Bila warisan turun catwalk

Bila warisan turun catwalk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada hari kita berpakaian sekadar mahu keluar rumah. Ada hari pula kita mahu pakaian itu berkata sesuatu sebelum sempat kita membuka mulut. Kalau boleh, biarlah ia berkata, “Saya tahu apa saya buat.” Walaupun sebenarnya pagi tadi kita mengambil masa 20 minit mencari kunci kereta.

Melihat koleksi TITIPAN: Pertempuran Mendatang oleh Zachrin Jaafars di Kuala Lumpur Fashion Week 2026, saya teringat bahawa pakaian memang boleh mempunyai suara.

Lebih menarik, suara itu tidak semestinya datang dari Paris atau Milan. Kadang-kadang ia datang dari Slim River, Tapah dan Kuala Kangsar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sempena sedekad penubuhannya, Zachrin Jaafars kembali kepada akar jenamanya di Perak. TITIPAN membawa maksud sesuatu yang diamanahkan kepada kita untuk dijaga dan diteruskan. Dalam koleksi ini, amanah tersebut ialah warisan.

Tetapi jangan bayangkan warisan yang duduk diam di dalam almari dan hanya keluar apabila ada majlis rasmi.

Di tangan Zachrin, koleksi ini seolah-olah ‘keluar berjalan’ dengan penuh gaya. Batik Perak yang menggunakan teknik tanah liat, tenunan tradisional serta inspirasi daripada Labu Sayong diterjemahkan menerusi siluet kontemporari.

Antaranya, gaun biru kobalt dengan sulaman halus, kain bercorak yang dibentuk hampir menyerupai sarung, seluar berpotongan lebar, bahu berstruktur serta permainan rona hitam dan emas yang tampil cukup dramatik.

Malah ada satu busana hitam dengan motif geometri keemasan yang membuatkan saya terfikir, kalau masuk rumah terbuka memakai ini, mungkin orang terlupa sekejap hendak tanya, “Bila nak kahwin?”

Itu sudah dikira satu kejayaan fesyen. Yang menjadikan koleksi ini lebih bermakna ialah batiknya dihasilkan artisan dari Slim River, Tapah dan Kuala Kangsar.

Apa yang kita lihat bukan lagi sekadar corak yang indah. Di sebaliknya ada tangan-tangan yang berkarya, kemahiran yang diwariskan turun-temurun dan komuniti yang menjadi nadi di sebalik setiap helaian.

Zachrin turut membawa interpretasi kontemporari Dabus, seni persembahan tradisional Perak yang sarat dengan semangat kepahlawanan, ke pentas. Ia menjelaskan mengapa koleksi ini dinamakan Pertempuran Mendatang.

Pertempuran itu bukan untuk menolak masa lalu tetapi memastikan warisan mempunyai tempat dalam masa depan.

Dan mungkin itulah cabaran sebenar fesyen tradisional hari ini. Bagaimana mahu menghormati asal-usul tanpa menjadikannya kelihatan seperti pakaian yang hanya sesuai untuk acara kebudayaan?

Zachrin menunjukkan tradisi sebenarnya boleh menjadi sangat moden apabila kita berhenti takut untuk bermain dengannya.

Kalau mahu mencuba gaya ala Zachrin, tidak perlu salin keseluruhan penampilan pentas. Pilih satu sahaja elemen yang kuat. Kain batik boleh dipadankan dengan kemeja putih atau blaus hitam ringkas.

Bahagian atas bersulam pula cantik bersama seluar lebar polos. Jika corak sudah meriah, biarkan aksesori berehat. Tidak semua orang dalam satu kumpulan perlu bercakap serentak, termasuklah subang kita.

Biru kobalt juga menarik untuk dicuba kerana warnanya cukup berani tanpa kelihatan keterlaluan.

Padankan dengan hitam, putih atau perak untuk gaya yang lebih mudah dipakai.

Selepas melihat TITIPAN, saya terfikir warisan sebenarnya bukan tentang apa yang kita simpan.

Ia tentang apa yang kita pilih untuk teruskan. Kain boleh lusuh, warna boleh pudar dan fesyen pasti berubah. Tetapi selagi masih ada tangan yang mahu menghasilkan, pereka yang berani mentafsir dan generasi baharu yang mahu memakainya, sesuatu warisan itu belum selesai bercerita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×