Daging import: Di mana silapnya? - Utusan Malaysia

Daging import: Di mana silapnya?

. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi (dua dari kanan)) bersama Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Maqis, Siti Nur Ahmad (kiri) menunjukan daging sejuk beku memalsukan logo halal di dalam lori di Taman Perindustrian Idaman Senai, Kulai pada 4 Disember lalu. UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hangat diperdebatkan isu kartel daging import, dari surat khabar, tv, radio, berita online, group whatssap dan lain-lain medium. Macam-macam penghakiman orang awam, namun yang tinggal soalan ialah siapa bersalah dan di mana silapnya sehingga dikatakan sudah 40 tahun berlaku?

Adakah undang-undang yang ada tidak cukup? Prosedur yang tidak mantul atau jiwa insan yang perlu disertukan? Kita bertuah kerana kerajaan Malaysia menetapkan semua daging import dari haiwan yang halal hendaklah disahkan halal oleh pihak yang berautoriti di negara pengeksport terlebih dahulu. Ini adalah dasar kerajaan di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV).

Kuasa JPV mensyaratkan daging dan produk berasakan haiwan tertakluk kepada Import Protokol di bawah Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013). Protokol ini menyatakan wajib diperiksa oleh JPV dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ia adalah syarat-syarat oleh JPV kepada negara pengimport bagi membolehkan produk haiwan termasuklah daging dibenarkan masuk ke dalam negara.

Syarat-syarat ini dipersetujui di antara dua negara melalui perundingan bersama. Pemeriksaan oleh JPV terbahagi kepada keperluan sanitari dan phytosanitary (SPS) negara permohonan eksport dan pemeriksaan abattoir dan loji pemprosesan.

Dalam hal ini, pemeriksaan JPV memberi tumpuan kepada SPS, pelaksanaan amalan pengilangan yang baik dan program jaminan keselamatan seperti HACCP (Hazard Analysis Critical Control Points), dalam keadaan tertentu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga turut terlibat.
Aspek pematuhan halal diperiksa oleh Jakim berdasarkan prosedur The Malaysian Halal Protocol for the Halal Meat and Poultry Productions dan MS1500:2009.

JAKIM TIDAK KELUAR SIJIL HALAL

Jakim tidak memberi sijil halal kepada rumah sembelihan atau loji pemprosesan luar negara termasuk produk yang berasaskan daging. Oleh itu, logo halal Malaysia tidak boleh digunakan untuk daging import.

Mana-mana rumah sembelihan yang ingin mendapatkan kelulusan JPV mesti disahkan halal dahulu dan menggunakan logo halal daripada badan halal yang diiktiraf Jakim di negara tersebut.

Berdasarkan peraturan ini Jakim hanya terlibat membantu JPV mengesahkan status halal tanpa memberikan sijil halal sebelum daging diimport.

Permohonan kebenaran import diuruskan oleh JPV dan JPV mengeluarkan syarat-syarat import, manakala penguat kuasaan ke atas syarat ini dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Ia bertanggungjawab di kawalan pintu masuk negara. Maqis mempunyai Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang berkuasa mengkuarantin dan memeriksa apa-apa yang berkaitan pertanian termasuk binatang dan karkas/daging dengan syarat-syarat import dalam permit.

Kegagalan mematuhi permit import ini adalah kesalahan yang didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksimum enam tahun atau kedua-duanya.

Dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, Bahagian 1, Jadual Ketiga, perkara 1 menyentuh tentang larangan import terhadap apa juga sumber haiwan termasuk daging yang memerlukan permit atau lesen import daripada Maqis di Semenanjung dan Labuan, dan JPV di Sabah dan Sarawak.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai duti kastam atau RM50,000 yang mana satu lebih besar dan tidak melebihi 20 kali nilai duti kastam atau RM500,000 yang mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau kemudiannya didenda tidak kurang daripada 20 kali ganda nilai duti kastam atau RM100,000 yang mana satu lebih besar dan tidak melebihi 40 kali nilai duti kastam atau RM1 juta yang mana satu amaun lebih besar atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

 

ANGGOTA Maqis Perlis memeriksa ikan yang cuba diseludup ke negara ini tanpa permit sah di Pelantar Import Eksport Kompleks LKIM) Kuala Perlis, 31 Oktober lalu.

Kemasukan dagangan ini juga hendaklah dibuat pemeriksaan dan diluluskan oleh Maqis dan JPV sewaktu pengimportan dilakukan. Ini jelas menunjukkan undang-undang yang ada memadai untuk kawalan halal daging import di pintu masuk. Berdasarkan undang-undang, Maqis dan Kastam antara penentu untuk memastikan semua daging import adalah halal di pasaran Malaysia termasuk digunakan sebagai ramuan produk untuk mohon sijil halal.

Isu penguat kuasaan lain yang perlu dikaji ialah pengesahan sembelihan. Sekiranya daging import yang tidak halal terlepas masuk ke pasaran maka ia sukar ditentukan sama ada disembelih ataupun tidak mengikut hukum syarak. Ini kerana sehingga kini tidak ada makmal yang boleh menentukan daging yang telah dipotong atau karkas disembelih atau tidak.

Jika daging itu menggunakan logo halal di pembungkusannya maka sukar diten­tukan. Walaupun di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 melalui Perintah Perihal Dagangan Takrif Halal 2011 (dikuat kuasakan KPDNHEP) yang memperuntukkan denda hingga RM5 juta sekalipun tetapi gagal dibuktikan pembuktiannya, maka tiada tindakan jua.

Kes biasa yang diambil oleh KPDNHEP adalah penggunaan logo halal atau ungkapan halal tanpa kebenaran di bawah Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011 yang boleh didenda hingga RM200,000.

Undang-undang telah ada. Yang perlu sekarang adalah apakah tanggungjawab JPV, Jakim, Maqis, Kastam selain kita sebagai pengguna? Biarkan sahaja sebab dah lama atau gunakan kuasa pengguna. Bagaimana pula peluang kepada pengusaha daging tempatan?

Sanggupkah berubah sebagai pengganti keperluan pasaran daging dan mematuhi standard halal atau kuasa wakaf bangunkan semua ini. Solusi harus dicari di samping menyediakan undang-undang pengawalan diri insani yang ada kepada penggubal dan penguat kuasa undang-undang.

Elemen kejituan spiritual barakah diri yang berkait dengan keberkatan rezeki ini perlu diperkasakan dalam semua rantaian daging halal ini. Setiap kementerian atau jabatan perlu menguatkan Unit Hal Ehwal Islam supaya elemen-elemen insani ini sentiasa dipasak dalam diri. Terbaiknya kita serahkan kepada badan berautoriti untuk menyiasat. Kita yakin banyak hikmah di sebalik musibah.

  • Ustaz Mohd. Amri Abdullah ialah Panel Pakar Industri Halal Negara/Penyelidik Halal umhrc
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN