Cabaran bina kubur Islam di Jepun

Cabaran bina kubur Islam di Jepun

Dari kanan, Masatoshi Ibi diikuti Dr Masahiro Yoshida ketika membentangkan perancangan membina tanah perkuburan Islam di Pusat Dakwah Jepun di Osaka, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Mereka datang ke negara kita. Sepatutnya mereka kena ikut cara kita! Bakar sahaja mayat mereka dan jangan kebumi. Pengebumian akan memakan ruang tanah serta boleh mencemar kawasan setempat termasuk air dan akhirnya akan mencemarkan tanam-tanaman kita.

“Lagipun pembakaran mayat paling bersih kerana ia akan membunuh semua kuman kuman penyakit berjangkit yang ada,”

Itu antara dialog orang Jepun yang membantah cadangan pembinaan tanah peruburan untuk orang Islam di Jepun. Ia menjadi dilema yang meresahkan jiwa Muslim yang hidup dan mencari rezeki di negara matahari terbit itu.

Memang dahulunya, orang Jepun menggunakan kaedah kebumi, namun apabila dunia semakin moden, mereka beralih arah membakar mayat orang meninggal dunia.

Islam menegah pembakaran mayat manusia tanpa mengira agamanya kerana status kemuliaan manusia boleh tercalar dan tercemar apabila dia dibakar. Allah sendiri menegaskan kemuliaan manusia dalam firman-Nya:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan (al-Isra’ 17:70).

Antara satu bentuk kemuliaan manusia ialah dengan mengembalikan jasadnya ke sumber asalnya iaitu bumi. Bahkan ia sudah diwartakan Allah sendiri semenjak ayahanda kita Nabi Adam As dihantar ke bumi dari syurga. Firman Allah:

“Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)”. Allah berfirman lagi: “Di bumi itu kamu hidup dan situ juga kamu mati (dikebumikan), dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)” (al-A’raf 7:24-25).

Allah juga mewartakan bumi sebagai tempat tinggal manusia di atasnya dan tempat penyimpanan jasad mereka di bawahnya. Firman Allah:

“Bukankah Kami telah menjadikan bumi (sebagai tempat) penampung dan penghimpun (penduduknya)? Yang hidup dan yang mati (dalam kuburnya)? (al-Mursalat 77:25-26).

Bukti lain, manusia yang mati perlu dikebumi ialah kisah pembunuhan pertama dalam sejarah dunia. Setelah membunuh adiknya Habil, Qabil buntu apa yang perlu dilakukan terhadap jasad adiknya yang sudah terbujur kaku. Dalam keresahan itu, Allah mengajarnya proses pengkebumian dengan menghantar burung gagak sebagai panduan. Firman Allah:

“Kemudian Allah menghantar seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata:

“Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”. Kerana itu dia menjadi dari golongan orang yang menyesal. (al-Ma’idah 5:31).

Pengkebumian manusia juga menjadi satu proses normal kehidupan dan kematian manusia di bumi. Allah menegaskannya:

“(Tidakkah manusia memikirkan) dari apakah dia diciptakan oleh Allah? -Dari air mani diciptakan-Nya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab; Kemudian jalan (baik, jahat atau laluan keluar dari Rahim ibunya ketika lahir), dimudahkan Tuhan kepadanya. Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya dia dikuburkan; Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula) (‘Abasa 80:18-22).

Jika idea mengebumikan manusia tidak muncul, kemuliaan manusia akan tercalar kerana boleh sahaja jasad mereka dibaham binatang buas atau membusuk dimakan ulat secara terbuka.

Baru-baru ini (18-24 April 2026), penulis menziarahi Pusat Dakwah milik orang Malaysia di Osaka, Jepun. Pusat Dakwah itu dinamakan Japan Da’wah Centre (JDC). Dalam ziarah kali ini, antara isu yang kami bincangkan untuk mendapat solusi terbaik ialah pembinaan tanah perkuburan di Jepun.

Pihak JDC kini berusaha mencari tanah perkuburan bagi memenuhi keperluan seramai 420,000 umat Islam di Jepun. Tambahan pula, Jepun sekarang berada dalam fasa peralihan sosial di mana penurunan populasi penduduk asal dan peningkatan warga asing yang berlaku secara serentak.

Perubahan pola masyarakat ini, menuntut umat Islam di Jepun untuk memikirkan cara “kehidupan dan kematian” mereka.

Di Jepun ketika ini, tanah perkuburan yang membenarkan pengebumian secara tanam hanyalah sekitar 10 lokasi di seluruh negara. Kesannya ramai Muslim hidup tanpa memiliki tempat untuk mengakhiri kehidupan mereka di Jepun.

Ada juga tanah perkuburan swasta yang dimiliki oleh individu Muslim atau pertubuhan tertentu, namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung populasi Muslim seluruh Jepun.

Penulis sendiri pernah menziarahi tanah perkuburan peribadi yang dimiliki Osaka Islamic Centre pada tahun 2023. Pun begitu, tanah kubur ini cuma mampu menampung seramai 500 jenazah sahaja.

Dalam ziarah lalu, pihak JDC menjemput dua orang Jepun yang bersungguh-sungguh mahu membantu Muslim untuk membina tanah perkuburan. Seorang daripadanya bernama Dr Masahiro

Yoshida, pensyarah di Osaka Metropolitan University yang banyak membuat kajian tentang sosio budaya asing. Beliau membantu memperjuangkan hak warga asing di Jepun untuk hidup dan “mati” mengikut budaya dan agama mereka.

Seorang pembentang lagi ialah Masatoshi Ibi, seorang kontraktor yang pakar tentang kerja-kerja penggalian. Masatoshi Ibi pernah membantu Muslim mengubah tanah kuil menjadi tanah perkuburan dengan kos RM25,000 untuk satu slot. Beliau juga cuba membina kubur kedua di Himeji tapi mendapat tentangan kerajaan tempatan.

Dalam pembentangannya di JDC, Masatoshi Ibi memperkenalkan pelapik plastik mesra alam yang akan menjadi lapik asas sebelum sebarang jenazah dikebumikan.

Pelapik plastik itu akan membantu menyekat sebarang pencemaran berikutan pereputan mayat kepada kawasan berhampiran. Langkah ini dibuat sebagai respons kepada alasan yang menghalang penduduk tempatan sesebuah lokasi tanah perkuburan memberi kebenaran.

Penulis kagum dengan kesungguhan dua tokoh Jepun ini membantu Muslim membina tanah perkuburan. Perkara ini mungkin kelihatan remeh pada umat islam di Malaysia, namun kerisauan mayat dibakar sangat menghantui Muslim Jepun. Ini antara perkara yang umat Islam di Malaysia perlu syukuri.

Ayuh kita sama berdoa agar umat Islam di jepun diberi hak pengkebumian selepas mereka mati. Mana tahu, mungkin doa anda akan melembutkan kerajaan Jepun memberikan hak ini.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN