Dalam dunia kejuruteraan yang sering didominasi lelaki, Prof. Madya Ir. Dr. Asnida Abdul Wahab membuktikan wanita juga mampu cemerlang dan memberi impak besar dalam industri ini.
Kini, dia menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Perjalanan Menjadi Pakar Kejuruteraan Bioperubatan
Dilahirkan pada 29 Januari 1984 di Pulau Pinang, Dr. Asnida merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik.
Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong sebelum meneruskan pengajian menengah di SMKA (P) Al-Mashoor dan MRSM Bitara Langkawi.
Membesar dalam keluarga sederhana dan mula bekerja seawal usia sembilan tahun untuk membantu perniagaan kecil keluarganya.
Kecemerlangan akademiknya membolehkan dia mendapat tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melanjutkan pelajaran di University of Bristol, United Kingdom, dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik.
Sepanjang pengajian, dia bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam kegiatan sukarelawan sehingga menerima Queen Golden Jubilee Voluntary Award (UK, 2007) atas sumbangannya dalam kerja-kerja kebajikan di Bristol.
Dia yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik ini menempa kejayaan hasil kerja keras dan kesungguhan sejak kecil.

Pengalaman di luar negara membuka ruang buatnya bukan sahaja sebagai pelajar tetapi juga seorang sukarelawan yang menerima Queen Golden Jubilee Voluntary Award (UK, 2007).
Namun, perjalanannya tidak mudah. Pemergian ayahnya semasa tahun pertama di UK menjadi satu tamparan hebat, tetapi juga pemangkin untuk terus maju demi keluarga.
Selepas tamat pengajian, Dr, Asnida memulakan kerjaya di sektor korporat bersama Maxis Communication Berhad, sebelum meneruskan pengajian ke peringkat PhD di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan.
Mengimbangi Kerjaya dan Keluarga
Sebagai isteri kepada seorang jurutera kanan dan ibu kepada empat cahaya mata, Dr. Asnida berdepan cabaran mengimbangi kerjaya dan keluarga.
Pada tahun 2022, ketika dilantik sebagai Pengarah Jabatan, dia juga baru sahaja melahirkan anak keempat dan perlu berulang-alik dari Johor ke Pulau Pinang bagi menjaga ibunya yang menghidap kanser sehingga pemergiannya pada tahun 2023.
“Cabaran ini bukan halangan, tetapi peluang untuk menjadi lebih kuat dan lebih baik.

“Saya percaya, wanita mampu mencapai kejayaan jika kita bijak mengatur keutamaan dan mendapat sokongan dari keluarga serta majikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Inovasi untuk Masyarakat
Sebagai penyelidik, Dr. Asnida aktif dalam projek pemprosesan imejan perubatan, peranti bantuan, dan kecerdasan buatan dalam bioperubatan.
Projek inovatifnya, TeddyTherapy, yang membantu kanak-kanak autisme meraih pingat emas di INATEX 2024.
Dia juga sering dijemput sebagai Subject Matter Expert (SME) JPP-NIH Kementerian Kesihatan Malaysia dan menjadi Profesor Pelawat di Universitas Andalas, Indonesia.
Selain kecemerlangan dalam penyelidikan dan akademik, Dr. Asnida turut turun padang dalam program komuniti, termasuk promosi STEM kepada pelajar sekolah, program kesedaran kesihatan, serta inisiatif bersama kanak-kanak autisme.
Wanita dalam Kejuruteraan
Sebagai seorang jurutera wanita dalam bidang yang didominasi lelaki, Dr. Asnida menekankan kemahiran, kesungguhan dan komitmen adalah kunci utama untuk berjaya.
“Jangan takut untuk ke hadapan. Bidang kejuruteraan bukan hanya untuk lelaki. Wanita juga boleh memberi impak besar dengan kepakaran dan perspektif unik mereka. Kita harus berani, berdikari,” tegasnya.
Tiada Alasan untuk Tidak Berjaya
Dr. Asnida menegaskan, wanita tidak seharusnya merasa rendah diri dalam bidang yang didominasi lelaki, sebaliknya harus berani menyahut cabaran.
“Saya sering menjadi satu-satunya wanita yang turun ke tapak projek bersama jurutera lelaki.

“Tetapi selagi kita berilmu, berkemahiran, dan komited, kita mampu memberi sumbangan yang besar dalam bidang ini,” katanya.
Dia juga berpesan kepada wanita agar tidak takut untuk bermimpi besar.
“Kejayaan dalam kerjaya tidak bermakna perlu mengorbankan keluarga. Dengan pengurusan masa yang baik dan sokongan yang kukuh, wanita mampu mengimbangi kedua-duanya dengan cemerlang,” katanya.
Sepanjang kerjayanya, Dr. Asnida menerima pelbagai lantikan peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Subject Matter Expert (SME) JPP-NIH Kementerian Kesihatan Malaysia, Ahli
Jawatankuasa Teknikal Halal (Jabatan Standard Malaysia), serta dilantik sebagai Profesor Pelawat di Universitas Andalas, Indonesia.
Aspirasi Masa Depan
Bagi Dr. Asnida, kejayaan bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi bagaimana seseorang itu memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya percaya dalam hidup ini, ilmu bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi bagaimana kita dapat menggunakannya untuk membantu masyarakat,” katanya.
Dengan semangat juang yang kukuh, Dr. Asnida membuktikan wanita mampu memberi sumbangan besar dalam bidang kejuruteraan.










