Perang Iran-Israel perlu dihenti segera elak krisis lebih teruk

Perang Iran-Israel perlu dihenti segera elak krisis lebih teruk

KRISIS Asia Barat berpotensi terus berkembang dan memberi kesan besar terhadap kestabilan serantau serta keselamatan global pada masa hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRONOLOGI konflik antara Iran dan Israel merupakan perkembangan krisis yang panjang, berperingkat dan sarat dengan perubahan geopolitik kompleks. 

Akar konflik ini dapat dikesan sejak Revolusi Islam Iran pada 1979, apabila pemerintahan Shah digulingkan dan sistem monarki digantikan dengan Republik Islam.

Sebelum revolusi tersebut, hubungan antara Iran dan Israel bersifat tidak rasmi tetapi masih wujud dalam bentuk kerjasama tidak langsung terutama dalam aspek ekonomi dan keselamatan. Namun selepas revolusi, Iran mengambil pendirian tegas menentang kewujudan Israel serta menjadikan isu Palestin sebagai teras dasar luar negara. Perubahan ini menjadi titik tolak kepada permusuhan ideologi yang berpanjangan.

Memasuki dekad 1980-an dan 1990-an, konflik ini berkembang melalui pendekatan perang proksi tanpa pertempuran langsung antara kedua-dua negara.

Iran mula menyokong kumpulan bersenjata seperti Hezbollah di Lubnan sebagai tindak balas terhadap kehadiran Israel di wilayah tersebut. Sokongan ini merangkumi bantuan kewangan, latihan ketenteraan dan logistik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Hezbollah sebagai aktor utama di rantau berkenaan. 

Iran turut menjalin hubungan dengan kumpulan Hamas bagi meningkatkan tekanan terhadap Israel. Dalam masa sama, Israel memperkukuh strategi pertahanan melalui pengukuhan ketenteraan dan risikan bagi mengekang pengaruh Iran di Asia Barat.

Pada awal abad ke-21, konflik ini menjadi semakin kompleks dengan kemunculan isu program nuklear Iran. Sekitar 2000-an, Israel menyuarakan kebimbangan pembangunan nuklear Iran berpotensi menghasilkan senjata nuklear yang mengancam keselamatan serantau. Ketegangan meningkat apabila Israel didakwa melaksanakan operasi sulit termasuk serangan siber dan pembunuhan saintis nuklear Iran bagi melambatkan kemajuan program tersebut. 

Konflik di Syria selepas 2011 turut menjadi medan baharu persaingan apabila Iran menyokong kerajaan Syria, manakala Israel melancarkan serangan udara ke atas sasaran berkaitan Iran untuk menghalang pemindahan senjata kepada Hezbollah.

Titik penting berlaku pada 2015 apabila termeterainya elan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) antara Iran dan kuasa besar dunia yang bertujuan mengehadkan program nuklear Iran sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan ekonomi. 

Namun, keadaan kembali tegang apabila Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian tersebut pada 2018. Situasi ini menyebabkan Iran mengurangkan pematuhan terhadap syarat perjanjian, manakala Israel meningkatkan tekanan melalui serangan ke atas sasaran Iran di Syria serta operasi rahsia lain.

Menjelang dekad 2020-an, konflik memasuki fasa lebih terbuka dengan peningkatan insiden serangan langsung. Pada 2024, Iran melancarkan serangan balas menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas Israel selepas beberapa insiden melibatkan kepentingannya di luar negara. 

Tindakan ini menandakan perubahan besar daripada perang proksi kepada konfrontasi langsung. Israel kemudian bertindak balas dengan menyerang sasaran strategik Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan pusat operasi utama.

Dalam tempoh 2025 hingga 2026, ketegangan semakin meruncing dengan siri serangan balas yang lebih kerap. Penglibatan sekutu Israel seperti AS menambah dimensi antarabangsa kepada konflik ini, sekali gus meningkatkan risiko ketegangan serantau yang lebih luas. 

Laluan strategik seperti Selat Hormuz turut menjadi tumpuan kerana sebarang gangguan di kawasan tersebut memberi kesan besar kepada bekalan tenaga global.

Impak konflik ini sangat ketara. Penutupan Selat Hormuz menjejaskan sebahagian besar bekalan minyak dunia, menyebabkan tekanan ekonomi global meningkat. 

Kos peperangan juga melonjak dengan anggaran puluhan bilion dolar Amerika, di samping peningkatan inflasi dan harga tenaga. 

Dari sudut kemanusiaan, kemudahan kesihatan turut menjadi sasaran sehingga menjejaskan sistem perubatan di kawasan konflik. Negara-negara Eropah juga menerima kesan akibat ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Secara keseluruhannya, kronologi konflik Iran dan Israel memperlihatkan transformasi daripada permusuhan ideologi kepada persaingan geopolitik dan akhirnya kepada konfrontasi ketenteraan terbuka. 

Tanpa penyelesaian diplomatik yang berkesan, konflik ini berpotensi terus berkembang dan memberi kesan besar terhadap kestabilan serantau serta keselamatan global pada masa hadapan.-UTUSAN

 

 MUHAMMAD AZHAR KHAIRUNNAS ROBIN                                                   

Mahasiswa Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN