Pandemik COVID-19 menuntut kita yang masih menghirup nikmat sihat dan bakal berdepan dengan saat kematian untuk mengambil pengajaran dalam aspek urus harta keluarga terutama harta pusaka yang bakal ditinggalkan. Dengan kes kematian yang semakin bertambah saban hari, setiap daripada kita terutama orang Islam perlu beringat untuk mengurus harta pusaka dengan segera.
Kematian dalam sesebuah keluarga akibat pandemik COVID-19 bukan sahaja melibatkan satu lapis kematian, bahkan terdapat dua situasi yang yang mungkin terjadi iaitu kes kematian serentak dan kes kematian berangkai.
Berapa ramai yang menjadi yatim piatu sekelip mata dengan kehilangan ibu dan bapa masing-masing dalam tempoh masa yang singkat. Begitu juga ramai yang telah kehilangan ahli keluarga yang mempunyai rantaian hubungan nasab, sedangkan agihan untuk si mati pertama masih tidak diurus atau diagihkan kepada waris sedia ada.
Perundangan faraid dalam Islam memperlihatkan peraturan yang teliti dalam memberi hak kepada waris dalam kedua-dua kes kematian tersebut. Matlamatnya jelas iaitu harta yang ditinggalkan oleh si mati dapat diwarisi melalui suatu peraturan yang sistematik dan kebajikan setiap waris yang masih hidup dapat dilindungi.
Rasulullah SAW bersabda dalam hal ini yang bermaksud: Dan (Allah) mewajibkan pewarisan sebagai satu hak kepada ahli waris selepas (kematian) kamu. (Abu Dawud. Al-Sunan. Kitab al-Zakat (9). Bab: fi huquq al-mal (32), no: 1664)
Dalam karya fiqh klasik, dua situasi kematian ini sering kali dikaitkan dengan kejadian kemalangan yang melibatkan ahli keluarga seperti lemas, kebakaran, runtuhan bangunan dan pembunuhan. Namun pada hari ini tidak mustahil pandemik COVID-19 menjadi sebahagian lembaran contoh baharu tentang musibah kematian yang perlu diambil perhatian.
Kematian Serentak
Keadaan kematian serentak melibatkan lebih daripada satu kemat ian secara serentak dalam sesebuah keluarga yang saling mewarisi iaitu berlakunya kesukaran untuk menentukan siapa antara mereka yang mati terlebih dahulu. Keadaan ini menyebabkan ketidakpastian waris yang hidup ketika berlakunya kematian si mati pertama yang merupakan salah satu syarat pewarisan penting dalam faraid iaitu waris perlu dipastikan hidup.
Contoh kes yang boleh digambarkan ialah seorang lelaki (A) bersama anaknya meninggal dunia akibat COVID-19 secara serentak iaitu tidak diketahui siapa yang mati terlebih dahulu. Lelaki tersebut meninggalkan waris iaitu isteri dan anak perempuan. Manakala anak lelaki hanya meninggalkan waris yang sama sebelum ini.
Bagi anak lelaki tersebut, waris sedia ada akan berubah statusnya iaitu isteri kepada lelaki (A) (bapanya) merupakan ibunya dan anak perempuan kepada lelaki (A) (bapanya) merupakan saudara perempuan kandungnya.
Majoriti fuqaha kecuali daripada mazhab Hanbali mengatakan bahawa mereka yang meninggal dunia secara serentak tidak akan saling mewarisi harta pusaka antara satu sama lain kerana syarat pewarisan ialah waris (al-warith) hendaklah masih hidup sewaktu kematian orang yang mewariskan hartanya (al-muwarrith), sedangkan dalam kes kematian serentak syarat tersebut tidak dipenuhi.
Perkara berkaitan hukum kematian serentak ini pernah dibincangkan di Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22-24 Oktober 2008.
Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana ahli keluarga yang meninggal dunia secara serentak dalam kejadian yang sama atau sebaliknya dan tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu bagi menentukan hak pewarisan, maka mereka tidak akan saling mewarisi antara satu sama lain kerana berdasarkan syarat-syarat pewarisan, waris (al-warith) hendaklah masih hidup semasa kematian orang yang mewariskan (al-muwarrith).
Oleh itu, harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambilkira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya. Bagi merekodkan waktu kematian, perakuan pakar perubatan hendaklah diterima pakai dan dicatatkan dalam Sijil Kematian.
Berdasarkan Jadual 1, penyelesaian bagi si mati pertama dan kedua dibuat secara berasingan. Anak lelaki iaitu si mati kedua yang merupakan anak kepada lelaki (A) tidak disenaraikan sebagai waris lelaki (A). Begitu juga sebaliknya, lelaki (A) tidak disenaraikan langsung sebagai penerima pusaka bagi anak lelakinya. Hanya waris yang hidup sahaja akan memperolehi faraid daripada kedua-dua si mati.
Isteri kepada lelaki (A) akan memperoleh faraid sebanyak 1/8 daripada arwah suaminya dan pada yang sama mewarisi sebanyak 1/3 (menyamai 2/6) sebagai ibu kepada arwah anak lelakinya. Manakala anak perempuan kepada lelaki (A) memperolehi sebanyak 1/2 (menyamai 4/8) kerana bilangannya seorang sahaja dan mewarisi habuan yang sama (1/2 menyamai 3/6) sebagai saudara perempuan kandung kepada si mati kedua.
Setiap nilaian harta yang ditinggalkan oleh kedua-kedua si mati akan didarabkan dengan saham masing-masing bagi mengetahui harta pusaka sebenar yang diperolehinya. Bagi kedua-dua pengiraan, terdapat lebihan pusaka yang perlu diserahkan menurut pandangan mazhab Syafie yang menjadi hak kepada baitulmal.
KEMATIAN BERANGKAI
Keadaan kematian berangkai melibatkan lebih daripada satu kematian iaitu berlapis yang mana si mati kedua juga merupakan waris kepada si mati pertama. Perlu diingat keadaan ini berlaku jika harta pusaka si mati pertama masih tidak diagihkan lagi. Sekiranya harta si mati telah diselesaikan, maka tidak akan berlaku kes kematian berangkai.
Saranan yang ditetapkan dalam ilmu faraid dalam menyelesaikan kes kematian berangkai ialah melalui satu pendekatan yang dikenali sebagai al-munasakhah. Terma ini merupakan satu topik penting dalam agihan faraid disebabkan dua faktor utama iaitu pertama; tempoh kematian yang hampir antara si mati pertama dengan si mati kedua atau yang berikutnya.
Kedua; kelewatan agihan pusaka si mati pertama sehingga sukar untuk diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Kedua-dua faktor ini sangat berkait rapat dengan situasi pandemik ketika ini kerana kehilangan ahli keluarga boleh terjadi dalam tempoh waktu yang singkat.
Di samping itu, urusan pentadbiran pusaka yang agak terbatas kerana waktu operasi institusi yang mengendalikan urusan pusaka dibataskan dan melibatkan temujanji sahaja.
Realitinya, situasi kes kematian berangkai akan berbeza-beza dalam sesebuah keluarga kerana faktor pertambahan waris atau cara warisan yang menghubungkan susur galur keluarga dengan si mati. Kesemua ini menuntut ahli keluarga yang tinggal terutama dalam kalangan waris untuk lebih peka tentang urusan pusaka mahupun pengiraan faraid bagi kematian yang berlaku.
Dalam jadual 2, anak lelaki kepada si mati pertama (lelaki A) akan tersenarai sebagai waris kerana dia meninggal terkemudian dan memenuhi syarat “disahkan hidup” ketika kematian si mati pertama. Anak lelaki tersebut akan berkongsi dengan anak perempuan untuk mendapat habuan faraid secara ‘asabah bi al-ghayr.
Namun bahagian anak lelaki ini akan diagihkan sekali lagi kepada waris yang masih hidup. Pengiraan inilah yang disebut sebagai pendekatan al-munasakhah dalam faraid yang melibatkan kematian berangkai disebabkan harta pusaka si mati pertama yang masih tidak diselesaikan lagi.
Penegasan
Apa pun bentuk kematian sama ada selapis, serentak mahupun berangkai, ia merupakan sebahagian episod pengakhiran kehidupan akibat pandemik COVID-19. Sudah sampai masanya setiap ahli keluarga mempunyai wakil yang berusaha untuk memahami ilmu pusaka Islam bagi menyelesaikan setiap kes kematian yang berlaku dalam keluarga sendiri dan bukan hanya meratapi kematian.










