CFWM 2026 jadikan Malaysia hub fesyen mewah

CFWM 2026 jadikan Malaysia hab fesyen mewah

Couture Fashion Week Malaysia 2026 melancarkan Edisi Keempat Couture Fashion Week Malaysia & International Gala dalam sidang media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Couture Fashion Week Malaysia (CFWM) secara rasmi melancarkan Edisi Keempat Couture Fashion Week Malaysia & International Gala menerusi sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara pengisian utama sidang media tersebut ialah majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara CFWM dan rakan-rakan strategiknya sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama dalam industri fesyen serta sektor berkaitan.

Menurut Pengarah Eksekutif CFWM, Ziin Britshi, kejayaan penganjuran acara berkenaan tidak akan tercapai tanpa sokongan berterusan daripada penaja, rakan strategik serta komuniti fesyen tempatan.

Dia turut menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang terlibat dalam menjayakan edisi kali ini selain menyambut kehadiran rakan antarabangsa yang akan turut menyertai acara tersebut.

“Kami amat menghargai segala usaha daripada komuniti fesyen, masyarakat Malaysia dan para pemimpin industri fesyen tempatan yang bersama-sama menjayakan acara ini,” katanya ketika berucap dalam Sidang Media dan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik CFWM.

Tahun ini, CFWM 2026 menyasarkan kehadiran lebih 500 tetamu eksklusif termasuk kenamaan, pemimpin perniagaan, duta dan diplomat, selebriti, personaliti terkenal, supermodel serta pencinta fesyen haute couture.

Di bawah naungan Tengku Laksamana Selangor, Putera Sulaiman Shah Alhaj ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, CFWM 2026 akan berlangsung pada 29 Ogos 2026 di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur.

Antara negara yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan ialah Australia, Russia, Perancis, Malaysia, Maghribi, Filipina, Belanda, Zimbabwe, Indonesia, Jepun dan India.

CFWM 2026 dijangka menghimpunkan pereka fesyen tempatan dan antarabangsa, model, tetamu kehormat, peneraju industri, tokoh korporat, pemain industri pelancongan, penaja, rakan strategik, wakil diplomatik serta pengamal media tempatan dan antarabangsa.

Gabung Fesyen, Pelancongan dan Kesejahteraan Mewah

Sidang media tersebut turut menyaksikan pelancaran rasmi Inisiatif Pelancongan Kesejahteraan Mewah (Luxury Wellness Tourism Initiative), sebuah program strategik yang bertujuan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab serantau pengalaman kesejahteraan mewah.

Inisiatif berkenaan turut membuka lebih banyak peluang kerjasama antara industri fesyen, pelancongan, hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan.

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Chan Hon Mun berkata, penganjuran CFWM mampu memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama acara fesyen antarabangsa.

Katanya, fesyen merupakan antara medium yang mampu menonjolkan identiti dan warisan sesebuah negara serta boleh menarik perhatian antarabangsa dalam merangsang pertumbuhan sektor pelancongan.

“Acara ini bukan sahaja meningkatkan profil Kuala Lumpur sebagai destinasi acara bertaraf dunia malah memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem pelancongan termasuk hotel, restoran, syarikat penerbangan dan perniagaan tempatan,” katanya.

Penganjuran CFWM 2026 sekali gus mencerminkan komitmen dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi antarabangsa bagi fesyen couture, gaya hidup mewah serta pelancongan kesejahteraan.

Ho Mun berkata, dia percaya kerjasama yang lebih kukuh antara industri pelancongan dan kreatif akan terus membuka lebih banyak peluang serta menjadikan Malaysia pilihan utama pelancong dunia.

Platform Perkasa Usahawan Wanita Fesyen

Presiden Pertubuhan Usahawan Wanita Antarabangsa Malaysia yang mewakili Putera Tengku Sulaiman, Datin Norazizah Borhan berkata, platform seperti CFWM memainkan peranan penting dalam memperkasakan usahawan wanita khususnya dalam industri fesyen dengan menyediakan ruang untuk mereka diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Ujarnya, ramai pereka dan usahawan wanita tempatan mempunyai bakat serta potensi besar namun memerlukan sokongan, jaringan strategik dan platform yang sesuai bagi membantu mereka menembusi pasaran global.

“Saya mahu melihat lebih ramai wanita dalam bidang fesyen diketengahkan kerana mereka bukan sahaja mampu membina kejayaan sendiri malah boleh membawa nama Malaysia ke persada dunia melalui kreativiti, seni dan warisan tempatan seperti batik, mengkuang serta elemen budaya lain,” ujarnya.

Pereka fesyen terkemuka, Yani Bakhtiar berkata, pengalaman membawa karya fesyen ke peringkat antarabangsa membuktikan elemen warisan Malaysia seperti batik mampu menjadi identiti unik yang menarik perhatian dunia.

Katanya, penggunaan elemen tradisional dalam rekaan moden bukan sahaja memperkenalkan kreativiti pereka tempatan malah menjadi medium untuk memperkenalkan budaya dan identiti Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

“Gabungan antara fesyen dan elemen tradisional seperti batik, kebaya, kraftangan serta aksesori menjadikan rekaan kita lebih unik dan mudah dikenali. Tanggungjawab saya sebagai pereka adalah membawa nama Malaysia melalui setiap karya yang dihasilkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN