Pemimpin wanita mesti berani dan merendah diri - Tun Tengku Maimun

Pemimpin wanita mesti berani dan merendah diri – Tun Tengku Maimun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Ada yang bertanya reaksi saya apabila menerima panggilan daripada Perdana Menteri yang memaklumkan mengenai pelantikan saya sebagai Ketua Hakim Negara. Respon saya, saya tidak menerima sebarang panggilan daripada beliau,” kata Mantan Ketua Hakim Negara, Tun (DR) Tengku Maimun Tuan Mat.

Sebaliknya beliau menerima surat pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara yang disampaikan sendiri pegawai dari pejabat Perdana Menteri, sekaligus mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman negara pada 2 Mei 2019.

Tun Tengku Maimun berkata, beliau amat menghargai tindakan Perdana Menteri ketika itu kerana sekiranya beliau menghubunginya melalui telefon, ia akan menjadi petunjuk secara tidak langsung Perdana Menteri bertanggungjawab atas pelantikan itu.

“PM bertindak dengan cara sangat profesional. Dari segi persepsi umum, perkara itu tidak akan memberi gambaran yang baik terhadap kebebasan badan kehakiman yang merupakan aspek penting dalam melaksanakan tugas-tugas utamanya.

“Apabila saya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia, pelantikan itu mendapat liputan meluas kerana saya memecahkan satu halangan besar sebagai wanita pertama yang memegang jawatan kehakiman tertinggi dalam sejarah negara, “ katanya.

Tun Tengku Maimun berkongsi pengalamannya itu pada sesi berimpak tinggi berjudul, ‘Pengawal Keadilan, Arkitek Perubahan’ yang dianjurkan Women Leadership Foundation (WLF) dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2026, di Shah Alam, baru-baru ini.

Pelantikan Tun Tengku Maimun tidak perlu dipertikaikan apabila Badan Peguam Malaysia menggambarkan beliau sebagai seorang yang dikenali dengan ‘keputusan-keputusannya yang bernas, watak kehakiman terpuji dan kebebasan beliau dalam sistem kehakiman’.

Menurut mantan Hakim Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, perlantikan itu juga membawa makna yang besar dalam mengiktiraf kecekapan hakim tanpa mempedulikan jantina mereka.

Tun Tengku Maimun bersara wajib pada usia 66 tahun pada Julai 2025, kini sibuk dengan tugasnya sebagai Profesor Amalan dan Penyandang Kerusi Diraja Integriti dan Tadbir Urus Baik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang disandang sejak Oktober 2025.

SUAMI MEMAHAMI, MENYOKONG

Tun Tengku Maimun berkata, apa saja cabaran yang dihadapinya, tidak semestinya berkaitan gender sebaliknya adalah cabaran yang dihadapi oleh semua ketua hakim, samada lelaki atau wanita.

“Cabaran adalah berkaitan bagaimana menegakkan keadilan, meningkatkan keyakinan ramai terhadap institusi kehakiman dan bagaimana menguruskan persepsi negatif masyarakat terutama kes yang diputuskan serta kefahaman mengenai keputusan kes.

Kesamarataan jantina tidak sepatutnya menjadi batu halangan dalam kepimpinan sebaliknya kejayaan diperoleh melalui merit, kecekapan profesional dan integriti, bukannya ditentukan oleh jantina.

“Walaupun berdepan sekatan halimunan (glass ceiling), cabaran utama ialah melaksanakan tanggungjawab tanpa terikat dengan stereotaip jantina. Ketahanan diri serta sokongan keluarga dan persekitaran penting dalam mengimbangi kerjaya dan kehidupan keluarga,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada suami yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kerjayanya.

Katanya satu kajian Harvard Business Review mendapati wanita mengatasi lelaki dalam 17 daripada 19 keupayaan yang membezakan pemimpin yang cemerlang.

Wanita dinilai lebih tinggi terutamanya dalam mengambil inisiatif, bertindak dengan ketahanan, mempraktikkan pembangunan diri, memacu keputusan dan yang paling penting, menunjukkan integriti dan kejujuran yang tinggi.

MESEJ UNTUK WANITA

Tun Tengku Maimun menasihatkan semua pemimpin wanita, apabila diberi tempat dan peluang untuk memimpin, ini bermaksud mereka membawa kebaikan, perspektif dan kekuatan unik untuk mentakrifkan semula kuasa dan kepimpinan.

Beliau menegaskan kepimpinan bukan sekadar menyesuaikan diri dengan acuan sedia ada atau memiliki kuasa dan jawatan tinggi, sebaliknya berusaha membina sistem yang lebih kuat, empati dan berkesan.

Menurutnya, kepimpinan melibatkan kecekapan, keupayaan memberi inspirasi, membina kepercayaan serta memimpin melalui teladan dengan mengamalkan nilai dan tingkah laku yang diharapkan daripada orang lain.

Ujarnya, kuasa sebenar dalam kepimpinan datang daripada sifat dan tindakan dalaman, bukan kedudukan pada carta organisasi.

“Pemimpin wanita mesti bertindak dengan keberanian dan kerendahan hati. Ini adalah nilai-nilai asas yang melindungi semua nilai lain. Keberanian moral mungkin lebih jarang ditemui berbanding keberanian fizikal,” katanya.

MAHKAMAH BERGERAK

Pada Mei 2025, Tun Tengku Maimun merasmikan mahkamah bergerak bagi Semenanjung Malaysia bagi melindungi kanak-kanak mangsa dan saksi kesalahan seksual daripada trauma psikologi ketika hadir ke mahkamah.

Inisiatif itu menggunakan kenderaan diubah suai yang membolehkan kanak-kanak dibawa terus ke lokasi prosiding, memberikan keterangan secara selamat tanpa berdepan dengan tertuduh serta mendengar kes di kawasan pedalaman.

Menurutnya, mahkamah bergerak memastikan akses keadilan yang lebih saksama kepada penduduk pedalaman dan golongan rentan, selain mencerminkan usaha badan kehakiman menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×