Jerebu buat kulit cepat berkedut

Jerebu buat kulit cepat berkedut

Bahan cemar yang ada dalam jerebu boleh rosakkan lapisan pelindung kulit. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jerebu sering dikaitkan dengan masalah pernafasan seperti asma dan gangguan pada paru-paru.

Namun, pencemaran udara itu turut memberi kesan kepada kulit yang merupakan organ terbesar badan.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, jerebu bukan sekadar mengandungi debu biasa, sebaliknya terdiri daripada zarah halus seperti particulate matter (PM2.5 dan PM10).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, jerebu turut mengandungi jelaga hasil pembakaran hutan yang boleh mengandungi hidrokarbon aromatik polisiklik, logam berat serta gas tercemar.

“Benda-benda ini bila melekat pada kulit, ia bukan sahaja melekat tetapi boleh menembusi lapisan pelindung kulit.

“Ia menyebabkan tiga masalah pada kulit iaitu keradangan, pengoksidaan dan akhirnya merosakkan lapisan pelindung kulit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kerosakan lapisan pelindung kulit itu menyebabkan kulit lebih mudah mengalami kegatalan, kemerahan dan rasa tidak selesa ketika terdedah kepada jerebu.

Malah, kesannya bukan sekadar berlaku dalam tempoh singkat kerana pendedahan berterusan kepada pencemaran udara turut boleh menyumbang kepada proses penuaan kulit.

Ekzema lebih mudah meradang

Kesan jerebu juga boleh menjadi lebih ketara kepada individu yang sememangnya mempunyai masalah kulit seperti ekzema, jerawat, kulit sensitif dan rosacea.

Dr. Hamidah berkata, pesakit ekzema antara golongan yang paling terjejas kerana lapisan pelindung kulit mereka sememangnya sudah lemah.

“Ekzema paling teruk sebab lapisan kulit memang sudah lemah. Bila terkena pencemaran, kulit jadi lebih mudah alergi.

“Ada pesakit yang sebelum ini pakai pelembap dua kali sehari dan tiada masalah, tetapi sekarang kulit sudah tidak boleh menerima. Kulit jadi merekah dan risiko jangkitan juga meningkat sebab mereka menggaru,” katanya.

Menurutnya, jerebu pula tidak menyebabkan jerawat secara langsung, namun keadaan kulit yang meradang dan tercemar boleh memburukkan masalah jerawat sedia ada.

“Jerawat itu banyak faktor. Bila lapisan pelindung kulit sudah rosak dan berlaku pengoksidaan, kulit mengambil masa lebih lama untuk pulih.

“Zarah pencemar yang halus pula boleh bercampur dengan minyak pada pori dan menyebabkan pori lebih mudah tersumbat,” jelasnya.

Selain itu, kulit sensitif dan rosacea juga boleh menjadi lebih mudah merah serta pedih apabila terdedah kepada jerebu.

Menyebabkan pigmentasi, kedutan

Selain menyebabkan kulit kering dan meradang, pendedahan berterusan kepada jerebu juga boleh menyumbang kepada masalah pigmentasi dan mempercepatkan penuaan kulit.

Ujarnya, zarah halus termasuk logam berat boleh merangsang penghasilan melanin pada kulit, sekali gus menyebabkan pigmentasi menjadi lebih ketara.

“Memang ada kajian yang membandingkan orang yang tinggal di kawasan udara bersih dengan orang yang tinggal di kawasan udara tidak bersih.

“Orang yang terdedah kepada udara tercemar lebih banyak mengalami pigmentasi kerana zarah halus dan logam berat boleh menyebabkan kulit lebih aktif menghasilkan melanin,” ujarnya.

Pada masa sama, zarah pencemar yang menembusi kulit juga boleh meningkatkan aktiviti enzim yang memecahkan kolagen.

“Bila enzim yang memecahkan kolagen semakin banyak, kolagen akan berkurangan dan akhirnya tanda-tanda penuaan seperti kedutan menjadi lebih ketara.

“Kalau setiap tahun kita terdedah kepada jerebu, kesannya boleh menyebabkan kulit menjadi lebih cepat tua berbanding orang yang tidak terdedah kepada keadaan sama,” jelasnya.

Kekalkan rutin asas penjagaan kulit

Dalam tempoh jerebu, orang ramai disaran meneruskan rutin asas penjagaan kulit bagi mengurangkan risiko iritasi dan kekeringan.

Dr. Hamidah menyarankan muka dicuci dua kali sehari, manakala solekan hendaklah dibersihkan dengan sempurna sebelum tidur.

Penggunaan pelembap juga penting bagi membantu mengekalkan kelembapan kulit yang lebih mudah kering ketika terdedah kepada jerebu.

Bagaimanapun, orang ramai tidak seharusnya meninggalkan penggunaan pelindung matahari hanya kerana keadaan cuaca kelihatan mendung atau berjerebu.

“Ramai ingat bila jerebu, tidak ada cahaya matahari. Sebenarnya cahaya matahari masih ada dan kita patut pakai pelindung matahari,” katanya.

Bagi mereka yang menggunakan bahan aktif seperti AHA, BHA dan retinol, penggunaan boleh dikurangkan atau dihentikan sementara sekiranya kulit sudah menunjukkan tanda iritasi.

“Kalau kulit tengah pedih atau merah, kalau boleh elakkan dahulu. Rehat sekejap daripada bahan aktif sebab takut kulit menjadi lebih iritasi,” ujarnya.

Dr. Hamidah turut mengingatkan supaya orang ramai tidak mudah terpedaya dengan dakwaan mengenai produk khas untuk melindungi kulit daripada jerebu.

“Produk antijerebu itu sebenarnya tidak ada. Tidak ada satu produk khas yang boleh dikatakan produk antijerebu. Gunakan sahaja benda yang asas dan biasa, tetapi kena konsisten,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×