AKTIVITI filateli atau mengumpul setem masih kekal popular serta bertahan selain mempunyai peminat tersendiri disebalik perkembangan era digital dalam dunia serba moden ini.
Bagi pengumpul tegar filateli tersebut, hobi berkenaan mempunyai makna tersendiri kerana menyimpan sejarah, budaya, warisan dan identiti negara. Malah, apabila bahan ini semakin lama disimpan sebagai koleksi, maka semakin tinggi nilainya kerana nilai sejarah serta keunikannya.
Melalui filateli, setiap setem yang dikumpulkan juga membawa kisah tersendiri dan menjadi sebahagian daripada koleksi yang menghubungkan seni, sejarah serta warisan.
Bermula hari ini sehingga 27 September ini, Perlis bakal menjadi tumpuan peminat setem seluruh dunia apabila menjadi tuan rumah penganjuran pameran setem lima negara Perlis Malaysia 2026 yang berlangsung di Dewan 2020 di sini.
Pameran membabitkan Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam serta negara jemputan Bangladesh dianjurkan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (PSSI) – Perlis Tourism dan Persatuan Filateli Malaysia (PSM) dengan kerjasama Pos Malaysia.
Ia akan dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada 26 September.
Program tiga hari yang menyasakan kehadiran lebih 10,000 pengunjung itu bakal menyaksikan lebih 330 bingkai melibatkan setem dari enam negara tersebut selain sebanyak 98 koleksi setem dengan pelbagai tema merangkumi 29 kelas pertandingan antaranya filateli tradisional, sejarah pos, aerofilateli, setem hasil, filateli tematik, poskod bergambar dan filateli remaja.
Turut menjadi tarikan utama setem khas keluaran Pos Malaysia sempena program berkenaan yang memaparkan keunikan grafik dalam setem serta warisan setem institusi Diraja Perlis.
Pengurus PSSI – Perlis Tourism, Mohd. Irzat Rozaidy Mohamad Roseli berkata, pameran bertaraf antarabangsa itu julung kali diadakan di Perlis yang secara tidak langsung turut membantu mempromosikan negeri ini.

Katanya, sempena program tersebut, terdapat kaunter jualan setem selain pengunjung dapat berinteraksi dan membina jaringan dengan pengumpul setem tempatan serta antarabangsa.
Katanya, PSM turut menyediakan bantuan dan khidmat nasihat kepada pengunjung untuk memulakan hobi mengumpul setem selain siri perkongsian ilmu mengenai warisan filateli bagi memperluaskan pengetahuan masyrakat.
“Kebanyakan pempamer merupakan pengumpul setem dan ahli filateli yang berpengalaman dari dalam serta luar negara.
“Lebih 90 individu serta institusi menjadi pempamer pada edisi kali ini termasuk pempamer cilik berusia 10 tahun. Selain itu, The British Library merupakan antara pempamer yang akan mempamerkan koleksi bersempena pameran itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, antara tarikan lain ialah bakal dipamerkan setem Kingdom of Perlis yang memaparkan setem lama kerajaan negeri Perlis.
“Selain itu, setem terawal yang dikeluarkan menggunakan imej Tuanku Syed Putra Jamalullail antaranya Perlis 1948-2025, Kingdom of Perlis, Straits Settlements Queen Victoria 1879-1901, British Malaya 1888 to 1930, 1937 Strait Settlements-The Coronation of King George VI- First Anniversary of Merdeka,” katanya.
Katanya, selain pameran, terdapat juga pelbagai aktiviti sampingan seperti persembahan kesenian membabitkan Awang Batil dan gendang silat.

Antara lain seperti pameran kereta klasik, pasar karat, aktiviti kelab setem dan filateli sekolah, pertandingan pakaian retro serta jualan Madani.
“Lebih 1,000 cawan minuman percuma iaitu kopi waktu dan teh opek turut diberikan kepada pengunjung setiap hari,” katanya.
Mohd. Irzat berkata, pameran tersebut diadakan selaras dengan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2026 serta inisiatif memperkenalkan Perlis sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Katanya, ia juga memberi peluang dan pengetahuan kepada orang awam berhubung warisan, seni dan budaya diterapkan dalam setem.
“Program tersebut juga menjadi serampang dua mata bagi sektor pelancongan yang akan memberi impak kepada sektor perkhidmatan penginapan, pengangkutan makanan dan cenderamata,” katanya.











