Pantau pencemaran plumbum setiap empat bulan - Utusan Malaysia

Pantau pencemaran plumbum setiap empat bulan

MAKETAB MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penduduk Kampung Jenjarom, Kuala Langat bimbang isu pencemaran tidak mustahil boleh berulang sekiranya kilang bateri berdekatan dibenarkan beroperasi, walaupun dakwaan itu memerlukan penelitian saintifik bagi membuktikan perkara tersebut.

Justeru, penduduk di kampung berkenaan yang tinggal berhampiran dan pekerja di kilang terbabit dicadangkan supaya menjalani pemantauan penelitian terhadap sampel rambut setiap empat bulan sekali bagi melihat jika berlaku kesan pencemaran kepada mereka.

Malah, bekas Pengarah Unit Keselamatan Pekerjaan, Kesihatan dan Alam Sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr. Maketab Mohamed menegaskan, keputusan ujian sampel tersebut mestilah dikongsikan dengan penduduk.

Ini kerana, menurutnya, penduduk Kampung Jenjarom didakwa hilang kepercayaan terhadap pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan serta ahli politik selepas kejadian pencemaran dan kebakaran yang pernah berlaku membabitkan kilang bateri terbabit.

“Penduduk hilang kepercayaan dengan pihak berkuasa, agensi kerajaan dan ahli politik. Apabila isu kilang bateri timbul, penduduk kampung tak tau apa totally in the dark. Pihak berwajib pun juga tak tahu banyak. Ada air sisa buangan dari kilang, tinggi kandungan plumbum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan hampir 10,000 penduduk di Kampung Jenjarom membantah pembukaan semula kilang bateri yang kini diambil alih oleh syarikat baharu.

Oleh demikian, penduduk di sini enggan mengalami lagi detik malang itu sebelum kilang terbabit diarahkan tutup pada 2019 oleh kerajaan negeri selepas aktiviti peleburan plumbum dikesan dilakukan.

Dalam pada itu, Maketab memaklumkan pada April 2019, beliau pernah meminta penduduk membuat pemantauan pencemaran plumbum pada rambut dan kuku mengikut prosedur dan dihantar ke makmal bertauliah.

“Semua keputusan tinggi dan melebihi had yang dibenarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Lepas itu baharulah kerajaan negeri memberi maklum balas, tetapi hendak cari salah kajian dan kata keputusan tak boleh bawa ke mahkamah. Saya jawab itu bukan matlamatnya.

“Saya rujuk kepada artikel bertajuk ‘Masalah kesihatan berpunca daripada plumbum’ daripada Center for Disease (CDC) memaklumkan kanak-kanak lebih mudah terdedah dengan pencemaran plumbum berbanding dewasa,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×