Seni batik lukisan tangan diterjemahkan ke dalam rekaan selendang menerusi koleksi The Art Series keluaran Jadi Batek X Bokitta.
Dilancarkan sempena Merdeka 2026, koleksi itu menampilkan enam rekaan yang diinspirasikan daripada motif flora dan keindahan botani.
Ia terdiri daripada Valentina, Verde, Bellina, Solea, Rosewater dan Azura.
Berbeza daripada corak cetakan biasa, setiap rekaan bermula dengan karya batik asal yang dihasilkan artisan Jadi Batek menggunakan teknik mencanting tradisional.
Proses tersebut merangkumi lakaran, mencanting garisan lilin, mewarna, mematikan warna, menanggalkan lilin serta mencuci dan mengeringkan kain.
Karya batik yang siap kemudiannya didigitalkan sebelum diolah oleh pereka Bokitta ke dalam bentuk selendang, sekali gus mengekalkan elemen corak asal pada rekaan moden.
Kerjasama ini menggabungkan kraf batik tradisional dengan rekaan fesyen semasa, menerusi karya yang boleh dipakai dan digayakan.










