ISU berkaitan perpaduan terus muncul saban hari meskipun pelbagai usaha giat dilaksanakan oleh pelbagai pihak.
Dalam keadaan negara berasa selesa dengan tahap keharmonian sedia ada, pelbagai pertikaian dan salah faham tetap berlaku, khususnya melibatkan isu pengurusan tanah, pembinaan, pemindahan atau perobohan rumah ibadat. Walaupun tindakan tersebut dilaksanakan mengikut peraturan dan lunas undang-undang, ia sering mencetuskan kontroversi serta membangkitkan emosi dalam kalangan masyarakat.
Kunci kepada kesepaduan sosial ialah kematangan rakyat dalam berfikir dan bertindak. Dalam sebuah negara majmuk yang dihuni pelbagai kaum, agama dan budaya, perpaduan bukan sekadar slogan tetapi asas kekuatan nasional yang perlu dipelihara bersama. Namun, sikap keterbukaan yang tidak berhemah di media sosial, termasuk komentar provokatif dan luahan emosi melampau, mampu mengundang salah faham serta merenggangkan hubungan antara kaum.
Walaupun begitu, tahap hubungan antara kaum di Malaysia masih berada dalam keadaan harmoni dan stabil. Ini dibuktikan melalui dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas 2025) yang menunjukkan skor 0.701 daripada skala maksimum 1.0, iaitu tahap sederhana yang masih memerlukan pengukuhan berterusan.
Sehubungan itu, sebarang isu tidak wajar dipolitikkan sehingga mencetuskan provokasi. Perlembagaan Persekutuan telah menjamin keadilan, kebebasan dan kesejahteraan semua rakyat, selari dengan prinsip demokrasi. Pada masa sama, penghayatan terhadap Rukun Negara perlu diperkukuh sebagai asas pembinaan persefahaman nasional.
Dalam usaha memperkukuh perpaduan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin komuniti perlu memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara masyarakat dan kerajaan. Usaha seperti pemetaan Rumah Ibadat Selain Islam (RIBI) juga penting bagi memastikan pengurusan rumah ibadat lebih teratur dan selaras dengan peruntukan serta undang-undang tanah sedia ada.
Selain itu, keterangkuman identiti Bangsa Malaysia perlu dibina melalui semangat perpaduan yang tulen. Setiap etnik perlu dihormati secara adil sebagai kekuatan bersama negara. Aktiviti komuniti seperti sukan, gotong-royong dan program kemasyarakatan perlu diperkasakan bagi mengeratkan interaksi sosial.
Institusi pendidikan turut memikul tanggungjawab penting dalam menyemai nilai perpaduan melalui interaksi pelajar pelbagai kaum. Program dialog, aktiviti kolaboratif dan pembelajaran berasaskan pengalaman mampu membentuk kefahaman serta toleransi yang lebih kukuh.
Dalam menghadapi tekanan ekonomi global, rakyat perlu dipupuk untuk bersatu, bertolak ansur dan saling prihatin demi kesejahteraan bersama. Kita hidup di bawah “Rumah Malaysia” yang menuntut kesepakatan. Buang yang keruh, ambil yang jernih, demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Universiti Utara Malaysia (UUM)










