Apabila diutarakan isu keselamatan plastik pembungkus makanan, ia menjadi satu isu hangat yang sangat penting dan menarik untuk dibincangkan. Ini kerana rata-rata penduduk di seluruh dunia berdepan dengan masalah yang sama dan sering berlegar di minda adakah pembungkus makanan yang digunakan itu selamat?
Jika tidak selamat, apakah pembungkus makanan yang sesuai untuk digunakan? Apakah langkah keselamatan yang boleh diambil untuk mengatasi kemelut bahaya pembungkus makanan ini?
Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) telah mengambil langkah drastik dengan menggerakkan usaha-usaha penyelidikan dalam membuat penilaian lebih lanjut mengenai kesan pencemaran plastik dan mikroplastik kepada alam sekitar dan potensi dampaknya terhadap kesihatan manusia.
International Organization for Standardization (ISO) di Geneva pula menetapkan garis panduan piawaian ISO 15270:2008 yang meliputi panduan kualiti dan spesifikasi keselamatan plastik, pemulihan sisa plastik termasuk panduan kitar semula plastik yang perlu diikuti oleh semua pengusaha dan pengguna umumnya.
Seperti yang dibincangkan sebelum ini, kesan toksik bahan kimia dalam plastik pembungkus makanan boleh menjejaskan kesihatan manusia seperti menyebabkan kemandulan, mengganggu fungsi hormon, menyebabkan keguguran, bersifat karsinogen, menurunkan paras dan fungsi sperma, menyebabkan obesiti dan gangguan metabolisme lain.
Ini dapat dijelaskan apabila kita memahami peranan jahat bahan kimia di dalam plastik seperti Bisphenol A, phthalate dan derivatifnya yang menyebabkan gangguan utama pada sistem endokrin dan hormon.
Gangguan pada sistem endokrin dan fungsi normal hormon dalam badan akan menyebabkan banyak proses metabolisme dan homeostasis dalam badan akan terjejas dan akhirnya membawa kepada penyakit.
Contohnya, dalam kajian-kajian tentang kesan Bisphenol A ke atas paras hormon testosteron, rata-rata penyelidik menyimpulkan paras hormon pembiakan tersebut terjejas dan menurun akibat keterdedahan kepada BPA. Sebabnya, kesan toksik bahan kimia itu merosakkan sistem penghasilan hormone tersebut di dalam badan dan akhirnya menyebabkan hormon tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik.
Terdapat juga kajian-kajian lain yang mendapati bahawa BPA boleh menyebabkan obesiti di kalangan kanak-kanak. Ini boleh berlaku apabila BPA mengubah laluan metabolik dan fungsi endokrin pada tisu adipos.
Perubahan negatif pada laluan metabolik ini akan menyebabkan perubahan pada saiz dan bilangan sel adiposit yang berfungsi menyimpan lemak, seterusnya mengakibatkan gangguan fungsi gene seperti FABP4, CD36, dan PCSK1, yang akhirnya mengganggu fungsi sel tersebut dan mengakibatkan pembentukan penyakit metabolik yang berkaitan dengan obesiti.
Sebagai pengguna, kegusaran terhadap bahaya kesan toksik tersebut kepada tubuh badan sememangnya perlu dirungkaikan. Sebenarnya, plastik-plastik yang digunakan dalam kehidupan seharian ini dikelaskan kepada jenis-jenis tertentu mengikut gred dan kegunaannya.
Panduan ini dapat menjelaskan kepada para pengguna dalam proses pemilihan pembungkus makanan dan kitar semula seterusnya dapat mengelakkan bahaya kesan toksik bahan kimia plastik yang ada. Adapun, telah wujud sistem identifikasi plastik atau dipanggil Plastic Identification Code (PIC) yang boleh kita rujuk sebagai panduan dalam pemilihan produk plastik.
KOD IDENTIFIKASI
Kod-kod identifikasi ini selalunya tertera di bahagian bawah bekas-bekas plastik pembungkusan yang digunakan. Plastik-plastik ini dapat dikelaskan kepada 7 jenis seperti yang dinyatakan dalam Jadual 1 dan Jadual 2.
Persoalan mula timbul, adakah kita semua memahami atau mengetahui makna di sebalik kod-kod tersebut? Yang mana lebih baik, yang mana lebih selamat, yang mana perlu dielakkan dan sebagainya.

Jika ditelusuri dengan lebih mendalam akan ketujuh-tujuh jenis pengkelasan plastik tersebut, ternyata jawapan kepada persoalan tersebut akan terungkai. Kewujudan lambang kitar semula beserta nombor-nombor di bawah bekas pembungkus makanan atau minuman itu sebenarnya membawa erti yang sangat besar.
Ini kerana ia membawa maksud jenis bahan dan sifat bahan yang digunakan untuk membuat bekas tersebut, sama ada boleh dikitar semula atau untuk kegunaan sekali sahaja dan sebagainya.
Ternyata dengan memahami simbol dan kod-kod pengkelasan plastik seperti dalam infografik di Gambar 2, sekurang-kurangnya kita sebagai pengguna memahami akan bahaya yang mungkin hadir apabila kita tersilap memilih bekas makanan yang sesuai dan dapat membuat pilihan yang tepat.
Oleh itu, adalah mustahak untuk memahami potensi bahaya bahan kimia yang terdapat dalam plastik yang berlainan jenis dengan memahami kod-kod yang digariskan.
Seperti yang disarankan dalam jadual pengkelasan plastik, bekas plastik dengan pengkelasan kod 2, 4 dan 5 adalah yang paling selamat untuk digunakan.
Plastik dengan identiti 1 dan 7 perlu digunakan dengan cermat dan berhati-hati, dan plastik dengan kod pengkelasan 3 dan 6 seboleh-bolehnya cuba untuk dielakkan kerana penggunaannya lebih mendatangkan mudarat kepada manusia dan alam sekitar.
Walaupun kod pengkelasan plastik ini menyatakan jenis-jenis bekas plastik yang selamat digunakan itu bukanlah tiket untuk kita sewenang-wenangnya menggunakan plastik atau bekas plastik secara berleluasa. Langkah-langkah keselamatan semasa pemilihan dan penggunaan plastik tersebut perlulah dititikberatkan.
Ini berikutan semua produk plastik, tidak kira gred boleh melepaskan bahan kimia toksik ke dalam makanan atau minuman apabila dipanaskan, didedahkan terlalu lama dan keadaan makanan atau minuman itu sendiri yang telah rosak.
Antara langkah berjaga-jaga yang boleh diambil semasa memilih, mengguna dan mengendalikan plastik atau bekas plastik untuk makanan atau minuman adalah seperti berikut:
1. Kita perlu sentiasa ingat bahawa simbol # 2, # 4 dan # 5 pada bekas makanan atau minuman menandakan bekas itu selamat digunakan. Namun, cuba elakkan daripada dipanaskan secara terus dalam ketuhar gelombang mikro, walaupun ianya selamat digunakan dalam ketuhar gelombang mikro.
Ini kerana, terdapat kajian-kajian yang mendapati memanaskan bekas plastik di dalam ketuhar boleh menyebabkan masalah asthma dan gangguan hormone pada pengguna.
2. Penggunaan bahan plastik bersimbol #1 dan #7 perlulah dipantau secara rapi. Contohnya dalam penggunaan botol susu bayi. Pastikan botol susu ditukar setiap tiga bulan bagi mengelakkan perpindahan bahan kimia BPA atau derivatifnya ke dalam susu bayi akibat kesan calar dalam botol susu tersebut.
Selain itu, pastikan suhu air yang digunakan semasa membancuh susu hendaklah sesuai dan tidak melebihi 70ºC. Ini juga bagi mengelakkan migrasi bahan kimia ke dalam susu yang diminum.
Botol susu bayi juga tidak boleh dipanaskan secara terus di dalam ketuhar, ini kerana bahan kimia plastik di dalam nya akan mencair dan boleh mencemari susu yang diminum.
3. Bagi bahan plastik yang berlabel #3 dan #6, penggunaan nya perlulah dikurangkan atau sebolehnya dielakkan terutamanya dalam pembungkusan makanan. Ini kerana plastic jenis ini mengandungi kandungan bahan kimia phthalates dan styrene yang boleh menyebabkan ketoksikan dan bersifat karsinogen.
4. Sila pastikan label pada bekas plastik dibaca dengan teliti bagi mengelakkan kesilapan penggunaan. Contohnya, bekas berlabel microwave save, sekiranya bekas yang digunakan tidak mempunyai lambang

, kita perlu elakkan daripada memanaskan makanan tersebut di dalam ketuhar.
5. Sekiranya menggunakan sesalut makanan atau cling wrap, sila pastikan sesalut tersebut telah ditanggalkan apabila makanan hendak dipanaskan. Ini bagi mengelakkan sesalut makanan tersebut mencair dan menyebabkan bahan toksik mengalir ke dalam makanan.
6. Elakkan menggunakan bekas plastik untuk memanaskan makanan yang berlemak.
7. Pembungkus makanan segera selalunya adalah dari jenis yang digunakan sekali sahaja. Oleh itu, elakkan daripada menggunakan semula bekas-bekas tersebut bagi membungkus makanan.
8. Jika terdapat kesan calar atau lorek pada bekas makanan yang hendak digunakan, cuba elakkan daripada digunakan dan buang terus bekas makanan tersebut. Ini kerana keadaan tersebut boleh menyebabkan migrasi bahan kimia berlaku dengan lebih pantas ke dalam makanan.
9. Semasa mencuci bekas plastik, jangan gunakan sabun atau detergen yang bersifat menghakis, ini kerana hakisan tersebut boleh menyebabkan bahan toksik berpindah ke dalam makanan.
10. Bekas-bekas plastik yang bukan digunakan untuk pembungkusan makanan perlulah dielakkan daripada digunakan untuk membungkus makanan.
11. Minuman yang dibotolkan perlulah dielakkan daripada pancaran cahaya matahari secara terus atau apa jua bentuk pemanasan haba. Ia bagi mengelakkan migrasi bahan kimia ke dalam minuman tersebut. Penyimpanan dalam kawasan yang redup atau sejuk seperti peti sejuk adalah digalakkan bagi memelihara keselamatan minuman tersebut.
Sebagai pengguna, adalah menjadi satu tanggungjawab besar untuk kita memastikan keselamatan kita dan seisi keluarga dari bahaya bahan kimia plastik.
Ini boleh dicapai sekiranya kita semua mengambil inisiatif untuk memahamkan garis panduan penggunaan dan kod-kod keselamatan jenis-jenis plastik semasa memilih dan mengendalikan makanan atau minuman.
Ini kerana, bahaya bahan kimia plastik sentiasa ada di sekeliling kita, dari bilik tidur, ke dapur dan bilik mandi, semuanya melibatkan bahan-bahan yang diperbuat daripada plastik.
Selain itu, usaha bagi mengurangkan penggunaan apa jua plastik perlu digembeling secara besar-besaran. Mana-mana bahan plastik yang boleh dikitar semula, perlu diusahakan untuk dikitar semula dengan betul.
- Razif Dasiman, Pensyarah Kanan (Fisiologi), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam, Selangor.










