Dr. Velerie bawa suara murid istimewa ke pentas dunia

Dr. Velerie bawa suara murid istimewa ke pentas dunia

dr. Velerie menyatakan peranan guru hari ini jauh lebih luas berbanding dahulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari Guru yang disambut setiap tahun menjadi simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga pendidik dalam membentuk generasi masa depan negara malah sambutannya bukan sekadar acara formal tetapi satu pengiktirafan terhadap peranan guru sebagai tunjang sistem pendidikan.

Ia juga turut menjadi ruang refleksi terhadap sumbangan guru yang bukan sahaja mengajar ilmu malah guru juga turut membentuk sahsiah, emosi dan nilai kemanusiaan dalam diri pelajar sejak di bangku sekolah lagi.

Keadaan ini menuntut guru untuk lebih kreatif dalam menyampaikan pengajaran agar setiap murid dapat mengakses ilmu dengan cara yang sesuai dengan keupayaan mereka.

Peranan Guru Dalam Dunia Pendidikan Moden

Pemenang serantau Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge, Dr. Velerie Wheelervon Primus berkata, peranan guru hari ini jauh lebih luas berbanding dahulu malah baginya guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi juga pemudah cara emosi, pembina keyakinan dan pencetus potensi dalam diri setiap murid.

Katanya, setiap murid mempunyai potensi tersendiri yang kadang-kadang tidak kelihatan jika hanya dinilai melalui pencapaian akademik semata-mata khususnya murid neurodivergent yang sering disalah faham kerana mereka berfikir dan bertindak dengan cara berbeza.

Namun di sebalik perbezaan itu, mereka sebenarnya mempunyai kekuatan unik dalam kreativiti, imaginasi dan cara penyelesaian masalah.

Ujar Dr. Velerie, pendidikan yang berkesan perlu mengambil kira aspek emosi dan sensori murid sebelum proses pembelajaran berlaku.

“Apabila murid berada dalam keadaan cemas atau tidak stabil, otak mereka sukar untuk menerima maklumat baharu secara efektif oleh itu pendekatan berasaskan emosi dan sensori penting dalam membina ruang pembelajaran yang inklusif,” ujarnya

Guru Sebagai Pembina Keyakinan Murid

Dr. Velerie berkata, satu daripada peranan guru yang paling penting ialah membina keyakinan dalam diri murid ini kerana apabila murid merasakan mereka mampu maka disitulah proses pembelajaran menjadi lebih bermakna.

“Keyakinan diri seorang murid tidak boleh dibina melalui kata-kata semangat semata-mata, sebaliknya perlu hadir melalui pengalaman yang membuatkan mereka merasa dihargai, dipercayai dan diberi peluang untuk berjaya,”katanya.

Seorang guru tidak boleh hanya melihat pencapaian akademik sebagai ukuran kejayaan seorang murid kerana setiap daripada mereka mempunyai kekuatan yang berbeza.

“Ada murid yang menyerlah dalam seni, muzik, tarian, inovasi atau kemahiran praktikal walaupun mereka mungkin menghadapi kesukaran dalam komunikasi atau pembelajaran tradisional di dalam kelas,” katanya.

Sebab itu, pendekatan NeuroArts yang dibangunkannya memberi ruang kepada murid untuk mengekspresikan diri melalui seni, terapi sensori dan pembelajaran berasaskan pengalaman agar mereka dapat mengenal pasti kekuatan dalam diri sendiri.

Menurut Dr. Velerie, apabila seorang murid mula diberikan peluang untuk tampil membuat persembahan, menyertai aktiviti atau meraikan pencapaian kecil mereka, perubahan keyakinan itu dapat dilihat secara perlahan-lahan.

Ada juga murid yang sebelum ini sering mengasingkan diri mula berani berinteraksi dan membina hubungan sosial dengan rakan-rakan selepas diberikan ruang pembelajaran yang lebih selamat dan fleksibel.

Katanya, perubahan paling besar sebenarnya bukan berlaku pada pencapaian akademik semata-mata tetapi pada cara seorang anak melihat dirinya sendiri.

Membawa Suara Murid Neurodivergent

Bagi Dr. Velerie, pengiktirafan antarabangsa yang diterimanya bukan sekadar pencapaian peribadi sebaliknya satu amanah besar untuk membawa suara murid neurodivergent dan pendidikan inklusif Malaysia ke peringkat lebih luas.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut membuka ruang untuk dunia melihat anak-anak berkeperluan khas juga mempunyai potensi luar biasa apabila diberikan peluang, kefahaman dan pendekatan pendidikan yang sesuai.

dr. Velerie menekankan guru tidak boleh hanya melihat pencapaian akademik sebagai ukuran kejayaan seorang murid.

Masih ramai ibu bapa serta masyarakat yang belum benar-benar memahami dunia murid neurodivergent sehingga ada dalam kalangan anak-anak ini membesar dengan rasa tersisih dan kurang yakin terhadap diri sendiri.

Oleh itu, dia mahu menggunakan platform antarabangsa tersebut untuk memperluaskan advokasi berkaitan pendidikan inklusif berasaskan neuroscience, regulasi emosi dan terapi sensori agar lebih ramai guru, ibu bapa dan komuniti memahami keperluan sebenar murid neurodivergent.

Katanya, inovasi pendidikan tidak seharusnya terhenti di satu sekolah sahaja kerana setiap pendekatan yang memberi impak kepada kehidupan murid perlu dikembangkan demi masa depan pendidikan yang lebih inklusif.

Dia mahu membuktikan sekolah luar bandar di Malaysia juga mampu menjadi pusat inovasi pendidikan yang mendapat pengiktirafan dunia apabila dibina dengan kreativiti, kasih sayang dan kefahaman terhadap keperluan murid.

“Lokasi bukan penghalang untuk menghasilkan perubahan besar dalam pendidikan kerana perkara paling penting ialah keberanian seorang guru untuk terus percaya kepada potensi muridnya.

“Kadang-kadang dunia melihat sekolah luar bandar sebagai serba kekurangan tetapi saya melihatnya sebagai ruang yang penuh dengan kekuatan kemanusiaan dan harapan,” ujarnya.

Dr. Velerie berkata, seorang guru mungkin tidak mampu mengubah seluruh dunia dalam satu masa namun seorang guru mampu mengubah dunia seorang anak murid setiap hari melalui harapan dan kepercayaan yang diberikan.

Baginya, pendidikan yang sebenar bukan hanya tentang pencapaian akademik tetapi tentang membantu seorang anak melihat dirinya sebagai manusia yang bernilai dan layak untuk bermimpi besar seperti orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN