghulurkan tangan, tidak meninggalkannya selain tidak pernah jemu membantu menaikkan semula semangatnya yang rapuh.
Bagi Zayn, semua episod hitam yang terjadi bagai satu ‘hadiah’ dari Tuhan buatnya dan penyesalan bukanlah apa yang perlu difokuskan sekarang.
“Walaupun ada yang tak berkawan dah, ada yang mengkritik, mengeji dan sebagainya, jujur saya tak kecil hati atau marah, sebab tak semua orang faham yang kita ‘sakit’.
“Tak apalah, biar saya kena sekarang daripada usia lambat baru nak terkena kejutan budaya atau perkara macam ni, mungkin semasa itu saya akan jadi lebih teruk.
“Saya dah tak mahu bergaduh dengan sesiapa lagi dan nak fokus kepada kebaikan pada masa depan sahaja,” katanya.

KALAU SAKIT MENANG
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia menaruh harapan untuk memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi lagu Sakit, Zayn menepis perkara itu kerana baginya ia bukan soal dirinya yang mahu menang, tetapi harapan orang lain pada dirinya.
Merasakan dirinya mampu berdiri sebagai seorang bintang sekarang juga adalah kerana sokongan semua pihak, maka dia menganggap dirinya tidak layak untuk diangkat seorang.
“Kalau saya menang dan diberi peluang untuk berucap, saya nak katakan kejayaan itu bukan saya seorang tetapi kerana ‘tangan-tangan’ yang bersama saya.
“Orang lupa, artis itu adalah satu produk dan yang menjadikannya bintang bukan cuma dirinya sahaja. Baik peminat, pendengar, yang like dan subscribes lagu itu di YouTube, yang jaga lampu di pentas, jaga sistem audio muzik, pendek kata orang di belakang tabir.
“Kalau dapat dipecahkan anugerah itu, saya nak setiap orang rasa dan memegangnya sambil katakan pada mereka ‘nah ini adalah kejayaan kita’.
“Kalau ada 34 juta orang yang sokong saya, sebanyak itu jugalah ibaratnya saya nak beri mereka rasa kejayaan itu,” katanya sambil menyeka air mata yang jatuh.









