Sembelihan korban bermula lepas khutbah raya  - Utusan Malaysia

Sembelihan korban bermula lepas khutbah raya 

Waktu menyembelih korban bermula selepas selesai khutbah Hari Raya Aidiladha hingga sebelum Maghrib hari 13 Zulhijah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ibadat korban sudah menjadi amalan bagi umat Islam seluruh dunia. Selasa ini, kita akan berpeluang melaksanakan ibadat yang hukumnya sunat muakkad mengikut Mazhab Syafie.

Berikut disertakan beberapa panduan bagi peserta korban ataupun mereka yang terlibat dalam ibadat tersebut.

SYARAT SAH BERKORBAN 

Syarat sah berkorban hendaklah melakukan dua perkara iaitu Niat untuk taqarrub diri kepada Allah SWT. Waktu niat korban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan qurban. 

Yang kedua, memilih ternakan yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang. Adapun kambing atau biri-biri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian. 

TEMPOH DAN MASA MELAKUKAN KORBAN 

Tempoh dan masa berqurban hendaklah dilakukan berdasarkan ketetapan yang berikut, iaitu: 

(a) Penyembelihan hendaklah dilakukan pada Hari Nahar (10 Zulhijah) dan Hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijah) meliputi malam ke-11, 12 dan 13. Korban tidak sah dilakukan pada malam sebelum Hari Raya (10 Zulhijah). Ia juga tidak sah dilakukan pada malam 14 Zulhijah. 

(b) Penyembelihan dilakukan apabila berlalu masa dua rakaat solat sunat Hari Raya Adha serta bacaan khutbah. Sebagai contoh: Masa yang ditetapkan untuk solat sunat Hari Raya pada jam 8.30 pagi dan selesai pada jam 9.30 pagi. Maka waktu berkorban bermula pada jam 9.30 pagi.

(c) Penyembelihan yang dilakukan selepas tempoh tersebut, sama ada imam menunaikan solat atau tidak, sama ada orang berqurban menunaikan solat atau tidak, sama ada imam menyembelih haiwan korban atau tidak, hukumnya adalah sah. 

(d) Waktu penyembelihan korban berterusan siang dan malam (tetapi makruh dilakukan pada waktu malam) sehingga Hari Tasyrik yang terakhir (13 Zulhijjah) sebelum terbenamnya matahari. Bagi penyembelihan korban yang dilakukan sebelum terbit fajar, maka hukumnya adalah tidak sah. 

(e) Penyembelihan korban yang dilakukan selepas terbit matahari dan sebelum waktu solat sunat Hari Raya Adha adalah tidak mendapat pahala sunat dan tidak dikira sebagai ibadah. 

SYARAT SAH HAIWAN TERNAKAN UNTUK KORBAN

Untuk memenuhi syarat-syarat sah sesuatu ibadah korban perkara-perkara berikut disyaratkan ke atas haiwan ternakan berkenaan iaitu: 

(a) Ibadah korban tidak sah kecuali dengan haiwan ternakan sahaja iaitu unta, lembu, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya sama ada jantan atau betina, yang menjadi baka ataupun dikasi. Dengan itu, tidak sah berkorban selain dengan haiwan ternakan seperti kerbau liar, kijang, rusa, pelanduk dan seumpamanya. 

(b) Haiwan ternakan itu hendaklah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit. 

(c) Haiwan ternakan itu tidak mempunyai kecacatan, sama ada tempang, buta, telinga koyak, patah sebelah tanduk, cedera pada tubuh badan, kurus sehingga tidak mempunyai lemak, atau kecacatan yang lain sepertinya. 

(d) Haiwan ternakan itu telah mencapai satu tahap minimum umur, iaitu: (i) unta : berumur lima tahun masuk tahun keenam; (ii) lembu/kerbau : berumur dua tahun masuk tahun ketiga; (iii) kambing : berumur dua tahun masuk tahun ketiga; (iv) biri-biri : berumur satu tahun masuk tahun kedua, ataupun telah bersalin gigi hadapan. 

Haiwan ternakan yang hendak dikorbankan itu mestilah cukup umur, sihat dan tidak mempunyai kecacatan pada tubuhnya.

PERKARA MAKRUH KETIKA BERKORBAN 

(a) Membuat korban ke atas haiwan yang carik telinganya atau terpotong sedikit di belakang telinganya.

(b) Memotong bulu haiwan yang hendak diqurbankan bagi tujuan kegunaan sendiri jika boleh memudaratkannya.

(c) Melakukan korban ke atas haiwan yang pecah atau patah tanduknya, atau tiada bertanduk. 

(d) Memerah susu haiwan yang hendak dijadikan korban dan meminumnya kecuali disedekahkan susu tersebut. 

(e) Memotong kuku dan bercukur bagi orang yang berniat korban. 

(f) Melakukan sembelihan korban pada waktu malam

SUMBER: Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Korban, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.