Ujian berat Imam al-Bukhari di Naisabur

Ujian berat Imam al-Bukhari di Naisabur

BANDAR Naisabur atau Nishapur di Iran. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila Imam al-Bukhari mencapai kemasyhuran yang tinggi dari sudut keilmuan khususnya di dalam bidang ilmu hadis, maka timbullah kedengkian para penghasad saat itu sehingga mereka mula mencari sebarang kenyataan beliau yang boleh dijadikan sebagai alasan untuk menjatuhkan kemuliaannya.

Menurut Fadhilat al-Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya‘qubiyy dalam karya beliau, al-Madkhal Ila Sohih al-Bukhoriyy, antara isu yang menjadi perbahasan hangat dalam kalangan pemerintah dan ulama pada ketika itu ialah persoalan sama ada al-Quran itu makhluk ataupun bukan.

Ulama Ahlus Sunnah menjelaskan kepada masyarakat al-Quran merupakan wahyu Allah dan sifat kalam bagi-Nya. Oleh itu, segala sifat Allah bukanlah makhluk atau ciptaanNya, bahkan Allah SWT berserta seluruh sifatNya bersifat qadim, iaitu wujud sejak azali tanpa permulaan bagi zat dan sifatNya.

Walaupun ramai ulama yang diseksa oleh pemerintah kerana tegas berpegang dengan pandangan ini, akhirnya pandangan Ahlus Sunnah ini telah menjadi anutan masyarakat walaupun para pemerintah sebelumnya terkesan dengan pandangan Muktazilah yang menyatakan al-Quran adalah makhluk.

Setelah pandangan Ahlus Sunnah yang menyatakan firman Allah bukanlah makhluk telah memenangi hati masyarakat ketika itu, timbul pula satu isu di kalangan Ahlus Sunnah iaitu adalah apabila seseorang membaca al-Quran, adakah lafaz al-Quran yang disebut oleh lidahnya itu makhluk atau bukan? Ketika ini golongan Ahlus Sunnah sendiri telah mempunyai dua pendirian dalam menanggapi persoalan ini iaitu:

• Golongan Pertama: Mereka berpendapat bacaan al-Quran yang dituturkan oleh lidah manusia adalah makhluk kerana perbuatan manusia seluruhnya adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah. Maka golongan ini membezakan antara wahyu dengan lafaz manusia saat membaca wahyu.

• Golongan Kedua: Mereka berpendapat tidak usahlah kita membahaskan adakah bacaan al-Quran yang dituturkan oleh lidah merupakan makhluk ciptaan Allah ataupun tidak. Bagi golongan kedua ini; sesiapa yang menyatakan secara jelas bahawa bacaan al-Quran adalah makhluk, mereka adalah pelaku bidaah.

Pandangan yang benar sebenarnya adalah pandangan yang pertama yang membezakan antara al-Quran dengan maksud wahyu daripada Allah dengan al-Quran yang bermaksud pula pertuturan kita terhadap lafaz-lafaz al-Quran.

Imam al-Bukhari turut berpandangan seperti golongan yang pertama. Namun beliau sendiri mengelak daripada menyatakan secara terang-terangan mengenai lafaz al-Quran yang dituturkan oleh lidah sebenarnya adalah makhluk ciptaan Allah SWT.
Ini berbeza pula dengan pendirian guru beliau yang bernama Muhammad bin Yahya al-Dzuhliyy yang bersama dengan golongan yang kedua. Beliau adalah ulama utama bidang hadis di Khurasan dan orang yang paling mahir sekali terhadap hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Zuhriyy.

Apabila Imam al-Bukhari tiba di Naisabur, ramai penduduk kota itu yang hadir mendengar pengajian beliau. Kedatangan beliau disambut hangat oleh penduduk bahkan Imam Muhammad bin Yahya al-Dzuhliyy sendiri menggalakkan para muridnya untuk hadir ke majlis ilmu Imam al-Bukhari.

Beliau telah berkata kepada para muridnya: “Kalian pergilah bertemu lelaki yang soleh ini dan dengarlah daripadanya (akan hadis Rasulullah SAW).

Walau bagaimanapun suasana ini berubah apabila seorang lelaki yang hadir di dalam majlis Imam al-Bukhari bertanya kepada beliau pada hari yang ketiga beliau mengajar di Naisabur: “Wahai Abu Abdillah (gelaran al-Imam al-Bukhari). Apakah pandanganmu terhadap lafaz [ketika membaca] al-Quran. Adakah ia makhluk atau bukan makhluk”?

Pada asalnya Imam al-Bukhari tidak mahu menjawab. Namun setelah tiga kali penanya ini mengulang soalannya, maka beliau pun berkata: “Al-Quran adalah kalam Allah bukan makhluk. Perbuatan-perbuatan para hamba pula adalah makhluk. Adapun menguji [seseorang], ia adalah bidaah”.

Menurut riwayat yang lain, Imam al-Bukhari telah menjawab: “Perbuatan-perbuatan kita adalah makhluk [yang diciptakan oleh Allah]. Lafaz-lafaz [yang keluar dari mulut] kita adalah daripada perbuatan-perbuatan kita”.

Apabila jawapan tersebut keluar daripada mulut Imam al-Bukhari, sebahagian hadirin mula menyangka beliau mengatakan, “Lafazku terhadap al-Quran adalah makhluk”, sedangkan ungkapan dengan lafaz sedemikian tidak pernah disebut sama sekali oleh beliau.

Ucapan: “Lafazku terhadap al-Quran adalah makhluk” pernah ditentang sebelum ini oleh al-Imam Ahmad kerana ucapan ini boleh difahami al-Quran yang merupakan wahyu daripada Allah adalah makhluk.

Lalu tersebarlah kepada masyarakat Naisabur kononnya Imam al-Bukhari telah berkata: “Lafazku terhadap al-Quran adalah makhluk” sehingga al-Imam Muhammad bin Yahya al-Dzuhliyy marah besar sehingga beliau telah menyebut: “Al-Quran adalah kalam Allah bukannya makhluk.

Sesiapa yang menyangka: Lafazku terhadap al-Quran adalah makhluk, maka dia adalah seorang pelaku bidaah. Dia tidak boleh hadir di dalam majlis kami. Kami tidak akan berbicara selepas ini dengan sesiapa sahaja yang pergi ke Muhammad bin Ismail”.
Beliau juga telah berkata: “Orang Bukhara ini telah menzahirkan ucapan [golongan] al-Lafziyyah (golongan yang mengatakan al-Quran adalah makhluk). Al-Lafziyyah bagiku adalah lebih jahat daripada al-Jahmiyyah”.

Beliau juga telah berkata: “Sesiapa yang pergi ke Muhammad bin Ismail, maka kalian semua curigalah terhadapnya kerana tidak akan hadir sesiapapun ke majlisnya kecuali orang yang sama dengan mazhabnya”.

Ucapan-ucapan tegas yang lahir akibat salah faham terhadap maksud sebenar Imam al-Bukhari itu menyebabkan hampir semua yang pernah menghadiri majlis ilmunya mula menjauhkan diri, sehingga hanya dua orang murid Muhammad bin Yahya al-Dzuhliyy yang terus setia menghadiri majlis beliau, iaitu Imam Muslim bin al-Hajjaj dan Abu al-Fadhl Ahmad bin Salamah al-Naisaburiyy.

Keadaan ini menimbulkan kemarahan besar dalam diri Muhammad bin Yahya al-Dzuhliyy sehingga beliau bertindak menghalau Imam Muslim bin al-Hajjaj keluar daripada majlis ilmunya. Lalu, Imam Muslim bangun dan meninggalkan majlis tersebut di hadapan khalayak yang hadir pada ketika itu.

Pernah seorang ulama yang bernama Abu ‘Amr: Ahmad bin Nasr al-Khaffaf bertanya kepada Imam al-Bukhari adakah benar beliau mengeluarkan kenyataan: “Lafazku terhadap al-Quran adalah makhluk”.

Lalu Imam al-Bukhari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Amr, ingatlah baik-baik apa yang aku sampaikan kepadamu ini. Sesiapa sahaja daripada penduduk Naisabur, Qumis, Rayy, Hamadzan, Hulwan, Baghdad, Kufah, Basrah, Mekah dan Madinah yang mendakwa aku pernah berkata: ‘Lafazku terhadap al-Quran adalah makhluk’, maka dia benar-benar seorang pendusta. Sesungguhnya aku tidak pernah mengucapkannya. Apa yang aku sebut hanyalah: ‘Segala perbuatan hamba adalah makhluk.’”

Ucapan ini menunjukkan ketegasan Imam al-Bukhari dalam menolak tuduhan yang disandarkan kepadanya serta menjelaskan pendirian sebenar beliau dalam isu tersebut.

Apabila penduduk Naisabur terus memandang serong kepada Imam al-Bukhari sedangkan beliau sudah berulang kali menafikan ucapan tersebut, akhirnya beliau mengambil keputusan meninggalkan kota Naisabur.

Ahmad bin Salamah al-Naisaburiyy meriwayatkan ketika Imam al-Bukhari meninggalkan kota Naisabur, tidak ada seorang pun yang mengiringi pemergian beliau selain dirinya sendiri. Beliau menggambarkan detik itu amat menyedihkan.

(bersambung)

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN