BAGI Aiman, lelaki sepertinya perlu bekerja keras. Balik dari kerja, Aiman berehat sebentar selama dua hingga tiga jam sebelum mencapai helmet dan kemudian bekerja pula sebagai penunggang p-hailing.
Aiman percaya, lelaki sepertinya perlu menjadi tulang belakang keluarga. Bagi mendapatkan lebihan wang belanja, dia perlu bekerja lebih keras.
Bagi Aiman, segala bentuk kerja boleh membantunya maju ke hadapan. Jika diperlukan untuk kerja lebih masa di pejabat, dia tidak segan silu menawarkan diri.
“Kalau nak lebih, memang kena kerja keras demi hasil,” katanya.
Lama-kelamaan, Aiman mula rasa letih. Jika dikira-kira, kerja hakikinya sudah mengambil hampir lapan jam sehari.
Ditambah dengan tiga lagi jam pada waktu malam untuk ‘mencedok’ pesanan, Aiman sebenarnya bekerja hampir 11 jam sehari.
Apabila pulang ke rumah, anak-anaknya sudah pun tidur. Berbual dengan isteri hanya sempat beberapa minit sebelum Aiman hanyut ke alam mimpi.
Dari Lembah Silicon ke media sosial
Aiman ialah contoh lelaki yang terpalit dengan budaya kerja keras atau lebih dikenali sebagai hustle culture.
Tidak pasti dari mana asal-usul terma tersebut, namun ia sering dikaitkan dengan mentaliti syarikat permulaan (startup) di Lembah Silicon.
Demi kejayaan, pekerja di syarikat tersebut sanggup bekerja dalam satu tempoh yang panjang sehingga mengorbankan waktu tidur dan mengabaikan masa rehat.
Lama-kelamaan, budaya ini diagung-agungkan pula oleh pempengaruh di media sosial sehingga menjadi norma baharu yang mengukur kejayaan berdasarkan kesibukan dan tahap produktiviti semata-mata.
Tanpa disedari, budaya kerja keras ini mendorong ramai individu, terutamanya lelaki, untuk mencari pendapatan tambahan bagi memastikan kelangsungan hidup keluarga.
Tekanan untuk menyediakan segalanya buat ibu bapa, isteri dan anak-anak membentuk persepsi dalam diri kaum Adam bahawa kerja keras bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.
Kerja keras ada batasnya
Menurut Pegawai Psikologi Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Amar Aimmullah Azizul, budaya kerja keras itu sendiri bukanlah sesuatu yang negatif.
Katanya, kerja keras mencerminkan nilai disiplin, daya tahan serta keinginan seseorang untuk meningkatkan taraf hidup.
Jelasnya, mempunyai dua atau tiga pekerjaan juga bukanlah sesuatu yang asing pada masa kini memandangkan keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
Namun, Amar berkata, budaya kerja keras akan menjadi masalah apabila individu mula mengabaikan keperluan asas seperti rehat, tidur dan masa bersama keluarga.
“Budaya kerja keras atau hustle culture ini meletakkan produktiviti sebagai satu-satunya ukuran nilai diri.
“Akibatnya, wujud tekanan berterusan untuk kelihatan ‘sentiasa sibuk’ serta rasa terdesak untuk menjadi lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Amar, kerja keras boleh menjadi sesuatu yang sihat jika ada sempadan dan keseimbangan.
“Terlalu banyak kerja boleh menyumbang kepada isu psikologi seperti burnout, stres berpanjangan dan kemurungan.
“Jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan hubungan dan menyebabkan krisis identiti,” katanya.
Definisi semula makna kejayaan
Menurut Amar, lelaki dibesarkan dengan kepercayaan bahawa mereka perlu menjadi penyedia kepada keluarga.
“Dalam konteks ini, norma maskuliniti toksik (toxic masculinity) turut memainkan peranan apabila lelaki dilihat perlu sentiasa kuat, tidak menunjukkan emosi dan terus bekerja tanpa mengira keadaan diri.
“Ini akan menyebabkan mereka cenderung mengabaikan tekanan emosi serta enggan mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah,” katanya.
Bagi lelaki yang merasakan mereka perlu hustle untuk berjaya, Amar berkata, mereka perlu mendefinisikan semula apa itu makna kejayaan yang sebenar.
“Kejayaan dalam kerjaya bukan hanya tentang pendapatan atau status, tetapi juga kesejahteraan emosi, hubungan yang sihat dan kepuasan hidup.
“Amalkan konsep ‘cukup’. Tidak semua perkara perlu dicapai dengan segera. Ada nilai dalam bergerak perlahan, yang penting konsisten,” katanya.
Tetapkan sempadan kerja
Amar berkata, lelaki juga perlu bijak menetapkan sempadan kerja dan tahu bila untuk berehat atau berhenti.
“Belajar untuk berhenti. Rehat bukan sesuatu kelemahan, sebaliknya sebahagian daripada produktiviti jangka panjang.
“Jaga kesihatan mental seperti menjaga kesihatan fizikal. Jika badan perlukan rehat selepas bekerja, begitu juga minda yang memerlukan ruang untuk pulih,” katanya.
Akhir sekali, Amar berkata, lelaki tidak perlu takut untuk mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga atau sahabat terdekat.
“Jangan malu untuk berbual dengan rakan atau pasangan mengenai masalah diri.
“Dapatkan bantuan profesional jika perlu. Ia bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya satu langkah penting dalam menjaga kesejahteraan diri,” katanya.










