Warkah Rasulullah goncang Empayar Rom Timur

Warkah Rasulullah goncang Empayar Rom Timur

ANTARA tinggalan struktur bangunan semasa Empayar Rom Timur. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengajian risalah klasik menerusi kitab Sahih Imam al-Bukhari membawa pembaca kepada pengakhiran menarik bagi bab pertama, Kaifa Kana Bad’ul Wahyi (Bagaimana Permulaan Wahyu Diturunkan). Hadis ketujuh mengisahkan firasat ilmu falak serta pergolakan di istana Empayar Byzantium (Rom Timur) selepas Heraklius menerima warkah dakwah daripada Rasulullah SAW.

Imam Ibnu Syihab Az-Zuhri meriwayatkan kisah lanjutan ini daripada Ibnu al-Natur yang merupakan Gabenor Baitulmuqaddis merangkap ketua paderi Nasrani di Syam saat itu yang mendedahkan bagaimana kebenaran Islam menggoncang pimpinan tertinggi empayar terbesar dunia pada era berkenaan.

Bintang Ramalan dan Tanda Khatan

Selepas Byzantium menewaskan Empayar Parsi dalam Peperangan Ninawa pada 12 Disember 627, Heraklius berarak dari Hims ke Baitulmuqaddis untuk beribadat sebagai tanda kesyukuran.

Namun, suasana bertukar cemas apabila para pembesar mendapati dia gelisah pada suatu pagi.

Ketika ditanya para penasihat, Heraklius yang mahir dalam ilmu falak mendedahkan firasatnya: “Malam tadi, beta melihat petanda besar melalui pergerakan bintang, iaitu akan muncul seorang raja daripada kaum yang berkhatan. Siapakah yang mengamalkan adat berkhatan?”

Para pembesar Rom yang tidak mengetahui tradisi Arab menyangka kaum Yahudi sahaja berkhatan. Bimbang tercetus pemberontakan, mereka mencadangkan Heraklius mengarahkan semua gabenor wilayah Rom menangkap dan membunuh warga Yahudi.

Tatkala rancangan pembunuhan itu diperbincangkan, majlis Heraklius dikejutkan dengan ketibaan seorang utusan daripada Raja Ghassan (kerajaan Arab Kristian di bawah naungan Byzantium).

Utusan berkenaan membawa perkhabaran serta warkah rasmi daripada Rasulullah SAW yang diutuskan menerusi sahabat Baginda, Saidina Dihyah al-Kalbi. Mendengarkan perkhabaran tentang kemunculan seorang lelaki di Tanah Arab yang mengaku sebagai Nabi, Heraklius mengarahkan pengawal memeriksa keadaan fizikal utusan tersebut.

Pemeriksaan mengesahkan utusan Arab itu sudah berkhatan, sekali gus membuktikan amalan tersebut menjadi tradisi masyarakat Arab. Pengesahan itu menguatkan keyakinan Heraklius empayar baharu yang diramalkan melalui petanda bintang sudah pun muncul.

Warkah Pengesahan dari Rom dan Perhimpunan Istana Hims

Bagi mendapatkan kepastian yang lebih kukuh, Heraklius mengutus warkah kepada seorang rakan karibnya di Rom (Itali) yang setaraf dengannya dari segi penguasaan ilmu kitab dan falak bagi memastikan ketepatan ramalannya mengenai raja kaum yang berkhatan.

Sebahagian ahli sejarah menyatakan rakan Heraklius ini dikenali dengan panggilan Doghotir al-Uskuf. Sementara menunggu jawapan, Heraklius berangkat meninggalkan Baitulmuqaddis untuk kembali ke istana pemerintahannya di Hims (Syria).

Setibanya di Hims, Heraklius menerima surat balasan daripada sahabatnya di Rom. Rakan sarjana Kristiannya itu mengesahkan pandangan yang sama iaitu warkah yang diterima Heraklius benar-benar datang daripada seorang Nabi akhir zaman yang sah.

Yakin dengan kebenaran itu, Heraklius menghimpunkan pembesar dan tokoh agama Rom di istananya di Hims sebelum mengarahkan semua pintu kota dan istana dikunci. Dari tempat tinggi, dia menyeru rakyat Rom supaya berbaiah dan mengikuti Nabi Muhammad SAW demi memperoleh kejayaan, hidayah serta kelangsungan empayar.

Rusuhan Pembesar dan Taktik Politik Heraklius

Mendengar ajakan raja mereka untuk mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW, seluruh pembesar dan paderi Rom mengamuk. Mereka menunjukkan penolakan secara drastik dengan meluru beramai-ramai menuju ke pintu-pintu kota untuk keluar dari kawasan istana sebagai protes kepada Raja Rom.

Namun tindakan mereka yang mahu keluar dari kawasan istana terhalang kerana pintu-pintu utama telah awal-awal lagi dikunci atas arahan Heraklius. Melihat tentangan yang amat keras dan ketakutan akan kebangkitan pemberontakan yang boleh merampas takhtanya, Heraklius menyedari rakyatnya tidak mungkin akan memeluk agama Islam.

Bimbang kedudukannya terancam, Heraklius mengarahkan pengawal membawa semula para pembesar. Bagi meredakan keadaan, dia mendakwa seruannya terhadap Islam sebelum itu sekadar menguji keteguhan mereka terhadap agama Kristian dan berpuas hati dengan kesetiaan yang ditunjukkan.

Mendengar penjelasan itu, para pembesar Rom kembali lega, tunduk kepada Heraklius dan menyatakan kesetiaan kepadanya. Peristiwa di Hims menjadi pengakhiran usaha terbuka Heraklius terhadap Islam sebelum dia mempertahankan takhta dan meneruskan peperangan menentang umat Islam, termasuk Perang Mu’tah dan Tabuk.

Berbeza nasib

Para ulama dan pensyarah hadis memberikan perbandingan menarik mengenai nasib rakan karib Heraklius di Rom (Itali). Berbeza dengan Heraklius yang berundur kerana takut hilang kuasa, sahabatnya di Rom secara terang-terangan menzahirkan keislamannya di hadapan penganut Kristian di Itali.

Menurut kitab al-Bidayah wa al-Nihayah karya Imam Ibnu Kathir, Doghotir ketika ditemui Saidina Dihyah al-Kalbi mengakui Nabi Muhammad SAW ialah nabi yang diutuskan, berdasarkan sifat

Baginda serta nama Baginda yang terdapat dalam kitab mereka.

Doghotir menukar pakaian hitam kepada putih sebelum memasuki gereja sambil membawa tongkat, lalu mengisytiharkan keimanannya kepada Nabi Muhammad SAW dan bersaksi tiada Tuhan selain Allah serta Muhammad ialah hamba dan RasulNya.

Akibat keberaniannya, tokoh sarjana Kristian itu digempur dan dipukul oleh masyarakatnya secara beramai-ramai sehingga akhirnya gugur sebagai seorang syahid.

Majoriti ulama berpandangan Heraklius meninggal dunia sebagai penganut Kristian kerana mempertahankan takhta, manakala sebahagian yang lain berpendapat dia mungkin menyembunyikan keimanannya kerana bimbang dibunuh.

Hanya Allah SWT yang mengetahui hakikat keimanan Heraklius, sama ada dia beriman kepada keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW atau sebaliknya.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×