Singkir sel kulit mati secara selamat

Singkir sel kulit mati secara selamat

membuang sel kulit mati mampu memberikan kulit yang lebih sihat dan berseri jika dilakukan dengan betul. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Exfoliation atau proses penyingkiran sel kulit mati kini semakin menjadi sebahagian penting dalam rutin penjagaan kulit.

Walaupun kaedah ini mampu menjadikan kulit lebih bersih, licin dan berseri, ia juga mempunyai risiko tersendiri sekiranya tidak dilakukan dengan betul dan terkawal.

Pakar perunding dermatologi dan bedah dermatologi, Dr. How Kang Nien berkata, eksfoliasi bertujuan membuang sel kulit mati yang terkumpul di permukaan kulit.

“Secara semula jadi, kulit manusia melalui kitaran pembaharuan setiap 28 hari. Namun, proses ini tidak berlaku secara sekata pada semua individu, menyebabkan ada bahagian kulit yang lambat menyingkirkan sel mati,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, keadaan tersebut boleh menyebabkan kulit kelihatan kusam, pori tersumbat serta mencetuskan masalah seperti jerawat dan komedo.

Dua jenis eksfoliasi

Terdapat dua jenis utama eksfoliasi iaitu fizikal dan kimia. Eksfoliasi fizikal melibatkan penggunaan bahan seperti gula, garam atau lapisan luar kulit kacang untuk menggosok permukaan kulit.

Walaupun berkesan, kaedah ini boleh mencederakan kulit sekiranya partikel terlalu kasar atau digunakan secara berlebihan.

Sebaliknya, eksfoliasi kimia menggunakan bahan aktif seperti AHA, BHA dan PHA untuk melarutkan sel kulit mati.

Beliau berkata, kaedah ini lebih selamat kerana kepekatannya boleh dikawal dengan lebih tepat.

Malah, bahan seperti PHA dan asid laktik dianggap lebih lembut dan sesuai untuk individu berkulit sensitif.

Perlu sesuai dengan jenis kulit

Pemilihan jenis eksfoliasi perlu disesuaikan dengan jenis kulit bagi mengelakkan kesan sampingan.

Bagi individu berkulit sensitif, penggunaan bahan yang lebih agresif seperti salicylic acid tidak digalakkan kerana boleh merosakkan lapisan pelindung kulit.

Sebaliknya, bahan seperti mandelic acid, asid laktik atau gluconolactone lebih sesuai kerana sifatnya yang lebih lembut.

Kekerapan penggunaan juga memainkan peranan penting. Individu dengan kulit normal boleh melakukan eksfoliasi dua hingga tiga kali seminggu, manakala mereka yang berkulit sensitif disarankan hanya sekali seminggu.

Penggunaan secara berlebihan boleh menyebabkan kerosakan pada lapisan pelindung kulit, mencetuskan keradangan serta meningkatkan risiko pigmentasi dan parut.

Dalam kes lebih serius, penggunaan bahan kimia tanpa kawalan boleh mengakibatkan “chemical burn” yang meninggalkan kesan kekal.

Antara tanda kulit tidak sesuai dengan sesuatu produk termasuk rasa pedih, kemerahan, panas dan pengelupasan berlebihan. Sekiranya keadaan ini berlaku, penggunaan perlu dihentikan serta-merta.

Bantu rawat jerawat dan kulit kusam

Bagi individu yang mengalami masalah jerawat, eksfoliasi boleh membantu memperbaiki keadaan kulit, terutamanya melalui penggunaan salicylic acid yang berupaya membersihkan pori secara lebih mendalam.

Namun begitu, bagi kulit sensitif, alternatif seperti retinol atau azelaic acid boleh digunakan kerana ia turut membantu mengawal pengeluaran minyak serta mengurangkan keradangan pada kulit.

Eksfoliasi juga berkesan dalam mengurangkan masalah kulit kusam. Bagaimanapun, bagi jeragat, keberkesanannya bergantung pada kedudukan dan kedalaman pigmentasi.

Jika pigmentasi hanya melibatkan lapisan luar kulit, kesannya mungkin lebih ketara.

Namun, jika ia berada lebih dalam, rawatan lain diperlukan dan pemeriksaan doktor adalah penting sebelum sebarang rawatan dimulakan.

Dr. Kang Nien turut menegaskan supaya pengguna lebih berhati-hati dalam memilih produk di pasaran.

“Produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia berisiko mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri, steroid atau hydroquinone. Oleh itu, pembelian dari farmasi atau kedai rasmi adalah pilihan yang lebih selamat,” jelasnya.

Mulakan secara perlahan

Bagi mereka yang baru ingin mencuba eksfoliasi, pendekatan mula perlahan dan tingkatkan secara berperingkat amat digalakkan.

Kulit memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan hasil yang diinginkan tidak berlaku serta-merta. Penggunaan secara tergesa-gesa hanya akan meningkatkan risiko kerosakan kulit.

Dari segi rutin, eksfoliasi perlu dilakukan selepas mencuci muka pada kulit yang benar-benar bersih.

Penggunaan pelembap amat penting untuk mengekalkan kelembapan serta mengurangkan iritasi.

Perlindungan daripada cahaya matahari tidak boleh diabaikan kerana kulit menjadi lebih sensitif selepas eksfoliasi.

Waktu terbaik untuk melakukan eksfoliasi adalah pada waktu malam bagi mengurangkan pendedahan kepada sinaran UV dan memberi ruang kepada kulit untuk pulih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN