Digitalisasi lonjak perniagaan PKS - Utusan Malaysia

Digitalisasi lonjak perniagaan PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam menangani krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada para pemain industri.

Antaranya ialah Geran Automasi Pintar (SAG) yang diperkenalkan dibawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Inisiatif berkenaan dilaksanakan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan kategori perkhidmatan mengautomasi perniagaan selain meringankan beban kewangan akibat pandemik.

Fokus transformasi termasuklah memberi peluang kepada perniagaan yang beroperasi secara tradisional untuk beralih kepada arah pendigitalan dan seterusnya menjadikan ia sebahagian kaedah baharu dalam operasi perniagaan.

Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, pihaknya berkongsi visi untuk memimpin ekonomi digital selain membangunkan kemampuan digital perniagaan di negara ini.

 

DR. RAIS HUSSIN MOHAMED ARIFF

Katanya, ini merupakan sebahagian daripada tiga teras strategik MDEC iaitu pekerjaan berkemahiran digital, perniagaan diperkasa secara digital dan menarik pelaburan digital.

“Bagi mencapai visi ini termasuk mengutamakan rakyat, MDEC terus menjadi landasan untuk rakyat Malaysia berkembang maju pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

“Seterusnya menyokong usaha merealisasikan visi Malaysia 5.0 yang membawa kemakmuran kepada semua golongan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, MDEC turut menjangkakan sektor perkhidmatan akan terus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika Malaysia bergerak ke arah mencapai visi mengutamakan digital.

TEPAT PADA MASA

Sementara itu, syarikat jenama kasut tempatan, Christy Ng menyambut baik inisiatif berkenaan dan menyifatkan ia sebagai tepat pada masa.

Pemiliknya, Christina Ng berkata, ia membantu menyokong pelbagai perniagaan berinovasi, automasi dan seterusnya membudayakan ekonomi digital tatkala tabiat membeli-belah secara dalam talian semakin mendapat sambutan.

Menurutnya, seperti syarikat PKS lain, jenama itu juga turut terkesan akibat Covid-19 sehingga mendorongnya memohon SAG.

“Sebelum beralih ke platform baharu, kami menguruskan pesanan dalam dan luar talian menggunakan sistem yang berasingan.Oleh itu, sebahagian besar masa dihabiskan untuk menguruskan pesanan pelanggan secara manual.

“Melalui inisiatif SAG, kami berjaya beralih ke sistem yang lebih bersepadu sekali gus membantu mengurangkan waktu bekerja apabila berlaku peningkatan kecekapan dalam sistem pengurusan dan pemprosesan pesanan.

“Syarikat juga berupaya memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada pelanggan,” jelasnya.

 

Jenama Christy Ng antara penerima manfaat SAG.

Selain Christy Ng, sebanyak 65 PKS dan usahawan mikro kategori sama turut menerima geran padanan SAG.

Berikutan penularan pandemik dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan, pemberian geran ini dapat meringankan beban perniagaan sambil menawarkan bantuan kewangan tanpa faedah bagi membantu PKS membangunkan kemampuan digital mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN