Kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW bukanlah iktikad membuta tuli, sebaliknya disokong oleh bukti sejarah, riwayat yang kukuh, bukti fizikal dan mukjizat yang memperteguhkan kebenaran risalah Baginda.
Apabila sirah dan perjalanan hidup Baginda SAW diteliti, terserlah pelbagai bukti yang mengukuhkan Baginda sememangnya utusan Allah SWT untuk membawa risalah kebenaran dan membimbing seluruh alam.
Rasulullah terima wahyu
Antara bukti awal yang memperlihatkan hakikat kenabian Baginda SAW dapat ditelusuri melalui reaksi dan beban fizikal yang ditanggung oleh Rasulullah SAW setiap kali menerima wahyu.
Dalam sebuah hadis, Saidina al-Harith bin Hisham RA bertanya kepada Rasulullah SAW tentang cara wahyu disampaikan kepada Baginda. Rasulullah SAW menjelaskan antara bentuk penerimaan wahyu yang paling berat adalah apabila ia datang seperti bunyi deringan loceng.
Penerimaan wahyu pada hakikatnya bukanlah suatu halusinasi atau sekadar pengalaman dalam mimpi. Sebaliknya, hubungan Rasulullah SAW dengan wahyu daripada Allah SWT turut meninggalkan kesan fizikal yang dapat disaksikan sendiri oleh para sahabat.
Dalam hadis kedua daripada Sahih al-Imam al-Bukhari, Saidatina Aisyah RA meriwayatkan beliau pernah menyaksikan sendiri dahi Rasulullah SAW mengalirkan peluh yang begitu banyak ketika wahyu diturunkan kepada Baginda, sedangkan ketika itu cuaca berada dalam keadaan yang sangat dingin.
Kesan fizikal tersebut menggambarkan betapa beratnya pengalaman menerima wahyu yang ditanggung oleh Rasulullah SAW, bahkan ia berlaku di hadapan para sahabat yang menyaksikan keadaan Baginda secara langsung.
Dalam hadis lain yang turut diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari, Saidina Zaid bin Thabit RA menceritakan pada suatu hari, Rasulullah SAW membacakan kepada beliau sebuah firman Allah SWT untuk ditulis.
Pada ketika itu, ayat yang dibacakan ialah: “Tidaklah sama orang-orang yang duduk dalam kalangan orang-orang mukmin dengan orang-orang yang berjihad pada jalan Allah.”
Ketika Rasulullah SAW membacakan ayat tersebut kepada Saidina Zaid bin Thabit RA, datanglah Saidina Abdullah Ibn Ummi Maktum RA. Beliau lalu berkata, “Wahai Rasulullah, sekiranya aku mampu untuk berjihad, nescaya aku akan berjihad.”
Beliau mengungkapkan ucapan ini kerana beliau adalah seorang yang tidak mampu berjihad kerana beliau seorang yang buta.
Sebaik sahaja ucapan ini keluar daripada mulut Saidina Abdullah Ibnu Ummi Maktum, Allah terus menurunkan firmanNya: “Melainkan orang-orang yang mempunyai keuzuran”.
Menurut Saidina Zaid bin Thabit RA, sebelum wahyu tersebut diturunkan, Rasulullah SAW meletakkan paha Baginda di atas paha beliau. Namun, apabila wahyu mula diturunkan, Saidina Zaid merasakan tekanan dan kesakitan yang amat kuat pada pahanya, sehingga beliau menyangka tulang pahanya akan hancur dan patah akibat beratnya paha Rasulullah SAW ketika Baginda menerima wahyu.
Apa yang menarik, kesakitan tersebut tidak dirasai sebelum wahyu diturunkan. Ia hanya berlaku ketika Rasulullah SAW menerima wahyu, sekali gus memperlihatkan betapa beratnya keadaan yang ditanggung oleh Baginda pada saat tersebut.
Malah, al-Imam Ahmad turut meriwayatkan dalam Musnad-nya daripada Saidina ‘Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Surah al-Ma’idah diturunkan kepada Rasulullah SAW ketika Baginda sedang menunggang unta. Begitu beratnya wahyu yang diturunkan sehingga unta tersebut tidak lagi mampu menanggung beban Baginda. Lalu, Rasulullah SAW pun turun daripada tunggangan Baginda.
Reaksi jujur
Pengalaman awal penerimaan wahyu di Gua Hira’ sebagaimana yang dirakamkan dalam Hadis Ketiga Sahih al-Bukhari memberikan satu lagi gambaran mengenai kejujuran kenabian Nabi Muhammad SAW.
Sebelum peristiwa di Gua Hira’, penerimaan wahyu didahului dengan mimpi-mimpi yang benar selama enam bulan, iaitu dari bulan Rabiulawal hingga Syaaban, ketika Baginda genap berusia 40 tahun.
Setiap kali Baginda bermimpi, mimpi tersebut akan menjadi kenyataan. Ia merupakan satu fasa persediaan rohani yang berlangsung secara bertahap dan diatur oleh Allah SWT sebelum Baginda menerima wahyu secara langsung.
Seterusnya baginda mengasingkan diri di Gua Hira’ untuk beribadah dan membersihkan jiwa daripada amalan syirik masyarakat Jahiliah. Di sinilah berlaku pertemuan fizikal pertama dengan Malaikat Jibril AS.
Malaikat Jibril AS bukan sekadar menampakkan diri kepada Rasulullah SAW, bahkan memeluk Baginda dengan sangat kuat sebanyak tiga kali sambil memerintahkan Baginda supaya membaca.
Pelukan yang begitu kuat itu menyebabkan Rasulullah SAW merasai kepayahan yang amat berat.
Pengalaman fizikal berupa pelukan dan tekanan yang dialami oleh Baginda menunjukkan peristiwa penerimaan wahyu di Gua Hira’ berlaku sebagai suatu pengalaman yang nyata, bukan sekadar lintasan fikiran atau khayalan.
Sekiranya seseorang manusia sengaja mereka-reka dakwaan dirinya seorang nabi, barangkali dia akan menyambut peristiwa tersebut dengan rasa bangga dan penuh kebesaran. Namun, reaksi
Rasulullah SAW selepas menerima wahyu sama sekali berbeza.
Baginda pulang ke rumah dalam keadaan tubuh yang terketar-ketar dan hati yang dipenuhi ketakutan. Setibanya di rumah, Baginda segera meminta isterinya, Saidatina Khadijah RA, agar menyelimutkan Baginda. Reaksi tersebut memperlihatkan ketakutan yang begitu spontan dan jujur, sekali gus menguatkan gambaran pengalaman menerima wahyu itu merupakan sesuatu yang benar-benar berlaku kepada Baginda.
Ia juga menolak gambaran Baginda berulang-alik ke Gua Hira’ dengan harapan untuk menjadi seorang nabi. Sebaliknya, peristiwa kenabian itu datang kepada Baginda secara tiba-tiba dan di luar jangkaan Baginda sendiri.
Kebenaran kenabian Baginda SAW disahkan lagi apabila Saidatina Khadijah RA membawa Baginda bertemu sepupunya, Waraqah bin Naufal, seorang pendeta yang alim dalam kitab Taurat dan Injil serta menguasai tulisan Ibrani.
Setelah mendengar peristiwa yang berlaku di Gua Hira’, Waraqah terus mengesahkan: “Inilah Namus (Malaikat Jibril AS) yang pernah diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa AS!”
Kesaksian Waraqah menunjukkan beliau mengenali tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad SAW dan mengaitkannya dengan kesinambungan risalah para nabi terdahulu. Beliau turut memberitahu bahawa Baginda akan dimusuhi dan diusir oleh kaumnya.
Kenyataan Waraqah bin Naufal bukanlah kali pertama seorang tokoh Ahli Kitab mengenali tanda-tanda kenabian Baginda SAW. Sejak usia muda, terdapat pendeta Yahudi dan Nasrani yang menyedari ciri-ciri kenabian pada diri Baginda.
Kisah pertemuan Rasulullah SAW dengan Buhaira, seorang pendeta Nasrani, turut menggambarkan sebahagian Ahli Kitab memiliki pengetahuan tentang ciri-ciri nabi terakhir sebagaimana yang terdapat dalam kitab-kitab terdahulu.
Maka tidak menghairankan apabila Saidina Salman al-Farisi RA turut menerima petunjuk daripada gurunya yang beragama Nasrani kemunculan nabi akhir zaman semakin hampir. Gurunya memberitahu nabi tersebut akan muncul di sebuah negeri yang dipenuhi pohon kurma, tidak memakan sedekah tetapi menerima hadiah, serta memiliki tanda kenabian pada bahagian belakang tubuhnya.
Akhirnya, setelah Saidina Salman al-Farisi RA menemui Rasulullah SAW dan mendapati kesemua tanda yang disebutkan oleh gurunya ada pada Baginda, beliau menitiskan air mata kegembiraan lalu menyatakan keislamannya di hadapan Rasulullah SAW yang ketika itu berada di Perkuburan al-Baqi‘.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.











