Ada had yang perlu dipatuhi - Zahirah MacWilson - Utusan Malaysia

Ada had yang perlu dipatuhi – Zahirah MacWilson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Tidak kira siapa anda, jangan berani sentuh anak orang.”

Demikian teguran ‘panas’ yang dilayangkan pelakon, Zahirah MacWilson  apabila muncul individu tidak dikenali sesuka hati menyentuh anak-anaknya, Isaac Raees dan Inara Raisa tanpa kebenaran.

Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson tidak teragak-agak untuk memberi teguran.

Baginya, keselamatan anak-anak adalah perkara utama justeru ada had yang tidak patut dilangkau.

“Saya pernah tegur orang asing, katakan secara baik jangan sentuh anak saya. Sebab pertama adalah keselamatan. Kita tidak tahu apa yang mereka bawa kepada anak kita.

“Kedua saya tidak mahu anak-anak saya merasakan normal untuk menyentuh orang lain tanpa kebenaran.

“kebanyakan masa, benda begitu tidak serius berlaku. Tetapi, sesiapa sahaja tidak ada hak untuk menyentuh anak orang lain tanpa kebenaran.

“Ada had yang perlu dipatuhi. Sebagai ibu bapa, kita harus sentiasa peka terhadap perkara begini,” katanya.

Zahirah berkata demikian Ketika sidang media drama bersiri Good Boys Go To Heaven di TGV KLCC, baru-baru ini.

Pelakon berusia 31 tahun itu berkata isu sedemikian perlu diluahkan secara terang-terangan supaya tiada perkara yang tidak diingini berlaku dikemudian hari.

“Jangan merasa takut untuk memperkatakan tentangnya kalau anda tak selesa.

“Tidak kiralah sama ada pakcik atau makcik dan jiran tetangga, jika rasa kurang selesa, bagi tahu mereka.

“Jangan segan, kerana anda ingin melakukan sesuatu sebelum terlambat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zahirah menggunakan khidmat pembantu namun hanya tertakluk kepada urusan tertentu.

“Kami sentiasa di rumah. Jadi pembantu hanya melakukan urusan tertentu sahaja. Kalau bahagian menjaga anak, kami sentiasa bersama mereka,” kongsinya.

Sombongkah Zahirah?

Disoal mengenai isu artis sombong yang tular di platform Threads, Zahirah yang namanya turut disenaraikan merasakan tidak elok untuk menjatuh hukum sesuatu perkara.

“Saya tidak mahu komen terlalu banyak berkenaan hal ini. Untuk melabel seseorang sombong berdasarkan sekilas pandang adalah satu tindakan yang kurang baik. Malah perkataan sombong itu lebih besar dan berat definisinya. 

“Kebanyakan pertemuan saya dengan peminat berjalan dengan baik, saya banyak berjumpa peminat yang baik. Saya rasa terinspirasi dengan mereka.

“Tapi ada juga masa dimana kita perlukan masa bersendirian, sesuatu yang bukan menjadi niat,” ujarnya.

Dalam pada itu, disoal sama ada ada pihak yang cuba menjatuhkannya, Zahirah enggan mengulas panjang.

“Saya tak mahu melaga-lagakan orang. Bagi saya, kalau kalau tiada kebaikan yang keluar dari mulut kita, lebih elok berdiam saja.

“Kita mempunyai pilihan untuk tidak menyakiti orang lain, jadi kenapa kita perlu memilih untuk melukakan dengan kata-kata,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN