Perlis Agrofest 2026 meriah, dijangka tarik 100,000 pengunjung

Perlis Agrofest 2026 meriah, dijangka tarik 100,000 pengunjung

NOOR Azman Abdul Rahman bergambar bersama di laman festival mangga harumanis bersempena Perlis Agrofest 2026 yang berlangsung tiga hari di Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLIS Agrofest 2026 yang berlangsung selama tiga hari dari 24 sehingga 26 April di Sungai Batu Pahat di sini meriah dengan sasaran lebih 100,000 pengunjung dari seluruh negara.
Penganjuran Perlis Agrofest 2026 anjuran kerajaan negeri dengan gabungan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Festival Mangga Harumanis Perlis yang telah dijenamakan semula itu sarat pelbagai pengisian program menarik, unik dan ikonik.

Sebelum ini, program tersebut dikenali sebagai Festival Permai atau Perlis Mango & Agricultural Industry yang turut berlangsung meriah tahun lalu dengan kehadiran 50,000 pengunjung.
Majlis perasmian Perlis Agrofest 2026 akan disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada malam ini dan turut berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Program itu juga bersempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-83.

Selain jualan harumanis dan himpunan lembu sado 5.0 yang menjadi tarikan utama, ia juga sarat dengan pelbagai aktiviti seperti pameran haiwan ternakan dan petting zoo, pameran jentera dan teknologi sektor pertanian, produk-produk pertanian, pameran oleh jabatan dan agensi selain jualan makanan popular dan lain-lain yang melibatkan 100 usahawan.

Selain itu, antara aktiviti lain menghiasi acara terbesar agropelancongan Perlis itu seperti pertandingan face painting bertema flora dan fauna, pertandingan gubahan dessert berasaskan nenas, badang beras, masakan tradisional, persembahan musang berjanggut, jualan agro Madani dan banyak lagi.

Terdapat juga sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada para pengunjung.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Noor Azman Abdul Rahman berkata, Perlis Agrofest 2026 merupakan program berimpak tinggi yang bertujuan mempromosikan sektor pertanian, penternakan dan industri agro makanan di Perlis.

Katanya, program tersebut juga menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan serta usahawan tempatan, sekali gus menjadi platform kepada orang ramai untuk mengenali produk agro berkualiti yang dihasilkan di negeri ini.

“Tarikan utama sudah tentu jualan mempelam harumanis Perlis yang terkenal di seluruh negara dan ia bertepatan apabila program ini berlangsung pada musim harumanis ketika ini.

“Harumanis terkenal dengan aroma harum dan rasa manis premium, menjadikan ia antara mangga terbaik di Malaysia. Pengunjung boleh mendapatkan harumanis segar terus daripada pengusaha pada harga berpatutan.

“Selain itu, terdapat juga pelbagai produk berasaskan harumanis seperti jus, ais krim, kek dan produk hiliran lain. Turut disediakan jualan anak pokok harumanis bagi mereka yang berminat untuk menanam sendiri,” katanya.

Katanya, antara kelainan utama pada program ini adalah penganjuran himpunan lembu sado Utara 5.0 membabitkan 80 ekor lembu.

Beliau berkata, pihaknya juga menghimpunkan penternak-penternak lembu baka berkualiti tinggi dari seluruh zon Utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“Pengunjung berpeluang melihat sendiri lembu-lembu sado yang mempunyai saiz besar, fizikal yang tegap serta penjagaan yang rapi. Ini merupakan satu pengalaman unik dan jarang diperoleh, terutama bagi mereka yang berminat dalam bidang penternakan.

“Selain itu, penganjuran himpunan ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan industri ruminan dalam menjamin sekuriti makanan negara. Industri penternakan lembu memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan daging tempatan yang mencukupi, berkualiti dan selamat untuk pengguna,” katanya.

Sementara itu, katanya, sebagai usaha promosi awal, program ‘Road To Perlis Agrofest 2026’ juga telah diadakan selama dua hari pada 31 sehingga 1 Februari lalu yang berjaya menarik kehadiran seramai 28,000 pengunjung.

Beliau turut berharap pengunjung menikmati suasana santai bersama keluarga sambil menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang program tersebut berlangsung.

Katanya, program tersebut turut menjadi tarikan pelancongan khususnya dalam memperkukuh pembangunan agropelancongan negeri selaras dengan inisiatif Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.

Selain itu, pada hujung minggu ini turut berlangsung Perkampungan Sunnah Siri Ke-11 dari 24 sehingga 26 April di Masjid Syed Alwi serta pada 25 April turut berlangsung Perlis International Mawrathon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN