BDN kaedah mudah baca Jawi - Utusan Malaysia

BDN kaedah mudah baca Jawi

Wan Mohd. Azhar Wan Mahamod memperkenalkan kaedah membaca Jawi menggunakan teknik yang dipanggil ‘baca dengan nombor’ atau BDN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATAS hasrat mahu melihat masyarakat lebih celik Jawi, seorang guru agama di Taiping mencipta kaedah membaca Jawi dengan lebih mudah menggunakan teknik yang dipanggil ‘baca dengan nombor’ atau BDN.

Teknik ini dicetuskan hasil idea oleh seorang guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Ayer Puteh, Simpang di Taiping, Wan Mohd. Azhar Wan Mahamod, 48.

Menjelaskan mengenai kaedah BDN, Wan Mohd. Azhar berkata, BDN adalah kaedah belajar membaca tulisan Jawi menggunakan nombor.

Menurutnya, BDN menggunakan kaedah memotong perkataan untuk mendapat suku kata pada perkataan tulisan Jawi.

“Menerusi kaedah biasa, murid mengenal huruf-huruf Jawi tapi apabila hurufnya bersambung, mereka tak tahu di mana hendak dipotong bilangan hurufnya bagi mendapatkan suku kata.

“Kaedah BDN ini memudahkan murid untuk membaca tulisan Jawi dengan lebih cepat. Ia berbeza dengan kaedah lama yang agak lambat sebab murid tidak digalak berfikir, kaedah lama lebih kepada mengajuk apa yang diajar oleh guru.

“Apabila sudah faham kaedah BDN ini, murid sudah boleh belajar sendiri,” katanya.

Menurutnya, idea kaedah BDN bermula pada tahun 2008 ketika dia mengajar anaknya yang berusia lima tahun membaca Jawi.

“Semasa anak saya masuk tadika seawal usia lima tahun, dia sudah boleh membaca tulisan Jawi menggunakan kaedah BDN,” katanya.

Wan Mohd. Azhar berkata, Kementerian Pendidikan sedia maklum mengenai kaedah BDN sebagai tambah nilai keberkesanan belajar Jawi.

“Namun setakat ini kaedah BDN ini tidak boleh dijadikan sebagai Iqra,” katanya.

LEBIH 30,000 SUDAH BELAJAR BDN

WAN MOHD. AZHAR dibantu isteri, Norhaslinda Mohd. Shah yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Doktor Burhanuddin, Taiping, mengem­bangkan lagi kaedah BDN untuk masyarakat celik Jawi.

Katanya, kaedah membaca Jawi BDN yang digarap sejak tahun 2008 lagi, terus tambah baik sehingga sekarang.

“Lebih 30,000 orang telah mempelajari kaedah ini secara langsung dan tidak langsung melalui pelbagai platform seperti belajar secara bersemuka, di bengkel dan ceramah,” katanya.

 

Wan Mohd. Azhar menerangkan kaedah membaca Jawi menggunakan teknik yang dipanggil ‘baca dengan nombor’ atau BDN kepada masyarakat di Taiping, Perak baru-baru ini.

Menurutnya, beliau turut menerbitkan buku kaedah BDN untuk mengembangkan lagi kaedah belajar Jawi dengan lebih mudah.

“Saya mahu berkongsi kaedah ini dengan masyarakat, ini adalah antara cara untuk menyemarakkan lagi masyarakat membaca Jawi,” katanya.

Menurutnya, dia bercadang untuk mengadakan kelas dewasa untuk ibu bapa datang ke rumahnya belajar kaedah berkenaan.

“Saya juga menerbitkan buku kaedah BDN sejak 2018 untuk memudahkan masyarakat belajar kaedah ini dengan harga RM12 satu set,” katanya.

Mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah BDN ini boleh menghubungi Wan Mohd. Azhar di nombor 01140213707 dan pertanyaan lain boleh diemel ke [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN