Kemuliaan Rasulullah SAW tidak hanya berlaku semasa hayat baginda bahkan ia akan terus berlaku walaupun sesudah kewafatan baginda. Kewafatan bukanlah bererti pengakhiran bagi kemuliaan dan keagungan baginda sebaliknya ia adalah perpindahan dari alam yang fana ke alam yang kekal abadi.
Allah menunjukkan doa yang dilantunkan oleh Rasulullah adalah doa yang mustajab secara umumnya. Allah berfirman di dalam Surah al-Nisa ayat ke-64 yang bermaksud:
“Kalaulah mereka saat mereka telah menzalimi diri mereka, mereka datang kepadamu lalu mereka memohon kepada Allah akan keampunan dan sang rasul juga memohon (kepada Allah] akan keampunan buat mereka, nescaya mereka akan mendapati Allah adalah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihi”.
Berbicara Dengan Rasulullah Saat Berdoa
Imam al-Tirmizi ada meriwayatkan satu kisah seorang sahabat yang buta matanya bertemu dengan Rasulullah dengan harapan baginda berdoa Allah menyembuhkan penglihatannya. Lalu
Rasulullah SAW akhirnya mengajar sahabat tersebut memohon kepada Allah dengan cara memanggil baginda saat berdoa.
Hadis ini secara penuhnya adalah begini: Daripada (Saidina) ‘Uthman bin Hunaif bahawa ada seorang lelaki yang matanya buta datang menemui Nabi SAW lalu beliau berkata (kepada baginda):
“Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkan saya”. Baginda bersabda (kepadanya): “Sekiranya anda mahu, saya akan berdoa. Namun sekiranya anda mahu, anda boleh bersabar dan itulah yang lebih baik untuk anda”.
Lelaki tersebut berkata: “Berdoalah kepadaNya”. Maka baginda pun menyuruh lelaki tersebut untuk berwuduk secara elok dan (seterusnya) berdoa dengan doa ini: “Ya Allah. Daku memohon kepada-Mu dan daku menghadap-Mu dengan (berkat kemuliaan) NabiMu Muhammad yang merupakan Nabi rahmat. (Wahai Muhammad). Sesungguhnya daku menghadap tuhanku dengan (berkat kemuliaan)mu pada hajatku ini supaya ia ditunaikan untukku. Ya Allah. Terimalah syafaat baginda untukku”.
Hadis ini menurut Imam al-Tirmizi adalah yang kuat iaitu hadisHasan Sohih Ghorib.
Imam al-Bayhaqi di dalam kitab al-Da‘awat al-Kabir turut meriwayatkan hadis ini dengan sanad yang sahih.
Beliau turut menyatakan kisah lanjutannya seperti berikut: “Maka lelaki tersebut telah melakukan (seperti yang disuruh oleh Rasulullah SAW) lalu beliau pun sembuh”.
Ada Yang Mengatakan: Doa Di Atas Hanya Dibolehkan Pada Zaman Nabi Muhammad!
Imam Taqiyyuddin ‘Ali bin ‘Abdul Kafi al-Subki ada mengulas hadis ini di dalam kitab beliau yang berjudul: Syifa al-Saqom Fi Ziyaroh Khoyr al-Anam Sollallohu ‘Alayhi Wa Sallam.
Menurutnya; sekiranya seseorang berhujah keharusan menyeru nama Nabi Muhammad saat berdoa kepada Allah hanya dibolehkan semasa baginda masih hidup dan tidak dibenarkan setelah kewafatan baginda, maka dakwaan ini ditolak dengan alasan Saidina ‘Uthman bin Hunaif sendiri telah berdoa dengan cara yang diajarkan oleh Rasulullah ini setelah kewafatan baginda.
Ini bermakna beliau sendiri tidak berpandangan keharusan berdoa dengan doa itu hanya pada zaman Rasulullah SAW.
Kisah Saidina ‘Uthman bin Hunaif beramal dengan doa ini setelah kewafatan Rasulullah ada diriwayatkan oleh al-Imam al-Tobaroni di dalam al-Mu‘jam al-Kabir seperti berikut:
Daripada Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif, daripada pakciknya, (Saidina) ‘Uthman bin Hunaif bahawa ada seorang lelaki yang datang menemui (Saidina] ‘Uthman bin ‘Affan kerana beliau mempunyai satu hajat [yang diharapkan akan ditunaikan oleh Saidina ‘Uthman).
Namun, Saidina Uthman tidak menoleh ke arah lelaki tersebut, apatah lagi mengambil perhatian terhadap hajat yang ingin disampaikannya. Lalu, lelaki itu menemui Saidina Uthman bin Hunaif dan mengadu tentang apa yang berlaku. Mendengar aduan itu, Saidina Uthman bin Hunaif berkata kepadanya:
“Pergilah ke tempat berwuduk lalu berwuduklah. Kemudian pergilah ke masjid dan solatlah dua rakaat di dalamnya. Kemudian sebutlah (di dalam doamu): Ya Allah. Daku memohon kepada-Mu dan daku menghadap-Mu dengan (berkat kemuliaan) Nabi kami Muhammad yang merupakan Nabi rahmat.
“Wahai Muhammad. Sesungguhnya daku menghadap tuhanku dengan (berkat kemuliaan) mu lalu (moga-moga) hajatku ini ditunaikan untukku. Kamu sebutlah hajatmu. (Setelah itu) pergilah (semula menemui Saidina ‘Uthman) dan daku akan pergi bersama-sama denganmu”.
Maka lelaki itu pun pergi (ke tempat wuduk) dan melakukan apa yang telah disebut oleh (Saidina) ‘Uthman bin Hunaif. Kemudian (setelah itu) lelaki itu pergi ke pintu [Saidina] ‘Uthman bin ‘Affan.
Maka [saat tiba di depan pintu], penjaga pintu pun datang dan terus memegang tangan lelaki itu lalu dia pun membawanya masuk menemui [Saidina] ‘Uthman bin ‘Affan. [Saidina] ‘Uthman telah menyuruhnya duduk bersama-sama beliau di atas sehelai permaidani kecil lalu beliau telah berkata [kepada lelaki itu]: “Apa hajatmu”? Lelaki itu pun menyebut hajatnya lalu [Saidina] ‘Uthman pun menunaikan hajat permintaannya. Setelah itu beliau berkata kepada lelaki itu:
“Saya tidak teringat langsung hajatmu [yang kamu sebut sebelum ini] sehinggalah saat ini”. Beliau berkata lagi: “Apa sahaja hajat lain yang kamu ingin minta, maka sebutlah [sekarang]”.
Kemudian lelaki itu pun keluar dari (rumah Saidina) ‘Uthman (bin ‘Affan) lalu dia menemui pula (Saidina) ‘Uthman bin Hunaif seraya berkata: “Semoga Allah membalas anda dengan kebaikan.
Beliau (iaitu Saidina ‘Uthman bin ‘Affan) langsung tidak memerhatikan hajatku dan tidak pula beralih kepadaku sehinggalah anda sendiri yang berbicara dengannya tentangku”.
Lalu (Saidina) ‘Uthman bin Hunaif berkata: “Demi Allah. Saya langsung tidak berbicara dengan beliau. Namun saya telah menyaksikan Rasulullah SAW didatangi oleh seorang lelaki buta lalu lelaki tersebut mengadu kepada baginda tentang matanya yang buta. Maka Nabi SAW bersabda kepadanya: “Maka kamu [hendaklah] bersabar”.
Lelaki itu pun berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah. Saya tidak ada orang yang boleh memimpin saya (berjalan) sedangkan itu adalah berat bagi saya”.
Maka Nabi SAW bersabda: “Kamu pergilah ke tempat wuduk lalu berwuduklah. Kemudian solatlah sebanyak dua rakaat. Kemudian berdoalah dengan doa ini”. (Saidina ‘Uthman) bin Hunaif berkata:
“Maka demi Allah. Kami belum sempat berpisah dan belum sempat berlalu masa yang lama sehingga lelaki itu datang semula menemui kami dalam keadaan seolah-olah dia tidak pernah buta sama sekali”.
Makam baginda, doa dimakbulkan
Imam al-Darimi di dalam Musnad beliau ada meriwayatkan kisah kemarau yang dahsyat yang pernah menimpa bumi Madinah. Ini akhirnya menyebabkan para penduduk al-Madinah memohon hujan kepada Allah melalui tawassul dengan kubur baginda yang mulia.
Tindakan ini akhirnya diterima oleh Allah lalu menurunkan hujan kepada penduduk al-Madinah. Kisah penuh di dalam Musnad al-Imam al-Darimi adalah seperti berikut:
Abu al-Jawza’ (iaitu) Aws bin ‘Abdullah telah berkata: Penduduk Madinah telah ditimpa kemarau yang dahsyat. Maka mereka telah mengadu kepada (Saidatina) ‘Aishah lalu beliau pun berkata:
“Kalian lihatlah makam Nabi SAW. Maka jadikanlah ada bukaan (menghala) ke langit di (bahagian atap) makam baginda sehingga tidak ada lagi atap di antara makam dengan langit”.
Abu al-Jawza’ berkata: “Maka mereka pun melakukan (apa yang disuruh oleh Saidatina ‘Aishah). Lalu mereka dihujani dengan hujan yang lebat sehingga rumput kembali tumbuh dan unta kembali gemuk hingga kulitnya merekah disebabkan lemak di tubuhnya terlalu banyak. Lalu tahun itu dinamakan Tahun Rekahan”.
Penulis ialah Syeikh Ruwaq Jawi, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi Kaherah.










