Selamatkan lebah, bukan bakar sarangnya

Selamatkan lebah, bukan bakar sarangnya

DENNIS Liew memeriksa sarang lebah di halaman sebuah rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALAMAK! Ada lebah bersarang depan rumah, cepat panggil bomba!

Itu reaksi spontan kebanyakan daripada kita apabila ternampak sarang lebah di rumah atau kawasan berhampiran. Hakikatnya, lebah tidak sebahaya yang kita sangkakan. Tapi manusialah yang sebenarnya ancaman kepada lebah.

“Kalau panggil bomba atau agensi bantuan kecemasan lain, mereka biasanya hapuskan sarang lebah untuk hilangkan ancaman keselamatan dengan cepat sedangkan ada cara lebih baik seperti yang kami lakukan.

“Tugas kami adalah selamatkan dan pindahkan lebah itu ke tempat lain,” jelas Ahli Jawatankuasa Persatuan Penyelamat Lebah Malaysia (My Bee Savior Association), Dennis Liew kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mungkin ramai yang tidak tahu pasal Persatuan Penyelamat Lebah Malaysia. Ia adalah sebuah pasukan sukarelawan yang komited menyelamatkan serta memindahkan sarang lebah yang tersesat di kawasan perumahan atau bangunan awam ke habitat lebih selamat tanpa membunuhnya.

Kenapa perlu selamatkan lebah? Sebab lebah memainkan peranan penting pada peringkat permulaan proses rantaian makanan dan biodiversiti dunia.

Lebah merupakan serangga pendebunga pada tumbuhan yang menghasilkan buah-buahan untuk makanan haiwan herbivor (maun) dan kemudiannya menjadi makanan haiwan karnivor (maging).

Tanpa lebah maka terputuslah rantaian ekosistem alam.

“70 peratus hasil makanan dunia adalah melalui proses pendebungaan sebegini.

“Tanpa lebah, manusia dan haiwan lain akan kekurangan makanan,” ujar Dennis.

Sememangnya risiko disengat sudah pasti ada dalam kerja-kerja menyelamatkan lebah. Namun, alah bisa tegal biasa.

Apa yang penting baginya adalah melakukan dengan lembut dan berhati-hati. Katanya, seperti manusia, lebah juga ada perasaan dan tahu yang datang itu mahu menyelamat, bukan mahu mengancam.

Saya berpeluang mengikuti tugasan menyelamatkan dan memindahkan lebah yang bersarang di dalam sebuah peti kayu di sebuah rumah di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Pada mulanya saya berdiri jauh kira-kira lima meter, takut diserang dan disengat lebah!

Namun, rasa takut makin lama makin hilang apabila melihatkan lebah-lebah itu tidak agresif. Saya mula menghampiri hinggakan sarang lebah tersebut berada betul-betul di depan muka saya untuk dirakamkan gambar.

Dennis memberikan tips kepada saya – kalau lebah datang dekat, tidak perlu kibas tangan untuk halaunya. Duduk diam-diam sahaja kerana kalau bersikap agresif, lebah akan menganggap kita cuba mengancam mereka.

Dalam tugsaan tersebut, penyelamat lebah terlebih dahulu perlu mencari ‘permaisuri’ dan memasukkannya ke dalam peti kecil lalu diletakkan di dalam sebuah kotak kayu. Tindakan sedemikian menyebabkan lebah-lebah lain berterbangan dan berdengung, huru-hara bunyinya.

Namun, perlahan-lahan lebah-lebah dalam koloni sama termasuk ‘pekerja,’ ‘pengawal’ dan ‘lebah jantan’ secara automatik ikut permaisuri tadi dan meninggalkan sarang asal. Hinggakan bunyi dengungan hingar-bingar tadi bertukar jadi ‘aman.’

Sementara menantikan kesemua lebah berkerumun dan berkumpul pada permaisurinya, penyelamat perlahan-lahan memindahkan sarang ke dalam kotak sama. Faktor keselamatan diutamakan oleh penyelamat dengan memakai baju perlindungan khas, topi dengan jaring muka, sarung tangan, but dan penyembur asap untuk menenangkan lebah.

Selepas 30 minit kemudian, tugas itu pun selesai dan kotak berisi lebah siap untuk dipindahkan dengan kereta. Menurut Dennis, dia mengamalkan konsep 4K dalam tugasnya iaitu keselamatan, kesabaran, ketelitian dan kesayangan.

SEORANG penyelamat membawa sekotak kayu berisi lebah yang mahu dipindahkan ke tempat lain.

Prosedur sama dilakukan Dennis semasa saya mengikutinya memindahkan koloni lebah yang bersarang di celah bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Ampang, Selangor. Tugas di situ lebih rumit kerana dia terpaksa menggunakan tangga dan membuka kepingan-kepingan atap.

Buat pertama kali saya lihat bagaimana lebah menyengat manusia. Seekor lebah yang menyengat lengan Dennis berputar-putar sehinggalah sengat itu tertanggal daripada badannya.

“Sengatnya yang berbentuk seperti cangkuk mata kail akan terus melekat pada kulit mangsa dan terputus bersama usus kecil menyebab­kannya mati.

“Cabut sengat secepat mungkin bagi mengelak racun meresap ke dalam badan. Kuis dengan kuku. Jangan picit sebab nanti lebih banyak racun masuk ke dalam badan,” katanya.

Lebah-lebah yang diselamatkan Dennis diletakkan di beberapa lokasi untuk dijaga seperti halaman rumahnya, kebun di Bentong, Pahang atau ladang buah-buahan yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang. Di sana, dia perlu menyediakan makanan iaitu air dicampur gula selama 14 hari bagi tenangkan lebah sehingga ia mula bertelur.

Usaha menyelamatkan lebah yang bersarang di kediaman atau bangunan awam daripada dimusnahkan dicetuskan oleh sekumpulan pencinta lebah pada 2015. Kemudian ia dijadikan program tanggungjawab sosial korporat oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebelum ditubuhkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan pada 2020. Dua tahun kemudian, mereka menubuhkan Persatuan Penyelamat Lebah Malaysia.

Dennis yang menyertai persatuan berkenaan sejak 2020 memberitahu, ahli-ahli merupakan sukarelawan daripada pelbagai peringkat umur dan kerjaya yang berminat untuk menyelamatkan lebah.

Oleh kerana tugas sukarela maka segala kos ditanggung mereka sendiri.

“Kita kekurangan dana untuk menjalankan kerja-kerja menyelamatkan lebah. Setiap satu-satu kes sekurang-kurangnya memakan kos RM300 termasuk kotak simpanan, pancang,” jelasnya.

Dennis menyifatkan lebah yang bersarang di kawasan bandar sebagai ‘golongan B40’ yang memerlukan bantuan untuk terus hidup kerana habitat semula jadi mereka semakin musnah akibat pembangunan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN