“Usia umat Nabi Muhammad SAW pendek dalam lingkungan 60 sehingga 70 tahun sahaja. Namun, ada manusia istimewa dalam umat baginda yang mampu kekal hidup selama ratusan tahun selepas mereka meninggal dunia kerana keajaiban buku dan pena.”
Benar! Usia kita tidak panjang. Ia dijelaskan baginda Rasulullah.
“Kadar usia umatku ialah antara 60 sehingga 70 tahun. Sedikit sahaja yang melebihi tempoh itu,” – (Sunan al-Tirmidhi, 3550).
Walaupun usia umat akhir zaman ini tidak sepanjang umat terdahulu, kita masih mampu ‘memanjangkan’ hayat melalui legasi ilmu yang ditinggalkan. Lihat sahaja para imam empat mazhab dan ramai lagi tokoh ilmuwan Islam; jasad mereka sudah lama kembali ke rahmatullah, namun ilmu yang diwariskan terus hidup dan memberi manfaat.
Hasil penulisan, pemikiran serta karya mereka yang terakam dalam lembaran kitab dan buku masih menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia hingga ke hari ini. Inilah bukti bahawa ilmu yang bermanfaat mampu menjadikan seseorang terus ‘hidup’ dalam ingatan dan manfaat yang dinikmati generasi demi generasi.
Bukti bagaimana ilmuwan atau penulis mampu menasihati umat sepanjang masa dapat kita lihat melalui Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, sebuah acara tahunan anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Jumlah besar pengunjung ke PBAKL 2026 jelas menunjukkan buku dan pena belum mati walaupun kebanjiran bahan digital seakan mendominasi dunia moden. Bau kertas dari buku tetap menimbulkan ketagih ilmu yang tak mampu diganti dengan paparan skrin digital telefon pintar. Hal ini kerana buku dan pena sudah diwarta secara fitrah oleh Allah menjadi penghubung ilmu pengetahuan.
Semua maklum, ayat pertama diturunkan Allah menyuruh Rasulullah membaca (al-‘Alaq 96:1-5). Ia jelas menunjukkan Islam ialah agama ilmu. Akan tetapi, mana mungkin kita membaca tanpa adanya bahan bacaan. Lantaran itu, Allah mengangkat pula pena dan buku yang menjadi sebab perkembangan ilmu dan tamadun manusia.
Apa gunanya ada periuk, dapur, lauk pauk serta bahan mentah jika tiada pula si tukang masak yang menghasilkan makanan sedap lagi berkhasiat? Inilah analogi seorang penulis atau ilmuwan. Dia bertanggungjawab menghasilkan buku yang berkualiti dan berguna untuk memandaikan umat.
Berbalik kepada usaha menasihati umat walaupun selepas kematian, Allah menampilkan contoh istimewa dalam Surah Yasin (ayat 20-27). Ketika kaumnya menentang dakwah tiga utusan Allah, seorang lelaki tampil menyeru mereka agar beriman dan menerima kebenaran (ayat 20-25). Namun, selepas mengisytiharkan keimanannya, beliau dibunuh. Menariknya, kisahnya tidak terhenti di situ kerana Allah meneruskan penceritaannya selepas syahid, ketika berada di alam barzakh.
(Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Dia berkata; “ALANGKAH BAIKNYA KALAU KAUMKU MENGETAHUI – “Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku daripada orang yang dimuliakan” (Yasin 36:26-27).
Ketika mengulas ayat ini, pakar tafsir al-Quran dalam kalangan sahabat Nabi, Abdullah ibn ‘Abbas RA mengatakan “BELIAU TETAP MENASIHATI KAUMNYA SEMASA HIDUP DAN SELEPAS MATI.” (Tafsir Ibn Kathir).
Antara perkara yang sangat didambakan manusia ialah nama baik yang kekal semasa hidup dan selepas mati. Ini antara kelebihan Nabi Ibrahim AS. Baginda disayangi semua orang terutama sekali golongan Yahudi, Nasrani dan para penyembah berhala di Mekah dahulu (Ali ‘Imran 3:65-68).
Selain jasa besar baginda membina Kaabah serta menegakkan agama Tauhid, rahsia nama baiknya turut berpunca dari doa baginda yang direkodkan al-Quran:
“Dan jadikan bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian” (al-Syu’ara’ 26:84).
Bagi konteks manusia biasa seperti kita, melakar nama baik semasa hidup dan selepas mati boleh diraih dengan berbagai cara. Antara yang paling mudah dan berkesan ialah dengan menulis buku yang berkualiti menumpahkan rahmat ilmu pengetahuan yang bermanafaat kepada seluruh manusia semasa hidup dan selepas mati.
Perkara ini disinggung Rasulullah dalam sebuah hadis yang selalu kita dengar:
“Apabila manusia mati, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah (yang berterusan pahalanya), ilmu yang diambil manafaat (oleh orang lain) dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya” (Sahih Muslim, 3084).
Usah merantau jauh ke Tanah Arab atau Asia Barat menyelongkar khazanah ilmu Islam para ilmuwan hebat seperti Imam al-Syafie atau Imam al-Bukhari. Di Nusantara sendiri kita tidak kekurangan tokoh yang kekal menasihati umat Islam walaupun selepas mereka mati. Lihat dua ilmuwan Islam Nusantara ini; al-Marhum Syeikh Abdullah Basmeih (meninggal dunia 1996) penulis Tafsir
Pimpinan al-Rahman dan al-Marhum Prof Dr HAMKA (meninggal dunia 1981) yang terkenal dengan karya Tafsir al-Azhar.
Lazimnya, orang Melayu Malaysia yang mahu memahami isi kandungan al-Quran secara ringkas dan terperinci akan merujuk kedua tafsir mereka. Walaupun surat mati mereka berdua sudah berusia hampir 30-45 tahun, karya mereka berdua masih rancak diulang cetak dan digunapakai secara meluas di Malaysia sehingga hari ini.
Seolah-olah hidup mereka disambung Allah untuk kita semua mengambil manfaat.
Bayangkan limpahan pahala yang berterusan mengalir masuk ke dalam akaun peribadi mereka di alam barzakh selagi karya mereka diambil manfaat oleh seluruh umat Islam Nusantara. Ini yang sepatutnya kita semua cemburui.
Bagaimana? Ikutilah jejak langkah mereka dengan penghasilan buku berkualiti dan penuh manafaat.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar Libat Urus Masyarakat Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










