Risiko parut, elak buang biji kolestrol sendiri

Risiko parut, elak buang milia sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masih ramai menganggap milia merupakan kolesterol yang timbul pada kulit, sedangkan keadaan itu sebenarnya berpunca daripada pengumpulan protein keratin yang terperangkap di bawah permukaan kulit.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, milia ialah sejenis sista kecil yang terbentuk apabila sel kulit mati gagal mengelupas secara semula jadi lalu termendap di bawah kulit.

“Milia bukan jerawat dan bukan juga jangkitan. Ia terjadi apabila sel kulit mati yang mengandungi keratin terperangkap di bawah kulit dan membentuk benjolan kecil yang keras,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Milia lazimnya muncul di kawasan sekitar mata kerana kulit pada bahagian tersebut lebih nipis dan proses pengelupasan kulit berlaku dengan lebih perlahan.

Ramai juga yang keliru antara milia dan bintik putih kerana kedua-duanya kelihatan hampir sama pada pandangan kasar.

Jelasnya, bintik putih berlaku apabila liang atau kelenjar minyak tersumbat dalam keadaan masih tertutup, manakala milia terbentuk akibat pengumpulan keratin dan bukannya minyak.

“Bintik putih biasanya berlaku pada individu kulit berminyak dan boleh menyebabkan jerawat. Milia pula tidak menyebabkan jerawat serta lebih keras kerana ia tidak mempunyai bukaan atau ‘mata’ seperti whitehead,” jelasnya.

Semua golongan berisiko

Mengulas mengenai golongan yang berisiko, Dr. Hamidah berkata, milia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk bayi yang baru dilahirkan.

Menurutnya, keadaan yang dikenali sebagai milia neonatal lazimnya muncul sebagai bintik-bintik kecil pada bahagian hidung bayi dan kebiasaannya akan hilang dengan sendirinya tanpa memerlukan sebarang rawatan.

Selain itu, individu yang mempunyai kulit kering juga lebih mudah mengalami milia kerana proses pengelupasan kulit menjadi kurang berkesan.

“Orang yang mempunyai ekzema juga berisiko kerana masalah kulit kering yang kronik. Penggunaan krim steroid dalam tempoh yang lama turut boleh menyumbang kepada pembentukan milia,” katanya.

Selain faktor kulit, prosedur estetik yang terlalu agresif seperti laser atau chemical peel yang tidak sesuai dengan keadaan kulit boleh menyebabkan milia terbentuk.

Pada masa yang sama, penggunaan produk penjagaan kulit yang terlalu berat atau berminyak juga boleh meningkatkan risiko masalah tersebut.

Antara bahan yang perlu diberi perhatian ialah petroleum jelly, lanolin, mineral oil serta krim yang terlalu pekat untuk jenis kulit tertentu.

“Ia bukan bermaksud produk itu tidak bagus, tetapi ia mungkin tidak sesuai dengan keadaan kulit seseorang dan boleh menyebabkan pembentukan milia,” jelasnya.

Jangan buang sendiri

Menurut Dr. Hamidah, milia pada orang dewasa jarang hilang dengan sendirinya dan kebiasaannya akan menjadi semakin ketara dari semasa ke semasa.

Orang ramai perlu mendapatkan nasihat pakar sekiranya milia semakin banyak, merebak atau tidak menunjukkan tanda-tanda untuk hilang.

Menurutnya, antara kesilapan yang sering dilakukan ialah cuba memicit atau membuang milia sendiri di rumah, sedangkan tindakan tersebut boleh menyebabkan kecederaan pada kulit.

Dari segi rawatan, rawatan laser menjadi pilihan kerana lebih cepat, kurang risiko parut dan memberikan hasil yang lebih baik berbanding kaedah lain.

Cegah dengan penjagaan kulit yang betul

Tambahnya, langkah pencegahan milia boleh dilakukan melalui rutin penjagaan kulit yang konsisten dan bersesuaian dengan jenis kulit individu.

Penggunaan bahan eksfoliasi seperti AHA dan BHA membantu proses pengelupasan kulit dengan baik.

Selain itu, penggunaan retinol juga boleh membantu mempercepatkan pembaharuan sel kulit. Ia sekaligus mengurangkan risiko pembentukan milia.

Beliau turut menggalakkan pengguna memilih produk yang mempunyai label non-comedogenic atau ophthalmology tested bagi mengurangkan risiko liang tersumbat.

Ujarnya, rawatan estetik seperti chemical peel yang bersesuaian dan laser rejuvenation juga boleh membantu mempercepatkan proses pembaharuan kulit serta mengurangkan risiko milia berulang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN