Ibu bapa jangan mudah ‘kalah’ dengan tangisan, rengekan anak

Ibu bapa jangan mudah ‘kalah’ dengan tangisan, rengekan anak

PENDEKATAN keibubapaan yang tidak konsisten antara faktor yang menyumbang tingkah laku manipulatif anak-anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tangisan, rengekan atau berpura-pura sakit untuk mengelakkan diri daripada ke sekolah sering dianggap sebagai kerenah biasa kanak-kanak.

Namun, jika tingkah laku itu berulang kali digunakan untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan, ibu bapa perlu memberi perhatian kerana ia mungkin petanda tingkah laku manipulatif.

Pakar psikologi klinikal kanak-kanak dan remaja serta pengasas CPC International, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, tingkah laku manipulatif berlaku apabila kanak-kanak menggunakan perlakuan tertentu bagi mempengaruhi emosi atau tindakan orang dewasa untuk memenuhi kehendak mereka.

“Contohnya, kanak-kanak menangis, berpura-pura sakit atau memberi alasan tertentu supaya ibu bapa memenuhi kehendak mereka.

“Kanak-kanak sebenarnya belum memahami konsep sebab dan akibat. Mereka belajar melalui pemerhatian. Apabila melihat sesuatu tingkah laku berjaya memberikan hasil yang diinginkan, mereka akan mengulanginya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, tingkah laku itu lazimnya mula muncul ketika kanak-kanak berusia sekitar tiga hingga lima tahun apabila mereka memasuki fasa perkembangan autonomi dan mula memahami tindakan mereka boleh mempengaruhi respons orang dewasa.

Katanya, pada peringkat itu tingkah laku tersebut masih dianggap sebahagian daripada proses perkembangan.

Namun, jika berterusan sehingga usia semakin meningkat, ia boleh menjadi satu corak tingkah laku yang tidak sihat kerana kanak-kanak semakin bijak mencipta alasan untuk mencapai kehendak mereka.

Manipulasi untuk raih simpati

Dr. Noor Aishah berkata, tingkah laku manipulatif bukan sekadar bertujuan mendapatkan sesuatu, malah ada kalanya digunakan untuk mempengaruhi emosi ibu bapa.

Sebagai contoh, kanak-kanak mungkin mengamuk kerana mahukan permainan dan akan berhenti sebaik sahaja kehendaknya dipenuhi.

Ada juga yang berkata “tidak sayang saya” apabila kehendak mereka tidak ditunaikan bagi menimbulkan rasa bersalah dalam diri ibu bapa.

“Kanak-kanak bukan berniat jahat atau sengaja menjadi nakal. Mereka hanya belajar bahawa cara tersebut berkesan untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.

“Jika ibu bapa sentiasa mengalah, mereka akan terus menggunakan pendekatan sama setiap kali berdepan situasi yang diingini,” jelasnya.

Corak keibubapaan

Antara faktor yang menyumbang kepada tingkah laku manipulatif ialah pendekatan keibubapaan yang tidak konsisten.

Situasi apabila ibu melarang sesuatu tetapi bapa pula membenarkannya menyebabkan kanak-kanak belajar memilih individu yang lebih mudah dipengaruhi.

Pada masa sama, kanak-kanak juga belum mempunyai kemahiran mengawal emosi dengan baik. Disebabkan itu, mereka menggunakan manipulasi sebagai jalan paling mudah untuk meluahkan kehendak atau mengelakkan sesuatu yang tidak disukai.

Selain corak didikan, konflik keluarga seperti perceraian juga boleh mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak.

Menurut beliau, dalam keadaan itu kanak-kanak mungkin menggunakan manipulasi untuk mendapatkan perhatian daripada kedua-dua ibu bapa, terutama apabila berasa sunyi, terpinggir atau perlu menyesuaikan diri dengan kehadiran pasangan baharu ibu atau bapa.

Bezakan manipulasi dengan keperluan emosi

Jika tingkah laku manipulatif tidak ditangani sejak awal, ia boleh menjejaskan perkembangan emosi kanak-kanak.

Mereka mungkin menjadi sukar mengawal emosi, mudah berasa cemas apabila kehendak tidak dipenuhi dan berisiko mengalami trauma sekiranya sering dimarahi atau diugut.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu membezakan sama ada tingkah laku anak berpunca daripada manipulasi atau benar-benar didorong oleh keperluan emosi.

Menurut Dr. Noor Aishah, kanak-kanak yang mengalami masalah emosi lazimnya menunjukkan kesedihan, ketakutan atau kebimbangan secara konsisten dalam pelbagai keadaan.

Sebaliknya, tingkah laku manipulatif biasanya hanya berlaku apabila mereka menginginkan sesuatu dan akan berhenti sebaik sahaja kehendak tersebut dipenuhi.

Fahami punca sebenar

Beliau berkata, apabila anak menangis atau mengamuk, ibu bapa tidak seharusnya terus mengikut kehendak mereka.

Sebaliknya, ibu bapa perlu menenangkan anak terlebih dahulu sebelum bertanya dengan baik tentang perkara yang sebenarnya berlaku.

Sebagai contoh, jika anak mendakwa sakit perut tetapi selepas itu kelihatan ceria, makan dan bermain seperti biasa, ibu bapa boleh berbincang untuk mengetahui punca sebenar.

“Mungkin anak sebenarnya tidak mahu ke sekolah kerana tidak menyukai sesuatu mata pelajaran atau berdepan masalah tertentu.

“Daripada situ, ibu bapa boleh membimbing anak menyelesaikan masalah dengan cara yang betul, bukannya membiarkan mereka terus menggunakan alasan yang tidak benar,” katanya.

Guru dan ibu bapa perlu bekerjasama

Katanya, guru turut memainkan peranan penting dalam mengenal pasti tingkah laku manipulatif di sekolah.

Guru disaran merekodkan pemerhatian terhadap tingkah laku murid, menetapkan peraturan kelas yang konsisten serta bekerjasama dengan kaunselor dan ibu bapa bagi memantau perkembangan anak.

Sekiranya tingkah laku manipulatif berlaku hampir setiap hari sehingga menjejaskan prestasi akademik, hubungan kekeluargaan atau disertai perubahan tingkah laku seperti kerap berbohong dan cepat marah, ibu bapa perlu mendapatkan bantuan pakar psikologi kanak-kanak.

Pelbagai pendekatan seperti terapi bermain, Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT), latihan keibubapaan, latihan regulasi emosi dan kemahiran sosial boleh membantu mengubah tingkah laku tersebut.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak terburu-buru melabel anak sebagai “manipulatif”, sebaliknya memahami punca di sebalik tingkah laku itu.

“Kanak-kanak belajar melalui apa yang mereka lihat. Sebab itu ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik dalam mengurus emosi, bercakap benar dan menyelesaikan masalah dengan cara yang positif,” katanya.

Campur tangan awal dan didikan yang konsisten mampu membantu kanak-kanak membina kemahiran mengurus emosi dengan lebih baik sekaligus mengurangkan kecenderungan mereka menggunakan tingkah laku manipulatif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN