Populariti bukan ukuran, Aisyah pilih beri manfaat

Populariti bukan ukuran, Aisyah pilih beri manfaat

AISYAH berhati-hati dalam memilih perkara yang ingin disentuh dalam videonya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Populariti sering menjadi kayu ukuran bagi menentukan kejayaan sesuatu kandungan lebih-lebih lagi di platform media sosial hari ini.

Bagi sesetengah pencipta kandungan, lebih tinggi jumlah tontonan yang mereka lebih besar pengaruh mereka selain membuka peluang untuk mereka menjana pendapatan secara dalam talian.

Namun, masih wujud pencipta kandungan yang mencipta video bukan hanya untuk memenuhi ruang algoritma sebaliknya mahu menyampaikan peringatan yang beri manfaat kepada dirinya dan masyarakat.

Bagi pempengaruh dan pencipta kandungan, Aisyah Shofi berkata, dia tidak melihat dirinya sebagai individu yang berdiri di hadapan kamera untuk menyebarkan dakwah sebaliknya mahu mewujudkan ruang perbualan yang lebih dekat dengan audiens.

“Saya melihat setiap kandungan yang saya hasilkan sebagai satu perbualan dengan audiens, bukannya sesi mengajar. Pendekatan itu membolehkan saya membina hubungan yang lebih dekat dengan mereka,” katanya.

Bagi Aisyah, seseorang yang mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan baik tidak semestinya sentiasa gemar menjadi perhatian. Sebaliknya, kecenderungan untuk bersuara bergantung kepada situasi, individu yang berhadapan dengannya serta perkara yang ingin disampaikan.

“Saya hanya bercakap apabila perlu kerana sebagai seorang pempengaruh, saya perlu berhati-hati dengan setiap kata yang diucapkan. Jika tersalah cakap, ia bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan mental saya, malah kehidupan peribadi saya juga,” ujarnya.

Bermula Dengan Niat Yang Ikhlas

Dia percaya seseorang yang berkongsi peringatan juga perlu sentiasa bermuhasabah. Oleh sebab itu, setiap kandungan yang dihasilkan dianggap sebagai peringatan bersama bukan kedudukan dirinya sebagai individu yang lebih baik daripada orang lain.

Katanya, golongan muda hari ini memerlukan lebih banyak kandungan yang membawa nilai positif kerana masyarakat semakin berdepan cabaran berkaitan kekosongan jiwa dan kehilangan tujuan hidup.

Perkara paling utama dalam menghasilkan kandungan khususnya berkaitan agama ialah sentiasa memeriksa hati dan niat. Baginya, keikhlasan, kesabaran, ihsan dan akhlak merupakan aspek yang perlu diberi perhatian.

“Dakwah dan sebarkan kebaikan bukan perjalanan yang mudah. Ia memerlukan ilmu, keikhlasan, kesabaran dan akhlak. Bukan sahaja ketika menyampaikan kepada orang lain tetapi juga ketika menerima teguran daripada orang lain,” katanya.

Oleh itu, seseorang perlu bersedia menerima pujian mahupun kritikan kerana kedua-duanya merupakan ujian kepada hati. Dalam usaha menyebarkan kebaikan, seseorang bukan sahaja perlu belajar menyampaikan tetapi juga belajar menerima peringatan.

Bagi Aisyah, dunia digital hanyalah medium, nilai sebenar terletak pada niat di sebalik penggunaannya. Selagi kandungan yang dihasilkan bertujuan memberi manfaat dan membawa kebaikan dia percaya usaha kecil itu tetap mempunyai makna.

Tidak kejar isu tular

Berbeza dengan sebahagian pencipta kandungan yang pantas mengulas setiap isu semasa demi meraih tontonan, Aisyah lebih berhati-hati dalam memilih perkara yang ingin disentuh.

Baginya, bukan semua isu perlu dijadikan kandungan semata-mata untuk mendapatkan perhatian. Oleh itu, setiap kali mahu menghasilkan kandungan, perkara pertama yang dinilai bukanlah potensi jumlah tontonan sebaliknya tujuan sebenar video itu dihasilkan.

“Kalau saya mahu mengejar setiap trend dan setiap isu, saya rasa itu hanya mengambil kesempatan terhadap sesuatu yang sedang hangat diperkatakan.

Sebaliknya, saya lebih suka bercakap tentang perkara yang lebih besar di sebalik sesuatu isu kerana itulah yang sebenarnya perlu difahami masyarakat,” ujarnya.

Dia merasakan ada ketikanya sesuatu isu hanyalah gambaran kepada masalah yang lebih besar. Justeru, dia memilih membincangkan akar permasalahan tersebut berbanding sekadar mengulas kontroversi yang sedang tular.

Bagi Aisyah, menghasilkan kandungan dakwah memerlukan hikmah, ihsan dan kebijaksanaan dalam menentukan perkara yang perlu disentuh atau diketepikan. Malah, tidak semua perkara memerlukan reaksi segera.

Hadapi kecaman

Aisyah juga tidak terlepas daripada berdepan kecaman di media sosial gara-gara dia memuat naik sebuah video berkaitan sebuah persatuan pelajar Malaysia di sebuah universiti di luar negara yang menganjurkan acara selepas parti di sebuah kelab malam.

Katanya, ada pihak yang bukan sahaja mengkritik kandungan yang dikongsikan malah turut menyentuh perkara peribadi melibatkan keluarga, rakan-rakan serta latar belakang pengajiannya.

Dia bersyukur kerana ketika berdepan situasi tersebut, sokongan daripada insan terdekat menjadi kekuatan untuknya terus tenang. Ibunya menjadi individu pertama yang dihubungi selepas mengetahui dia menjadi sasaran kecaman selain menerima sokongan daripada kenalan rapatnya.

“Bagi saya, pengalaman tersebut bukan alasan untuk berhenti berkongsi kandungan, sebaliknya menjadi ruang untuk saya memperbaiki cara penyampaian,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN