PETALING JAYA: UOB Malaysia berjaya meraih Bank Terbaik dan Bank Mampan Terbaik di Malaysia bagi kategori Antarabangsa pada Anugerah FinanceAsia Tahunan Ke-30 2026 Asia Tenggara untuk tahun berturut-turut.
Pengiktirafan itu mengukuhkan lagi komitmen bank dalam memacu sumbangan yang bermakna kepada pembangunan ekonomi Malaysia, peralihan kemampanan dan integrasi serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pengiktirafan itu menunjukkan kepercayaan pelanggan dan rakan kongsi terhadap bank dan juga dedikasi warga kerja dalam menyampaikan nilai kepada perniagaan dan komuniti di mana kami menyediakan perkhidmatan.
“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan Bank Terbaik dan Bank Mampan Terbaik di Malaysia daripada FinanceAsia untuk tahun kedua berturut-turut.
“Melalui kerjasama bermatlamat, pembiayaan mampan dan rangkaian luas kami di ASEAN, UOB kekal komited membantu pelanggan merebut peluang pertumbuhan, memajukan aspirasi kemampanan mereka dan mengharungi landskap ekonomi yang semakin dinamik dengan penuh keyakinan,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah FinanceAsia memberi pengiktirafan kepada institusi kewangan terkemuka yang telah menunjukkan kecemerlangan, inovasi dan pelaksanaan kukuh dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan serta menyokong pembangunan pasaran.
Beliau berkata, UOB Malaysia terus memperkukuh ketersambungan ekonomi melalui kerjasama strategik merentasi koridor pertumbuhan utama dan hab perniagaan, sambil menghubungkan peluang pelaburan langsung asing kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) tempatan.
“Ini termasuk kerjasama dengan Invest Johor bagi menyokong pelaburan ke dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Invest Selangor dan agensi kerajaan negeri di Sarawak untuk menambah peluang pelaburan dan pembangunan ekonomi merentasi koridor ekonomi masing-masing.
“Selaras dengan komitmennya terhadap pembangunan negara dan pertumbuhan mampan, bank memainkan peranan aktif dalam memajukan JS-SEZ dan telah memudah cara pelaburan langsung asing melebihi RM18 bilion sejak 2024.
“Ia juga di samping menyokong inisiatif infrastruktur air yang kritikal bagi meningkatkan keselamatan air jangka panjang di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, bank itu turut memperluas kesalinghubungan perniagaan serantau melalui kerjasama dengan dewan perniagaan dan persatuan perkilangan di Malaysia dan Singapura.
Kerjasama itu membolehkan UOB menghubungkan syarikat multinasional dengan perniagaan tempatan, memperkukuh rantaian bekalan dan perdagangan rentas sempadan serta memberi akses kepada peluang pertumbuhan baharu di seluruh rantau ini.
Selain itu, UOB Malaysia turut diiktiraf atas kepimpinannya dalam memajukan kemampanan dan menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon.
UOB Malaysia turut menyokong PKS dalam membina daya tahan, memperkukuh keupayaan kemampanan dan memajukan peralihan mereka kepada ekonomi yang lebih rendah karbon.
Ia melalui kerjasama dengan Bursa Malaysia dalam Penyelesaian Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI) dan sebagai pengerusi bersama Kumpulan Fokus PKS di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) bersama Bank Negara Malaysia. – UTUSAN










