Hubungan diplomatik antara Australia dan Malaysia terus diperkukuhkan menerusi usaha memperkasa persefahaman antara agama, selain mengetengahkan identiti moden masyarakat pelbagai budaya melalui penglibatan keagamaan yang lebih erat dengan Malaysia.
Komitmen itu diteruskan apabila model seni bina Masjid Bandaraya Adelaide dilancarkan di Muzium Kesenian Islam Malaysia sebagai simbol persahabatan dan keterbukaan masyarakat pelbagai budaya.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke berkata, Australia mahu mempamerkan kepelbagaian masyarakat termasuk komuniti islam yang telah lama wujud dan menetap di negara itu.

Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila model Masjid Bandaraya Adelaide dipamerkan di Muzium Kesenian Islam Malaysia kerana ia bukan sahaja menjadi simbol hubungan erat antara kedua-dua negara, malah memperlihatkan sejarah serta warisan signifikan komuniti Muslim di Australia.
“Banyak perkara yang boleh dipelajari di antara Australia dan Malaysia antaranya dari aspek penerimaan dan kepelbagaian budaya serantau.
“Jika Malaysia menunjukkan bagaimana masyarakat majoriti Muslim hidup dalam kepelbagaian kaum dan agama, Australia pula memperlihatkan bagaimana komuniti Muslim sebagai minoriti mampu berkembang dalam masyarakat bukan Islam,” katanya dalam sidang media majlis pelancaran model berkenaan di Muzium Kesenian Islam Malaysia baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, kehadiran Presiden Majlis Imam Kebangsaan Australia, Shadi Alsuleiman juga adalah sebahagian daripada usaha untuk melontarkan pandangan mengenai kehidupan dalam masyarakat pelbagai budaya dan agama.
Acara ini menjadi simbol bagaimana seni, sejarah dan budaya mampu menyatukan masyarakat merentasi sempadan negara.
Jejak Komuniti Muslim Awal Australia
Diasaskan pada 1888 oleh pengembala unta Afghanistan, Masjid Bandaraya Adelaide menjadi bukti sejarah Islam Australia dan tempat ibadah Muslim tertua yang masih wujud di negara itu.
Malah, golongan itu memainkan peranan penting membuka laluan di kawasan pedalaman Australia selain menjadi antara komuniti Muslim terawal yang membina asas perkembangan islam di negara tersebut.
Terletak di tengah Bandaraya Adelaide, masjid ini dikenali menerusi empat menara yang ikonik serta telah menjadi pusat ibadat serta tempat penyatuan masyarakat muslim daripada pelbagai latar budaya dan bangsa lebih seabad yang lalu.
Masjid ini juga turut disenaraikan dalam Warisan Selatan Australia pada tahun 1980. Sehingga ke hari ini masjid ini kekal aktif menjadi pusat komuniti serta menjadi simbol keharmonian agama, kepelbagaian budaya dan semangat keterbukaan masyarakat Australia.
Model Masjid Bandaraya Adelaide tersebut dihasilkan sendiri oleh pereka Malaysia Technibuilt berdasarkan tinjauan terperinci di Adelaide dan akan menjadi koleksi tetap di muzium tersebut.
“Model yang dihasilkan oleh pereka dari Malaysia akan menjadi sebahagian daripada koleksi muzium sebagai simbol persahabatan antara Malaysia dan Australia,”katanya.
Kukuh harmoni melalui syarahan
Komuniti Muslim Australia terus memberi sumbangan besar dalam pelbagai sektor termasuk politik, pendidikan dan ekonomi sekaligus mengeratkan hubungan antara Australia dan dunia islam.
Menerusi dialog syarahan yang disampaikan oleh Shadi Alsuleiman, beliau menyatakan Masjid Bandaraya Adelaide bukan sekadar sebagai tempat ibadah tetapi juga sebagai pusat pembinaan komuniti yang inklusif, harmoni dan saling menghormati.

“Kehadiran komuniti Muslim yang semakin berkembang di Australia membuktikan kepelbagaian boleh menjadi asas kekuatan bukannya punca perpecahan,” katanya.
Katanya, konflik tersebut tidak sewajarnya berlaku berikutan ia dilihat sebagai satu konflik antara Islam dan Yahudi serta telah menimbulkan ketegangan antara dua belah pihak.
Beliau turut menekankan dialog terbuka dan pertemuan antara komuniti adalah langkah penting untuk menghapuskan stereotaip serta salah faham yang sering menjadi punca konflik.
Ujarnya, pendekatan antara agama menjadi kunci penting dalam menangani salah faham dan ketegangan yang sering timbul akibat konflik global yang turut memberi kesan kepada komuniti tempatan.
Beliau turut mengingatkan perbezaan agama, budaya dan pandangan bukan alasan untuk berpecah sebaliknya menjadi asas untuk memperkukuh hubungan.
Menelusuri Warisan Islam Australia
Komitmen kerjasama ini turut diperkukuhkan dengan menampilkan pelbagai pameran berkaitan warisan Islam di Australia termasuk dua pameran khas daripada muzium di Australia Selatan dan muzium Islam Australia.
Pameran tersebut akan mengetengahkan kisah kedatangan awal Islam ke Australia serta perkembangan komuniti Islam yang menjadi sebahagian penting dalam kehidupan masyarakat pelbagai budaya di negara tersebut.










