Setelah berkelana menjejaki hadis Rasulullah SAW yang ada di dalam catatan dan hafalan para ulama sezamannya, maka tibalah pula masanya bagi Imam Bukhari menyebarkan hadis yang diterimanya kepada masyarakat.
Beliau tidak hanya meriwayatkan hadis di Bukhara, malah mengembara ke pelbagai tempat untuk menyebarkan hadis Nabi Muhammad kepada lebih ramai umat. Beliau kembali ke Hijaz, Iraq dan negara-negara lain. Contohnya beliau datang semula ke Ray pada tahun 250 hijrah. Beliau juga tiba di Naisabur pada tahun yang sama lalu menetap di sana selama lima tahun.
Menurut catatan para ulama, Imam Bukhari pernah membacakan kitabnya yang terangung iaitu Sahih al-Imam al-Bukhari di bandar Firobr (Farap) pada tahun 248 hijrah dan di kota Bukhara pada tahun 252 hijrah.
Semua ini menunjukkan kesungguhan luar biasa Imam al-Bukhari di dalam periwayatan hadis Rasulullah sehingga beliau sanggup membelanjakan harta, masa dan umurnya mengelilingi dunia agar hadis yang dijaga oleh para ulama zaman-berzaman dapat direkodkan dan disebarkan pula secara meluas kepada masyarakat.
Hasrat beliau dimakbulkan Allah sehingga kini kitab hadis paling masyhur yang diriwayatkan secara bersanad ialah Sahih al-Bukhari, atau judul penuhnya al-Jami‘ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar Fi Umur Rasulullah SAW Wa Sunanihi Wa Ayyamihi.
DIIKTIRAF PARA ULAMA
Selain kesungguhan Imam al-Bukhari yang luar biasa dalam meriwayatkan hadis Nabi Muhammad, keunggulan beliau turut diakui oleh para ulama, khususnya yang sezaman dengannya.
Pengiktirafan ini menjadi antara faktor utama yang menyebabkan keilmuan beliau terus dihormati dan diiktiraf oleh umat hingga ke hari ini.
Bahkan para gurunya turut mengesahkan ketinggian nilai ilmu yang ada pada diri beliau. Berikut adalah beberapa contoh kewibawaan Imam al-Bukhari yang tinggi dari sudut keilmuan:
Semasa beliau masih muda dan belum lagi mencapai usia 18 tahun, beliau pernah menghadiri satu majlis hadis yang disampaikan oleh gurunya yang bernama Muhammad bin Yusuf al-Firyabiyy lalu sang guru meriwayatkan hadis dengan menyebut: “Kami diceritakan oleh Sufyan, daripada Abu ‘Arubah, daripada Abu al-Khottob, daripada Anas sesungguhnya Nabi Muhammad satu ketika dahulu pernah mengelilingi (berhubungan intim) para isteri baginda dengan [hanya] sekali mandi (wajib)”.
Semua yang mendengar hadis ini saat itu tidak mengetahui siapakah Abu ‘Arubah dan Abu al-Khottob yang ada di dalam silsilah hadis itu. Lalu Imam al-Bukhari yang masih remaja telah berkata:
“Adapun Abu ‘Arubah, beliau adalah Ma‘mar. Adapun Abu al-Khottob, beliau adalah Qotadah”.
Gurunya yang bernama ‘Abdullah bin Yusuf al-Tinnisiyy pernah menyebut kepada Imam al-Bukhari: “Wahai Abu ‘Abdillah (gelaran al-Imam al-Bukhari). Lihatlah di dalam kitab-kitabku dan beritahulah kepadaku [sekiranya ada] sebarang keguguran sanad yang ada di dalamnya”. Lalu al-Imam al-Bukhari pun berkata: “Baik”.
Al-Hafiz Abu Hamid meriwayatkan bahawa Ahmad bin Hamdun pernah menyaksikan Imam al-Bukhari menziarahi jenazah salah seorang gurunya, Sa‘id bin Marwan al-Baghdadiyy, di Naisabur pada pertengahan bulan Syaaban tahun 252 Hijrah.
Ketika itu, seorang lagi gurunya, Muhammad bin Yahya al-Zuhliyy, yang turut hadir menziarahi jenazah tersebut, telah mengajukan pertanyaan kepada Imam al-Bukhari berkenaan biodata para perawi hadis serta sebab-sebab tersembunyi yang boleh menyebabkan sesuatu hadis dinilai sebagai daif
Lalu Imam al-Bukhari menjawab pertanyaan gurunya dengan begitu mudah dan cepat sekali seumpama kelajuan anak panah. Al-Hafiz Ahmad bin al-Azhar al-‘Abdiyy al-Naysaburiyy pernah menceritakan ada 400 orang penuntut ilmu hadis di Samarkand yang telah berpakat sesama mereka untuk menguji kekuatan hafalan Imam al-Bukhari. Lalu merekamembuat persediaan selama tujuh hari dengan mendatangkan hadis-hadis yang telah diubah-ubah jalur sanadnya.
Lalu setelah mereka memperdengarkan hadis-hadis tersebut kepada Imam al-Bukhari, kesemuanya diperbetulkan semula oleh beliau tanpa tersalah walau sedikit pun.
Diriwayatkan Imam al-Bukhari telah berkata: “Saya menghafal 100,000 hadis yang sahih dan 200,000 hadis yang tidak sahih”.
Seorang daripada teman seperguruan Imam al-Bukhari yang bernama Hasyid bin Ismail bin Isa al-Bukhariyy al-Ghazzal yang turut merupakan ulama besar di dalam ilmu hadis menceritakan beliau dan teman-temannya pernah bersama-sama dengan Imam al-Bukhari menghadiri majlis-majlis bacaan hadis yang disampaikan oleh para ulama Basrah.
Ketika itu, beliau masih kecil. Para hadirin tekun mencatat setiap hadis yang disampaikan, sedangkan beliau hanya mendengar tanpa menulis walau satu pun.
Setelah majlis berlangsung selama 16 hari dalam keadaan beliau terus sekadar mendengar, para pelajar mula menegurnya dengan nada keras kerana menganggap beliau tidak memberi perhatian terhadap hadis-hadis yang disampaikan.
Lalu Imam al-Bukhari meminta mereka membuka semula buku catatan mereka sepanjang 16 hari tersebut. Al-Imam Hasyid bin Ismail berkata: “Maka kami pun membukanya dan jumlah hadis yang telah dicatat melebihi 15,000 hadis. Maka beliau (Imam al-Bukhari) pun memperdengarkan semua hadis tersebut secara hafalan sehingga kami pun mula membetulkan catatan kami berdasarkan hafalan beliau”.
Setelah selesai semua hadis dibaca, al-Imam al-Bukhari bertanya kepada mereka “Adakah kalian sekarang menyangka saya datang ke majlis hadis secara sia-sia dan saya hanya membuang masa”?! Al-Imam Hasyid bin Ismail berkata: “Maka tahulah kami tidak akan ada orang yang dapat menandingi beliau”.
Para ulama hadis di Baghdad pernah menguji kekuatan hafalan Imam al-Bukhari dengan cara yang sangat menakjubkan. Mereka mengubah sanad dan matan 100 hadis sehingga akhirnya muncullah 100 hadis yang diubah-ubah sanad dan matannya dari 100 hadis yang sebenar. Kemudian mereka telah meminta 10 orang untuk bertanya mengenai 100 hadis yang telah diubah itu kepada Imam al-Bukhari. Setiap seorang daripada mereka diminta untuk bertanya mengenai 10 hadis.
Maka ketika Imam al-Bukhari menyampaikan ilmu kepada masyarakat Baghdad pada satu hari, datanglah 10 orang tersebut. Lalu bangunlah orang yang pertama bertanya kepada Imam al-Bukhari mengenai 10 hadis yang dibawanya.
Setiap kali hadis itu dibacakan, Imam al-Bukhari hanya menjawab: “Saya tidak tahu tentang hadis itu”. Para ulama yang berada di dalam majlis tersebut saling berpandangan dan mengetahui beliau sudah menyedari yang hadis-hadis tersebut diubah-ubah.
Akhirnya selesailah 10 orang yang ditugaskan itu bertanya kepada Imam al-Bukhari dalam keadaan jawapan beliau untuk 100 hadis itu tetap sama iaitu: “Saya tidak mengetahui tentang hadis itu”.
Orang ramai yang tidak mengetahui pakatan tersebut mula menyangka Imam al-Bukhari bukanlah seorang yang alim dalam bidang hadis lantaran jawapan yang diberikan oleh beliau kepada 10 penanya itu.
Akhirnya Imam al-Bukhari mula memberikan penjelasan dengan berkata kepada penanya pertama “Adapun hadis pertama yang kamu tanyakan dan kamu sebutkan begini-begini, sebenarnya yang betul adalah begini-begini. Hadis kedua yang kamu sebutkan pula begini-begini, sedangkan yang tepat adalah begini-begini.”
Imam al-Bukhari menerangkan kepada seseorang dengan mengulangi semula 10 hadis yang salah dan kemudian membetulkannya dengan 10 hadis yang sebenar.
(Bersambung)
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










